Dua puluh sembilan tahun yang lalu kami disatukan di sebuah graha yang dinamakan sekolah. Ya, graha itu Sekolah Menengah Tunku Ampuan Durah (STAD), Sikamat, Seremban, Negeri Sembilan. STAD terletak di pinggiran bandar Seremban. Sikamat sejarahnya merupakan jantung yang amat sinonim dengan batalion tentera dan kawasan ini sering disebut sebagai Sikamat Kem. Apapun, lokasi STAD sebenarnya berada di posisi strategis pusat ilmu, kerana dipermukimannya tidak sahaja di huni oleh ketumbukan tentera tetapi juga menjamur sekolah-sekolah dengan kebesaran namanya. Siapa tak kenal Sekolah Menengah Dato Abdul Razak (SDAR), Kolej Tunku Kursiah (KTK), dan Sekolah Agama Sheikh Ahmad yang acap kali menoreh keputusan terbaik dalam peperiksaan penting nasional dan diberi perhatian pemimpin serta media arus perdana. STAD juga berada kurang lebih tiga pelaung dengan Institut Perguruan Raja Melewar yang memahat sejarah panjang dalam melahirkan graduan guru pelatih saban tahun.
Dua puluh sembilan tahun lalu STAD antara beberapa buah sekolah yang pada zamannya dihuni oleh anak-anak yang berjaya dalam pendidikan dan sukan. Antara sukan yang terkenal pada zaman kami tentulah bola sepak, ragbi, hoki, bola jaring dan olah raga. Ada antara disiplin sukan ini yang telah menghantar pelajar STAD sebagai pelatih sukan bagi mewakili negeri dalam kejohanan penting seperti Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM). Kebanyakan yang menonjol dalam kegiatan sukan ini adalah pelajar lelaki. Yang membuat asa pelajar lelaki STAD tak lain kerana kami berjiran dengan SDAR sekolah berasrama penuh yang dihuni oleh pelajar lelaki yang cemerlang dan datang daripada pelbagai pelosok negeri di Malaysia dan bersekolah di situ.
Sumber: Google Images |
Dua puluh sembilan tahun dulu, jangan tak tahu STAD menjadi tempat bagi artis popular menuntut ilmu, antaranya Erma Fatima dan Sharifah Shahirah. Mereka bersekolah selang beberapa tahun kami dari sekolah yang berbeza di daerah di Negeri Sembilan, Selangor dan pelajar sejauh Sabah dan Sarawak bergabung di STAD untuk menyambung pendidikan di Tingkatan 6 bawah dan atas pada tahun 1986/87.
***
Dua puluh sembilan tahun kini, kami ditemukan kembali melalui aplikasi pesan hasil racikan Jan Koum dan Brian Acton, tak lain tak bukan Whatsapp (WA). Semua itu bermula dengan penjejakan teman lama melalui media sosial seperti e-mel, blog dan Facebook. WA menjadi ruang sosial yang superaktif kini apabila masing-masing pada ketika kedewasaan memungkinkan segalanya untuk kami bersirah, berkisah, berkongsi, bersenda gurau, berbagi gambar kenangan dan terkini dan sesekali disertai misi serius untuk berusaha membangun ekonomi mandiri melalui usaha. Pertemanan yang disatukan kembali ini sebenarnya merunut dan menggamit memori, memangkas kerinduan dan mendekatkan jarak. Bualnya mengalir. Ketawanya lepas meski hanya diwakili ikon-ikon aplikasi pesan. Aplikasi pesan ini menyambung tali silaturahim yang terpisah dengan ikatan persahabatan terus diperkuat, pengharapan ditanam bersama, lalu kami saling mendoa untuk hidup yang lebih baik.
Sebahagian pelajar kelas 6 Atas Sas 4 |
Bersama rakan sekelas Adnan Nordin |
Kunjungan perpisahan kami buat Cikgu Megat Redzuan, Penolong Pengetua STAD |
Kemesraan ini janganlah cepat berlalu |
Tuan Nazir dengan pacuan 4WD bagi menjayakan misi bantuan ke Kelantan |
Berdiri dari kanan ke kiri: Norliza Darun Nafis, Aliza Ali, Norien, Rapi dan Marliza |
Dua puluh sembilan tahun kini, kami berkaca bahawa pertemanan kembali ini mengingatkan kita tanpa perpisahan kita tak akan pernah memaknai pertemuan.