Sabtu, 4 April 2020

COVID-19 - Dunia Ini Rapuh dan Tidak Berdaya, Pelajaran Buat Kita

Tidak siapa menduga COVID-19 yang bermula di Wuhan, China merebak ke seluruh dunia. Masyarakat dibuat terpinga-pinga dan panik. Kita dibiasakan untuk membersihkan diri, memakai topeng muka bila keluar dan membuat penjarakan fizikal. Kepanikan tersebut membawa kekurangan stok bahan terlaris abad ini, hand sanitiser dan topeng muka. Masing-masing memiliki kesedaran untuk siap siaga dan sedaya upaya memiliki dua perkara tersebut. Supermarket dan kedai runcit menuai hasil kerana pada ketika terjadi perebakan wabak, butik berjenama seperti beg dan pakaian dll bukan pilihan utama ketika ini. Yang diperlukan ialah survival untuk kelangsungan hidup. 

Seperkara yang nyata, COVID-19 membuatkan kita merasakan dunia ini rapuh dan rentan bermasalah selepas ini. Tiada siapa menduga pada ketika dunia bersedia untuk menghadapi cabaran industrial revolution 4.0, dunia perubatan seluruh dunia tidak bersedia atau tidak memiliki vaksin untuk menghadapi wabak baharu yang belum disahkan secara saintifik dari mana asal-usul sebenarnya. Satu demi satu yang terjangkiti rebah dan tumbang khususnya negara teruk mengalami perebakan wabak ini, seperti China, Italy, Sepanyol, United Kingdom dan Amerika Syarikat, bahkan negara serumpun kita Indonesia yang kini berada di zon merah COVID-19!

Wabak ini membuat ekonomi para pemain dalam industri kecil sederhana meruncing, pasaran modal jatuh dan ditutup sementara, industri penerbangan kerugian berjuta ringgit, tempahan pesawat ditangguh atau dibatalkan, harga minyak mentah dunia jatuh, acara sukan besar ditangguhkan dan permintaan atau penawaran barang berstatus mewah menjadi tidak berguna langsung disaat sukar. Masyarakat dunia memiliki kesedaran tinggi bersatu memutuskan untuk memutuskan rantaian jangkitan penyakit dengan duduk di rumah dan menjaga jarak fizikal. Sesi persekolahan dan pengajian tinggi dibuat secara dalam talian.

Meskipun wabak ini membuat kita seperti tidak berdaya, namun kita harus mengamati dan menaakul frasa sarat makna yang berbunyi "necessity is the mother of invention" - Plato. Dalam erti mudah, disebalik kesulitan, ada kemaslahatan. Kesulitan boleh menjadi peluang dalam membangun ekonomi bagi mereka yang peka dan tahu. Dalam perniagaan, untuk penakatan jangka panjang baik dalam bentuk portfolio dan aliran tunai, masyarakat peniaga harus memerah otak untuk mencari profil perniagaan yang sifatnya lestari dan tidak rentan dengan permasalahan yang berlaku. Pemodal dan peniaga perlu mencari tahu apa yang diperlukan oleh masyarakat sepanjang masa. Yang nampak kini, perihal yang berkaitan dengan keselamatan kesihatan, makanan, pendidikan dan keperluan bahan binaan. 

Bagi masyarakat biasa, wabak ini sudah tentu memberi kesan mendalam dan mendidik kita tentang perlunya simpanan disaat sukar. Wabak ini memberi pelajaran berguna untuk menyerap dan membiasakan amalan hidup bersederhana. Bersederhana dalam erti yang sesungguhnya. Bagi negara yang bergantung kepada import bahan makanan, bukan kerajaan sahaja harus memikirkan tetapi rakyat negara perlu berfikir inklusif, beringat tahap tinggi dan memiliki kesedaran mendalam untuk sedar dari mimpi bahawa kita semua perlu membantu negara untuk membangun industri budi daya tanah, iaitu menanam padi dan keperluan lain demi keselamatan makanan negara ini, Brunei Darussalam. Masyarakat kita perlu menghentikan pembaziran dan bersederhana dalam segala hal. Ayuh...

Jumaat, 3 April 2020

Apakah COVID-19 membawa perubahan kepada budaya kita sehari-hari?

Wabak COVID-19 yang bermula di bandar Wuhan, China pada bulan Disember 2019 telah membunuh ribuan orang, dan jumlah yang terjangkiti mencapai 1 juta orang! Pada bulan Februari 2020, wabak yang diisytihar sebagai pandemik global oleh WHO ini telah menular ke benua Eropah, Timur Tengah, Rantau Asia dan Afrika. Dahsyat dan dunia tidak pernah menjangkakan penangan pandemik yang satu ini pada dekad moden dan maju sementelah pada tahun 2020 ini. Tidak sedikit yang tumbang dek kerentanan daya tahan melawan penyakit ini khususnya bagi mereka yang menghidap sejarah penyakit kronik. Bahkan wabak ini juga tidak lagi mengenal bangsa, agama, warna kulit dan status sosial mereka, bahkan mereka yang berusia dalam kalangan 30 tahun ke bawah termasuk anak damit boleh saja dijangkiti, dan membawa maut dalam kalangan mereka yang berkenaan. Wabak ini pada kenyataannya bukan flu, selsema dan batuk biasa-biasa yang dijangka boleh sembuh sendiri. Wabak ini menyerang sistem imunisasi tubuh badan, dan mereka yang dijangkiti berasa lemah dan tidak berdaya. Virus corona ini mampu membuat paru-paru lebih parah daripada pneumonia Bagi mereka yang baru pulang dari negara yang terjejas perlu menjalani self-isolation atau pengasingan diri, manakala mereka yang positif perlu ditempatkan pusat-pusat kuarantin kebangsaan yang telah ditentukan.

Keterlambatan bertindak dan penularan yang tak terbendung, menyebabkan negara-negara yang terjejas mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan, bahkan juga Perintah Berkurung bagi membendung penularan. Sekatan keluar masuk darat, laut dan udara menyebabkan pergerakan pengangkutan terhenti kecuali bagi perkhidmatan yang benar-benar diperlukan. Masyarakat pula disarankan untuk kerap menjaga kebersihan dan mempraktik social distancing atau penjarakan sosial, minimum 1 meter.

Sesiapapun tidak menduga dan menjangkakan wabak ini bisa merantau dan menular keluar dari tempat ia bermula. Sesiapapun dan negara mana pun juga tidak menjangka betapa perayauan wabah ini telah mengubah budaya dan cara sosial negara di mana-manapun jua. Kita dan mereka yang pernah melalui malapetaka atau bencana memahami bahawa bencana alam seperti bah, taufan, letusan gunung berapi, tanah runtuh dan tsunami yang berlaku bersifat setempat atau alam geografi sesuatu negara yang sememangnya rentan dengan masalah tersebut saban tahun. Bencana alam yang tidak merata dan malapetaka ini tidak mengambil masa yang lama untuk diatasi.


Perintah Berkurung atau Perintah Kawalan Pergerakan menyebabkan masyarakat mengubah budaya hidup mereka. Sejatinya, kehidupan manusia itu bergerak. Bergerak untuk urusan hidup seperti bekerja, membeli keperluan, berkunjung dll. Namun wabak ini telah memutasi budaya sosial kita. Daripada bergerak dan pulang sepetang, kini di beberapa negara kita dibiasakan duduk selama 247 jam!

Sejak kes pertama pandemik ini dilaporkan pada 09 Mac 2020 di Brunei Darussalam, kehidupan sosial di Brunei Darussalam dalam semua aspek mulai berubah dan beradaptasi. Dan sudah tentu social distancing atau physical distancing mengubah budaya sosial masyarakat kita. Dua perkara ini ditekankan bagi memastikan penularan wabak dapat diputuskan dan tiada siapa dapat menjangkakan bilakah praktis ini akan berakhir meskipun nanti pandemik ini menemui noktahnya. Masyarakat kini semakin peka, berhati-hati dan siaga dengan persekitarannya. Kebiasaan menyalam kini hanya menegur, angguk atau tangan kanan menyilang ke dada sebagai ganti berjabat tangan. Nak batuk sikit kerana gatal kerongkong pun dah rasa bimbang dipandang sinis oleh masyarakat kecuali batuk ketika sendirian. Apakah akan ada lagi  kebiasaan mengundang jemputan yang ramai dalam sesuatu majlis? Perkumpulan ramai menyebabkan penularan, dan hendak menjamu di kedai makan pun, perlu berhati-hati sekarang.

Bagi mereka pesigup berat yang rentan dan merupakan golongan berisiko dengan wabak ini, apakah mereka bisa menahan diri untuk tidak merokok dan melupuskan kebiasaan tersebut?

COVID-19 setidaknya mengajar kita tentang erti ketabahan, kesabaran dan ketegaran dalam meningkatkan daya tahan diri, kesederhanaan, memahami erti pentinganya masa dan kesempatan dalam hidup, kebersihan diri dan melihat perkara-perkara yang penting yang bukan bersifat kebendaan. Nyatanya, apabila wabak berlaku, perkara penting yang perlu ialah memastikan survival atau kelangsungan hidup dan menghargai peluang.

Rabu, 25 Mac 2020

istilah baharu muncul seiring dengan permasalahan baharu

COVID-19 telah diisytiharkan sebagai pandemik global oleh WHO. Wabak ini pada awalnya bersifat setempat dan muncul di Wuhan, China pada pertengahan bulan Disember 2019, tetapi daya hidup wabak ini di permukaan lembab dan mudah berjangkit melalui sentuhan, bersin, batuk dan dalam jarak sosial yang dekat menyebabkan perebakannya tidak terbendung. Kelekaan dan kelalaian manusia yang menganggap wabak ini hanya merupakan flu dan batuk-batuk biasa menyebabkan penyakit ini menjadi tidak terkawal dan membawa jumlah kematian yang besar sebagaimana  yang berlaku di China, Italy, Sepanyol, Iran dan Jerman. Langkah pencegahan yang bersifat "draconian" atau dalam istilah biasa-biasa disebut sebagai pendekatan tegas dan keras pemerintah untuk menertibkan masyarakat iaitu mengenakan perintah berkurung sebagaimana yang dilakukan di China, Italy dan Sepanyol. Tujuannya tidak lain untuk mencegah perebakan besar-besaran wabak ini.

Seiring dengan permasalahan wabak penyakit ini yang sehingga kini belum benar-benar ditemui vaksin yang boleh mematikan penyakit ini, masyarakat dan dunia disajikan dengan beberapa istilah yang kian dominan penggunaan dalam masyarakat kita sehari-hari. Antara istilah yang dapat didokumentasi dan diketengah dalam naratif ini ialah:

disinfectant - pembasmi kuman/bahan penyahjangkit
social distancing - jarak sosial/penjarakan sosial/jaga jarak aman 
restricted movement order - perintah kawalan pergerakan
lockdown - perintah berkurung
partial lockdown - perintah berkurung separa/terhad/terpilih
self-isolation - pengasingan diri
frontliner - petugas barisan hadapan
kluster rantaian
mengepalabapakkan - tindakan memperolok, mempersenda atau memperlekehkan sesuatu
business continuity plan - pelan kesinambungan kerja

Kita dibiasakan dengan sesetengah naratif istilah ini dalam media-massa. Mak-mak dan bapa-bapa terasa janggal, terkuluk-kuluk atau terkujat-kujat lidah hendak menyebut, tetapi itulah akan ada hal atau konsep baharu bagi mengungkapkan sesuatu seiring dengan benda-benda baharu yang muncul dalam masyarakat kita hari ke hari.

Sabtu, 7 Oktober 2017

era masyarakat konvergens

Kita kini berada dalam era masyarakat konvergens. Era yang menguncupkan perkhidmatan dan keperluan yang sebelum ini berserakan entah di mana-mana, kini menjadi satu hab, satu perangkat atau sebagai pusat sehenti. Pendek kata, era keterangkuman. Ini menjadikan perkhidmatan yang ditawarkan lebih ramah dan bersahabat. Dari sudut ekonomi, ia lebih efektif dari segi kos, masa dan tenaga. Contoh mudah era masyarakat konvergens ialah melalui peranti telefon pintar (smartphone). Dengan telefon pintar yang menyedia demikian banyak application yang memanjakan pengguna, anda bisa berurusan dengan segala macam, antaranya mengambil gambar dengan resolusi tinggi, membeli secara online, e-payment, e-top up, e-statement bank, e-garage sale, melakukan pemindahan wang, gps maps, waze, belajar bahasa, melihat cuaca dunia, kadar tukaran asing, citymapper, peta laluan train dan mrt, menentukan kiblat, wirid dan doa, tempat makan dan segala macam yang dahulunya semua urusan ini memakan masa, biaya dan tenaga.

Tiada siapa yang tidak memiliki sekurang-kurang satu smartphone. Tiada siapa dapat menafikan peranan smartphone dalam semua sisi kehidupan. Sekalipun ada yang membenci smartphone dan melemparkannya ke dinding, anda tetap mahu memilikinya kerana peran pentingnya dalam merealisasikan dunia digital untuk urusan kehidupan seperti yang disebutkan sebelum ini.

Pendek kata, masyarakat kini dimanjakan dalam era konvergens. Mereka tidak perlu banyak bergerak, terkejar-kejar seperti tiada kesudahan. Memadai memiliki gajet sama ada komputer riba mahupun telefon pintar yang tersambung dengan wifi. Trend dunia digital ini memaksa masyarakat mendigitalkan diri mereka sendiri agar mobiliti sosial bergerak seiring dengan inovasi teknologi dan perkhidmatan. Dengan kata lain, kita perlu celik IT dan celik teknologi serta sentiasa mengemaskini pengetahuan agar tidak jauh tertinggal dengan anak-anak. Dunia digital kini bukan sahaja sebagai trend anak muda tetapi juga sebagai sahabat elektronik kepada semua lapisan umur asalkan mereka celik IT. Dunia digital seperti ini bukan barang mewah tetapi merupakan satu wahana keperluan kerana perannya tidak wajar dipandang ringan. Mereka yang menolak digital, anti-IT dan segala bentuk inovasi sehingga degil untuk beradaptasi telah menerima padah yang bukan kepalang. Sebagai contoh, industri retail yang menolak pemasaran digital atau online melalui apa yang dikatakan sebagai penderitaan kerana trend pembeli yang berubah dan beralih daripada tatap muka kepada duduk di rumah dan membeli secara online. Kesannya, industri retail gulung tikar kerana muram dan sunyi dek tiada pengunjung atau pembeli. Bagi pengusaha yang mahu bertahan, mereka harus memanfaatkan digital.

Dunia digital amat sinonim dengan kreativiti dan inovasi. Hakikatnya, pada awal kemunculannya, banyak industri pembuatan kelengkapan elektronik menutup fabrik mereka dek tekanan yang maha dahsyat. Antara yang menerima kesan ialah peranti penyimpanan data yang sudah berubah dan lebih slim, industri pembuatan kamera mini cybershot, gajet GPS, televisyen, bahkan lampu biasa juga beralih kepada lampu LED yang lebih save energy, dekstop yang menyatu antara monitor dan CPU dll.

Digital adalah trendy, namun bila pengakhiran eranya, dan era apa yang mengganti, waktulah yang akan menjawabnya.

Islam Teras Bagi Pembentukan Masyarakat Berbudi dan Penyayang: Pengalaman Brunei Darussalam

Brunei Darussalam meninta sejarah penting ketika ini kerana beberapa hari yang lalu negara ini telah merayakan sambutan Jubli Emas Pemerintahan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Menaiki Takhta. Sambutan ini merupakan satu tinta sejarah penting negara ini yang wajar menjadi ristaan zaman-berzaman. 


Sesuatu yang dibanggakan ialah Brunei Darussalam memilih jalan pemerintahannya sendiri kerana percaya bahawa gabungan sejarah panjang pemerintahan Kesultanan Brunei, Islam, pengalaman dunia, kebudayaan, bangsa, bahasa dan cara hidup yang dinikmati zaman berzaman adalah sesuatu yang mahal untuk diuji cuba, dieksperimen apatah lagi digantikan dengan sistem negara bangsa yang dianut oleh negara lain.  

Dahulu, ketika negara lain membangun sistem negara bangsa mereka pada era selepas kemerdekaan, pendidikan sekular diutamakan. Ia bertujuan untuk melahirkan masyarakat industri bagi membangun dan memajukan ekonomi serta memastikan ekonomi negara berkenaan mampu bersaing dan berdaya tahan. Pendidikan Islam kurang diberi tumpuan dan dimasukkan sebagai period kecil dalam pendidikan sekular. Memang ada sekolah agama penuh tetapi ibu bapa lebih memilih menyekolahkan anak mereka di sekolah sekular kerana peluang pekerjaan lebih terjamin.

Berbalik pada negara ini, pada era kemerdekaannya sehingga awal tahun 90-an pada ketika perkembangan ICT belum begitu hebat seperti hari ini, Brunei Darussalam kekal dilihat sebagai negara yang sentimental dan perlahan dalam pembinaan negara bangsa. Ia tidak peduli dengan pandangan sinis negara lain walaupun pandangan itu tidak ketara kelihatan pada ketika negara ini kekal dengan penerapan Islamik tulen dalam seluruh sendi-sendi kehidupan masyarakatnya. Kurikulum pendidikan Islam digubal dan anak-anak dimestikan mengikuti sekolah ugama pada sebelah petang sehingga tamat Darjah 6. Institusi keluarga dan perkhidmatan awam diseru untuk dihidup dan digemakan. Sambutan Hari Kebesaran dalam kalendar Hijrah digemakan. Tiada hari tanpa membaca doa, tahlil, surah Yassin, majlis Khatamul Al-Quran dalam meraikan peristiwa-peristiwa dalam kehidupan kebruneian di negara. Doanya panjang-panjang dan kadangkala menjadi bahan cakap masyarakat luar yang gerah melihatnya khusus orang Islam sendiri! Tetapi Brunei Darussalam tetap teguh dan kekal konsisten sehingga ke hari ini. Kesan dan pesan daripada penguatan fondasi Islam dalam kehidupan masyarakat di negara tidak lain ialah untuk melahirkan masyarakat berbudi dan penyayang. Pendek kata, perlu ada keseimbangan antara kemajuan fizikal dan kemajuan spiritual. 

Hakikat hidup selalu mengabsahkan bahawa menubuhsuburkan hal yang baik sejak mula pastikan akan menerima laba yang baik pada akhirnya. Apatah lagi yang dididik dengan hal yang baik itu adalah manusia! Dan inilah terjadi di negara ini. Keteguhan dan kebulatan hati serta tekad untuk melahirkan masyarakat berbudi dan penyayang melalui penguatan pendidikan Islam sebagai cara hidup telah membentuk sikap dan perilaku masyarakat di negara ini. Meskipun kesilapan dan kesalahan dalam mengelola hidup adalah hal yang manusiawi tetapi di Brunei Darussalam, perkara sedemikian masih boleh diatasi. Jika diperhatikan di negara luar, tumpuan kepada pendidikan sekular kini melahirkan segelintir generasi yang kasar, hedonis, bengis dan kurang sikap penghargaan. Ia berpunca daripada keutamaan pendidikan sekular yang tidak diimbangi dengan pendidikan rohani sehingga mewujudkan masyarakat yang tidak seimbang dari segi kejayaan yang diraih dengan sikap atau pola perilaku mereka sesetengahnya. Pendek kata, kejayaan fizikalisasi tersebut tidak diimbangi dengan kejayaan untuk membentuk masyarakat cerdas dari segi pola perilaku. Dek kurangnya masyarakat berbudi dan penyayang maka hampir setiap hari kita mendengar ada sahaja masalah sosial yang berlaku.


Brunei Darussalam percaya bahawa membangun negara bangsa yang berbudi dan penyayang tidak hanya dengan pendidikan sekular semata-mata tetapi pendidikan yang dilihat sebagai sentimental tetapi mempunyai nilai tinggi dalam pembentukan kejiwaan. Ia tidak lain bahawa manusia itu perlu kembali kepada ajaran Al-Quran dan As-Sunnah.  Dengan kata lain, masyarakat perlu dididik dan dibajai dengan sifat insan dan ihsan. Semua ini ada dalam ajaran Islam yang syumul dan holistik. 

Pada hari ini, pada ketika beberapa tahun dahulu komuniti Cina di negara ini gusar, gelisah dan resah dengan penutupan dua jam urusan perniagaan semasa solat Jumaat dan larangan sementara berniaga sebelah pagi pada bulan Ramadhan, kini mereka menerimanya sebagai satu hakikat atau kenyataan hidup yang wajar dipatuhi di negara ini. Mereka hidup aman, mereka menikmati keamanan tanpa mendapat syak wasangka, prejudis dan sikap rasis daripada orang Brunei sendiri. Komuniti Cina mengakui berasa bertuah menjadi bahagian daripada masyarakat negara ini yang dapat hidup aman dan meraihkan kekayaan hasil daripada sikap bekerja keras mereka dalam berniaga. Tiada siapa yang menggangu dan mempersoalkan apa yang telah mereka nikmati. Yang dituntut oleh orang Brunei ialah komuniti Cina harus menyesuaikan diri dan menghargai nikmat yang telah mereka terima. Berniaga dan bergembiralah tetapi jangan berlebihan dan menganggu.

Jadi percayalah, agama Islam adalah teras bagi pembentukan masyarakat berbudi dan penyayang. Tidak peduli kita dikatakan ketinggalan zaman dan tidak mengikuti peredaran atau perkembangan semasa, menolak perkara mungkar antaranya penjualan atau tempat khusus untuk minuman memabukkan dan sebagainya, tetapi anda lihatlah sehingga ke hari bahawa Islam menjadikan Brunei Darussalam sebagai negara berkah dan rahmat bagi semua.


Jumaat, 22 September 2017

Salam Maal Hijrah 1439: Dirgahayu Islam Dirgahayu Bruneiku

Tahun Hijrah berlalu dan berganti begitu pantas. Ini tidak terkecuali dengan  tahun Masihi. Pergantian tahun bermakna pertambahan usia bukan sahaja kepada manusia bahkan juga pertambahan usia kepada negara baik dari segi usia kemerdekaan, usia peradabannya mahupun usia pendekatan pemerintahan yang dipilihnya. Ini tidak terkecuali Brunei Darussalam khususnya dalam konteks usianya sebagai sebuah negara Islamik yang demokratik. Brunei Darussalam sejak 33 tahun silam telah menetapkan Islam adalah agama rasmi negeri ini dalam Perlembagaan Negeri Brunei 1959. Agama Islam secara substantif menggariskan empat perkara penting, iaitu akidah (keimanan), ibadah (amalan dan pekerjaan), syariah (eksekutif, legislatif atau perundangan dan halal haram) dan akhlak (integriti, pola perilaku dan hubungan sesama manusia, jujur, bersih dan amanah).

Islam menjadi teras atau fondasi utuh yang mengukuhkan falsafah Melayu dan Beraja atau secara konstituen disebut sebagai Melayu Islam Beraja (MIB). Pada ketika negara dunia memilih pendekatan pemerintahan menurut acuan fahaman politik Barat dengan penyesuaian elemen tempatan melalui apa yang disebut sebagai demokrasi, demokrasi berparlimen, raja berperlembagaan, negara republik, Brunei dengan penuh yakin dan berani memilih acuan dan pendekatannya sendiri iaitu MIB. Sehingga kini MIB telah teruji zaman  dan menjadi filosofi yang IDEAL bagi Brunei Darussalam, sesuatu yang mengundang decak kagum negara sahabat untuk meneliti, mendalami dan mempelajari pendekatan tersendiri yang dipilih oleh negara ini.

Mengenai pengukuhan syiar Islam di negara ini, usaha gigih dilakukan oleh kerajaan bagi memastikan ekosistem Islam tumbuh subur baik secara rohani mahupun fizikal. Pendidikan Islam terus diperkasa untuk melahirkan insan-insan yang berbudi dan penyayang. Hanya masyarakat yang berbudi dan penyayanglah, negara akan kekal aman, tenang dan damai melalui sikap penghargaan yang kekal diberdayakan melalui pendidikan sejak azali lagi. Acara kebesaran dalam kalendar Islam terus hidup dan diperbesarkan. Pembinaan masjid digerakkan. Jika tamu Islam luar negara yang datang tidak pernah sulit untuk mengerjakan solat fardu kerana boleh dikatakan dari hujung ke hujung, dari hujung ke tengah, atau dari kiri ke kanan ada masjid untuk disinggahi.

Pendekatan Islamik dan tataamalan kehidupan khususnya bacaan Al-Fatihah dan doa selamat dalam semua program keraian kerajaan dan masyarakat merupakan sesuatu yang bukan asing bahkan wajib dan satu kemestian yang diterima dengan senang hati kerana menyedari alam dan perjalanan kehidupan ini ada yang mengaturnya sesuai dengan firman Allah swt dalam surah Ali-Imran Ayat 54 yang bermaksud "mereka merancang, Allah juga merancang, sesungguhnya Allah sebaik-baik perancang".

Pendidikan agama Islam diperkasa. Dan pendidikan ini merupakan perintah wajib yang tidak boleh dikesampingkan dan merupakan prasyarat dalam memohon biasiswa pendidikan dan pekerjaan dalam sektor kerajaan. Brunei Darussalam menunjukkan kesungguhan dan komitmen serius dalam memperkasakan agama Islam di negara ini. Perintah penutupan pusat perniagaan dan aktiviti selama dua jam semasa solat Jumaat dikuatkuasakan. Mereka yang degil, diberikan teguran dan jika ingkar, bakal dikenakan penalti. Syariah Penal Code diperkenalkan. Halal haram sentiasa dijaga, dan dikuatkuasakan. Laungan Allah Maha Besar menggantikan laungan merdeka, laungan Allah Maha Besar dilaungkan pada sesi graduasi, serta produk universiti harus khatam al-Quran 30 juzuk menjadi budaya. Sesungguhnya praktis merupakan satu pembudayaan yang patut dibanggakan dan diberdayakan sesuai dengan ajaran Islam bahawa kita perlu kembali kepada ajaran Al-Quran dan As-Sunnah demi kemaslahatan dan perpaduan ummah.

Ekosistem Islam yang kondusif melalui pendidikan sejak dini, pentarbiahan Islam yang menyerap dalam keseluruhan sendi-sendi kehidupan dan ditambah lagi sikap berawar galat dan menghormati, telah membentuk bangsa Melayu Brunei menjadi masyarakat yang santun dan berbudi. Tradisi sosial yang berdaya tahan hasilnya daripada pembangunan rohani sejak dini ini telah dituai dan terjaga di negara ini saban tahun. Situasi ini diharap terus berpanjangan dan komitmen berterusan kerajaan negara ini memperkukuh dan memperteguh Islam tulen diharap dapat melahirkan manusia Islam tulen yang berupaya meredam serta mencegah munculnya ultra-Melayu yang anti-Islam dan mereka yang merapu sebagaimana pengalaman di negara jiran. Pendek kata, umat Islam perlu bersatu dan kembali kepada ajaran Al-Quran dan As-Sunnah demi kemaslahatan dan perpaduan ummah sebagaimana praktis di negara ini.

Hidup dan menjadi rakyat negara ini merupakan satu keberuntungan yang tidak ternilai. Ekosistem Islam yang kondusif sejak zaman bahari sehingga kini, menjanjikan segala sesuatunya meyakinkan di negara ini, baik dari segi cara berpakaian yang Islamik, mengerjakan ibadah, keyakinan tentang makanan halal, amalan kebersihan, pola perilaku dan bahkan kekemasan dalam pengelolaan hidup masing-masing kita menjadikan negara ini memiliki standard hidup yang tinggi.

Dirgahayu Islam Dirgahayu Bruneiku




Rabu, 7 Disember 2016

kecerdasan sosial berpengaruh kepada pola perilaku kehidupan

Pernahkah kita mendengar apa yang dimaksudkan "social intelligence (SI)" atau dalam bahasa mudahnya disebut sebagai kecerdasan sosial. Mungkin ada yang sudah biasa dengan dua kata ini, atau lebih banyak yang baru tahu mengenainya, sama seperti saya...haha. Jika nak tahu lebih lanjut, cubalah google mengenainya. SI dikemukakan oleh Daniel Goleman. Dalam banyak terjemahan yang diberikan mengenai SI, dapatlah dipetik bahawa SI merujuk kepada seseorang yang dikatakan memiliki kecerdasan sosial apabila keputusan dan tindakan alaminya mendinginkan semua pihak. Hakikatnya. wasilah tentang kecerdasan sosial ini disebut  oleh Baginda Rasulullah S.A.W, riwayat Thabrani yang berbunyi "sebaik-baik manusia adalah orang yang bermanfaat bagi orang lain".

Images: Google

Nah pertanyaannya sekarang apakah kita memiliki kecerdasan sosial ini. Apakah kecerdasan sosial ini tiada hubungannya dengan ekosistem sosial dan politik sesebuah negara? Apakah kecerdasan sosial ini tiada hubungan dengan agama yang kita anuti? Apakah kecerdasan sosial yang kita miliki dari segi plus dan minusnya dapat mendingin semua pihak? Mungkin ya mungkin lebih banyak tidak. Ia kembali kepada sikap, cara pandang, latar hidup, situasi yang dihadapi dan pengawalan emosi kepada masing-masing individu.

Hari ini dan ke depannya, peningkatan populasi merupakan sesuatu yang pasti. Indeks petunjuknya ialah bertambahnya permintaan bagi kediaman, kenderaan, industri perkhidmatan seperti hospital, klinik komuniti, sekolah, pembukaan kawasan perbandaran baru, link bagi kemudahan infrastruktur, pembinaan jambatan dan jejambat penghubung bagi keperluan penduduk. Semua ini penting bagi memastikan elemen ini ada seiring dengan pertumbuhan populasi. Lalu apa hubungannya dengan kecerdasan sosial?

Perkembangan dan pembangunan dalam semua sektor ini rupanya berimbas kepada kehidupan sehari-hari. Suka atau tidak, kita harus membiasakan diri. Kita harus bersosialisasi dan beradaptasi dengan persekitarannya.  Dalam bersosialisasi ini, dunia ditampilkan dengan pelbagai ragam jenis manusia dengan kecerdasan sosial yang dimiliki mereka. Ada yang ok tetapi mungkin sahaja lebih banyak yang tak ok. Ia merupakan respons alami kadang secara sedar namun tak kurang juga sengaja tidak mahu sedar asalkan aku aman.

Contoh yang paling mudah ialah dengan berkaca kepada pengguna jalan raya. Lorong kanan adalah untuk kelajuan sesuai dengan batas aturan yang ditetapkan, tetapi masih ada yang memandu perlahan dan menjadi pemimpin kepada pengguna jalan raya lain di laluan yang sama. Saat yang bersamaan, di kiri pula bergerak terlalu perlahan, sehingga membuatkan pemandu yang di belakang memandu seperti mengasak kerana tiada ruang untuk memotong.

Lain pula halnya dengan peniaga pasar ikan dan tamu pasar malam. Sudah diberi bangku berniaga, diletakkan pula meja di lorong laluan dan berganding pula peniaga di hadapannya melakukan hal yang sama.  Begitu juga peniaga pasar malam, ketika musim buah durian gugur dan berlambak untuk dijual. Mereka hanya berfikir ini masih kawasan aku, tempat aku dan aku mahu barang jualan aku dapat dilihat dan dibeli. Yang lain, lantaklah. Tindakan penjual ini sebenarnya sudah mengambil hak dan ruang pembeli yang lalu-lalang. Sudahnya laluan menjadi sempit jika berselisih dan membawa barang sehingga tidak praktis untuk bergerak santai kerana perlu ektra hati-hati.

Parkir merupakan satu masalah di mana-mana pun selagi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) tidak meletakkan syarat wajib bagi pembangunan premis komersial untuk membuat basemen. Maka kereta diparkir sesuka hati. Cara mengatasi, disimpan tiang besi. Di masjid pun begitu apabila waktu solat Jumaat. Memarkir sesuka hati dan menghadang laluan  menjadi kebiasaan. Mereka yang melakukannya keluar dari masjid tanpa rasa bersalah kepada yang sudah menunggu. Kita jangan berfikir tiada apa-apa dan tidak mengapalah bukan lama sangat. Itu cara berfikir eksklusif, pentingkan diri. Siapa tahu orang tersebut perlu buru-buru kerana ada hal penting yang menanti.

Menjadi trend kini orang berlumba memviralkan sesuatu. Jika berita baik tidak mengapa, bagaimana pula kejadian kemalangan ngeri yang melibatkan kecederaan teruk dan kehilangan nyawa. Sesiapapun yang menyebar dan memviralkannya atas alasan apapun pada dasarnya mereka tidak memiliki empati kepada mangsa dan waris mereka. Mereka tidak memiliki kecerdasan sosial dan emosi yang benar sebaliknya menjadi orang yang kiasu dan pentingkan diri tanpa memikir perasaan orang lain.

Dalam hal hubungannya untuk mendorong masyarakat membaca dan membaca di mana-mana sekalipun, kita biasa mencontohi perilaku masyarakat di negara maju seperti Jepun dan di Eropah. Ada yang memuji dan tidak kurang pula mengatakan ekosistem perbukuan di negara maju ini begitu ummphh bahkan buku tertata rapi di rak penaruhan khas baik dalam kereta api, di lounge dan tempat menunggu lain untuk dimanfaatkan oleh penumpang. Bagaimana kita? Saya katakan bahawa budaya membaca memerlukan kecerdasan sosial yang tinggi atau kesedaran awam yang tinggi. Ia tumbuh kerana "desakan" sistem sosial, ekonomi dan politik dalam sesebuah negara itu menuntut meritokrasi daya kompetitif yang tinggi. Mereka yang tidak progresif dan dinamik, akan tertinggal. Akhirnya kita dapat menilai bahawa membaca bukan lagi  satu keperluan tetapi satu kemestian dan sebuah kenescayaan. Bagi mereka yang tahu ini, mereka akan melihat peri penting membaca meskipun mereka berada dalam zon yang selesa sekalipun.

Dipendekkan cerita, untuk berkembang kita harus berfikir inklusif. Kita tidak hanya perlu berfikir untuk diri kita, tetapi kita berfikir untuk diri kita dan efeknya kepada persekitaran kita. Hanya mereka yang memiliki kecerdasan sosial yang bagus, berfikir inklusif, bijak dalam mengawal diri, mengurus emosi adalah mereka yang digolongkan sebagai antara insan yang memiliki mentaliti kelas pertama. Allahuklam.


COVID-19 - Dunia Ini Rapuh dan Tidak Berdaya, Pelajaran Buat Kita

Tidak siapa menduga COVID-19 yang bermula di Wuhan, China merebak ke seluruh dunia. Masyarakat dibuat terpinga-pinga dan panik. Kita dibias...