Ahad, 23 Oktober 2016

sepintas lalu memahami makna kebruneian

Semalam saya berkesempatan menghadiri jemputan kahwin. Syukur alhamdulillah masih diberikan kesihatan dan dipanjang umur oleh Allah Subhanahuwa'ata. Menghadiri jemputan kahwin kali ini terasa istimewa kerana dapat berjumpa dan bersembang dengan warga lama yang masih prolifik. Usianya jauh beda usia dengan saya. Yang buat ia terasa istimewa kerana ada sesuatu yang dibualkan dan yang dibualkan, sesuatu yang berguna bukan sekadar sembang-sembang kosong. Berjumpa dan bersembang dengan mereka yang matang dan banyak pengalaman, bukan sebarang pengalaman pula tentulah menjadikan perbualan kami menarik meskipun saya terkadang terlihat lebih pasif kerana terlalu banyak mendengar kecuali dalam beberapa perkara saya mencuba mengambil porsi saya. Perbualan itu setidaknya dapat meredam waktu sementara menunggu majlis perkahwinan yang banyak selingan acara itu selesai tanpa terasa lama. Beliau merupakan seorang pesara dan memang telah lama bersara. Seorang pengingat dan berada dalam rentang waktu sejarah, yakni ketika Brunei Darussalam belum merdeka hinggalah ke hari ini. Meskipun sembangnya terasa sekejap tetapi pesan dan kesannya elok untuk diketahui. Ceritanya tentang peranan mufti lama seorang ulama dan pemikir yang bijaksana. Beliau seorang tokoh besar agama dari Johor dan seorang ilmuwan yang dihormati.

Ceritanya, dahulu minuman keras boleh didapati di mana-mana sahaja kedai runcit dan minimarket. Bahkan juga di kedai-kedai biasa yang menjual minuman dan makanan. Pembelinya, selain daripada warga asing, tidak dinafikan juga masyarakat di negara ini. Di samping penjualan minuman keras, difahamkan kegiatan judi wujud tetapi tidak menonjol kerana berlindung di sebalik pusat snooker dan billiard. Mereka yang bertatu khususnya bangsa asing pun tak kurang ramai. Dek adanya minuman keras, snooker dan billiard yang biasanya diserangkaikan dengan kegiatan judi walaupun tidak semua, maka imej negara ini tidak memperlihatkan ciri Islamiknya terutama pada dekad tahun 60-an hingga awal 90-an. Benda-benda begini tentunya menarik imigran yang memiliki modal berhijrah ke negara ini untuk membuka usaha kecil-kecilan sedemikian. Situasi pada dekad tersebut memang mencemaskan dan merefleksikan sebuah penyakit sosial kerana ia seperti bom jangka yang bila-bila sahaja meletup dalam erti kata kegaduhan sosial, perkelahian dan huru-hara sesama mereka boleh sahaja berlaku. Oleh kerana itu juga, masyarakat Melayu Brunei (MMB) sendiri tidak berani untuk membeli di zon yang ada elemen seperti itu.

Sejatinya, meskipun ciri Islamik belum begitu menonjol seperti yang kita lihat hari ini, nilai kekeluargaan menjadi teras yang mengikat, dan dibumbui akal budi kebruneian sejati. Nilai ini memupuk MMB hidup dengan tertib dan santun. Mereka cuba mengelak untuk pergi ke tempat itu, menghindarkan diri bertembung dengan golongan seperti itu. Bagi MMB, elemen sosial yang negatif seperti itu bukan satu yang menyenang sebaliknya mencemaskan dan tentuny mengundang rasa kurang selesa dan takut.

Pada akhirnya, minuman keras dilarang dijual di negara ini. Ia tidak lain kerana peranan mufti pertama Sahibul Samaah, (Dr.) Ustaz Haji Ismail bin Omar Abd Aziz sebagai penasihat kerajaan dalam agama. Pelarangan itu ada kaitannya dengan filosofi hidup berbangsa dan bernegara yang negara ini ingin capai dan mahukan. Dek larangan minuman keras tersebutlah maka elemen sosial yang mendekatinya kehilangan magnet, kehilangan tarikan, kehilangan pamor dan tentu sekali kehilangan seru. Lama-kelamaan, golongan ini kebanyakan bangsa asing menghindar dan berlalu pergi kecuali mereka yang bertahan dan melihat peluang positif ekonomi dalam aspek lain memilih bertahan dan pada akhirnya menjadi warganegara setelah memenuhi persyaratan. Pelarangan tersebut telah membuat pekan Seria dan di mana pun jua dahulunya "ngeri" kini tidak lagi mencemaskan sesiapa pun untuk melaksanakan fungsi sosial dan ekonomi masing-masing sehari-hari. Seterusnya, pengenalan langkah memakai tudung bagi penjawat awam di negara ini juga bermula atas nasihat mufti berkenaan. Langkah mewajibkan memakai tudung bagi penjawat awam merupakan satu "tsunami sosial terindah" yang memberikan efek domino bukan sahaja kepada pejawat awam bahkan juga kepada anak-anak, pelajar sekolah, siswa pengajian tinggi dan anak remaja turut memakai tudung apabila keluar dari rumah mereka untuk urusan rasmi dan tidak rasmi. Mereka memakai tudung tanpa dipaksa tetapi ia diterima sebagai satu cara hidup menyeluruh yang sudah ada dalam benak atau fikiran mereka. Dengan kata lain, mereka bukan memakai tudung bila tiba usia matang sekitar 40-an yang pada kebiasaannya kita mendengar kalimat klise iaitu sudah tiba seru. 

Sumber: Google Images

Berbalik kepada pelarangan penjualan minuman keras dan amalan memakai tudung, saya mendapati kesan dan pesannya bukan kecil anak. Ia membentuk imej dan nilai Islamik yang ketara sehingga negara ini benar-benar memperlihatkan jati dirinya sebagai negara Melayu Islam Beraja (MIB). Dengan terbina masjid dalam setiap beberapa hitungan kilometer, pendidikan ugama Islam, membesarkan hari-hari peringatan dalam kalendar Hijrah, amalan membaca doa sebelum memulakan kerja, laungan kemerdekaan dengan Allahuakbar, pemerkasaan tulisan Jawi pada papan nama perniagaan, bangunan dan kenderaan dan penertiban dan pelabelan makanan halal, negara ini semakin memperkukuh state of art atau imej Islamik di mata serantau dan antarabangsa. Imej Islamik ini diperteguh lagi dengan adanya Perintah Pendidikan Ugama Islam Wajib (dari Darjah 1 hingga Darjah 6), penghentian sementara urusan perniagaan selama dua jam pada setiap Jumaat, perbankan Islam dan pelaksanaan Syariah Penal Code telah menjadikan negara ini paling aman dan nyaman untuk didiami. MMB berasa terlindungi dengan situasi yang kondusif untuk melaksanakan rukun Islam dan amalan hidup lain yang berpaksikan kepada budaya Melayu Brunei dengan agama Islam sebagai akarnya.

Beralih ke topik asal wacana ini, lalu apakah yang dimaksudkan dengan memahami makna kebruneian. Kebruneian itu adalah sebuah potrel nasional bangsa yang diproduksi melalui filosofi kebudayaan dan pengalaman dunia bangsanya. Secara umumnya, kebudayaan itu adalah pola perilaku sosial yang memiliki ciri khas sebagai unsur pembeda dengan kebudayaan bangsa lain. Kebudayaan itu memiliki unsur perekat sosial yang memperlihatkan ciri dan identiti tersendiri dalam erti kata MMB terpandu dalam acuan dan bayangan yang telah terprogram dalam benak fikirannya sejak lama. Sederap selangkah. Kunci perekat utama kepada kebudayaan Brunei secara sepintas lalu atau ciri-ciri kebruneian itu tentulah dicerminkan melalui bahasanya yakni bahasa ibunda, bahasa Melayu Brunei (BMB). BMB menjadi perekat sosial kerana bahasa ini menjadi bahasa komunikasi, dibawa dan dituturkan di mana pun mereka berada. Meskipun terkadang kita tidak mengenal mereka apabila berada di negara serumpun, tetapi mendengar mereka bertutur BMB, kita akan berkata "orang Brunei tu". Kedua, riak wajah, cara pembawaan, cara bersikap dan pakaian yang dipilih kental memperlihatkan fitur-fitur kebruneian sebagaimana yang kita kenal pola dan cara masyarakat Malaysia dan Indonesia apabila di negara orang. Ketiga, pakaian kebangsaannya iaitu "Cara Melayu" bagi lelaki pakaian yang nampak majalis (sesetengah orang Brunei menyebut) yang dipakai semasa jemputan majlis istiadat, pakaian yang juga dipakai bagi acara keraian dalam kalendar Hijrah dan majlis perkahwinan. Ini belum termasuk cara menyapa dan membahasakan diri apabila bercakap dengan orang bergelar dan mereka yang berketurunan pengiran. Dan juga adat dan budaya dalam perkahwinan sesetengah puak Melayu yang masih diamalkan sehingga kini. Adab dan santunnya ketika bicara membentuk pola perilaku yang jauh dari tidak berajar. Ciri-ciri ini mungkin nampak terlalu IDEAL bagi masyarakat luar dan mungkin ada pertanyaan apakah ia mampu bertahan, namun kita tentu berharap ia terus kekal bertahan dan diberdayakan kepada anak dan generasi muda Brunei sampai bila-bila.

Seperkara yang tidak dinafikan bahawa agama Islamlah yang mengukuh adat dan budaya kebruneian itu sendiri.  Adat dan budaya yang tidak bertentangan dengan Islam terus berjalan dan berdaya tahan hingga ke hari ini. Islam sebagai ad-deen menjadi teras yang utuh dalam mendukung adat dan budaya Brunei. Ini menjadikan MMB menyayangi dan mencintai negara ini. Meskipun mereka belajar dan terdedah dengan amalan dan cara hidup Barat ketika menuntut, namun kerana cara hidup beragama dan berbudaya Brunei yang sejati sedari kecil menyebabkan mereka ingin segera pulang ke negara ini setelah tamat belajar. Mereka yang memilih menetap di negara baru kerana tawaran pekerjaan juga tetap mengingati negara ini kerana situasi yang kondusif dari segi cara hidup, tataamalan kebudayaan dan kenyamanan melaksanakan rukun Islam. Kita boleh aman dan bebas menampilkan "karya diri" yakni cara berpakaian yang berlandaskan hukum hakam agama Islam tanpa batas waktu kerana di Brunei inilah sejatinya nilai-nilai Islamik dan kebudayaan Melayu itu menampakkan jati diri yang sebenar-benarnya. Inilah tempatnya watan Melayu dan puak Melayu berbanding di negara lain yang sering sahaja terpercik kegaduhan sosial, pertikaian hak kerana masing-masing ingin porsinya secara eksklusif tidak tergugat dan pada masa yang sama fahaman Islam yang terlalu moderat yang memberi peluang dan ruang kepada pihak lain mencabar agama dan akar umbi bangsa Melayu itu sendiri.

Pendek kata ada sesuatu yang merekat di negara ini, ada sesuatu yang menyebabkan mereka menyanjungi negara ini, ada sesuatu yang menyebabkan mereka berasa memiliki sense of belonging dan ada sesuatu yang mendorong mereka berkata syukur dan BERTERIMA KASIH dilahirkan dan seterusnya menjadi warganegara dan dibesarkan di negara ini, BRUNEI DARUSSALAM.






Tiada ulasan:

Catat Ulasan

COVID-19 - Dunia Ini Rapuh dan Tidak Berdaya, Pelajaran Buat Kita

Tidak siapa menduga COVID-19 yang bermula di Wuhan, China merebak ke seluruh dunia. Masyarakat dibuat terpinga-pinga dan panik. Kita dibias...