Isnin, 21 Mac 2016

Pemberian kerakyatan tidak diberikan selarah-larahnya

Isu pemberian kerakyatan adalah antara isu sensitif dan seksis dalam perbahasan Sidang Majlis Mesyuarat Negara (MMN) Pada Musim Permesyuaratan Pertama Kali Ke-12/2016. Isu ini dibangkitkan oleh YB yang sama. Dan kalau tidak silap amba, ini kali yang ketiga. Bermakna sudah tiga tahun dibangkitkan. Respons yang diberikan oleh YB Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri tetap konsisten berdasarkan peraturan yang terpakai (baca: http://www.bt.com.bn/news-national/2016/03/23/minister-reiterates-conditions-granting-citizenship). Lulus peperiksaan bahasa Melayu bukanlah satu syarat mutlak pemohon itu diberikan kerakyatan. Pendek kata, pemberian kerakyatan tidak dibuat sewenang-wenang atau selarah-larahnya. Ia memerlukan tapisan dan saringan yang teliti dalam semua aspek termasuklah aspek keselamatan negara. Isu ini menjadi momokan media ketika respons mengenainya di MMN dibahaskan.

Hamba bersetuju dengan jawapan dan pendirian kerajaan dalam perkara tersebut. Ini bagi menjamin keselamatan negara dan ketahanan sosial puak yang diiktiraf dalam Dokumen Kerakyatan Tahun 1961 serta dari segi kestabilan politik dan pelestarian falsafah dan kebudayaan mengikut calak Brunei terus dipertahan dan diperkukuhkan. 

Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia telah mengkanunkan bahawa negara ini akan selama-lamanya menjadi Negara Melayu Islam Beraja (MIB). Filosofi ini didukung melalui tiga pilar nasional lain, iaitu (1) Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia yang ditafsirkan sebagai satu perintah yang perlu dilaksana, (2) Perlembagaan Negeri Brunei 1959 dan Dokumen Perlembagaan Pindaan 2004, dan (3) Negara Zikir. Pilar nasional ini dicernakan melalui Wawasan Brunei 2035.

Secara logika, pelaksanaan MIB termasuk pilar nasional lainnya tentulah dapat dipraktis dan diberdayakan dalam situasi yang kondusif dan mendukung dengan atmosfera sosial yang memiliki iktikad yang sama, baik dari segi lahiriah mahupun batiniah. Itulah realitinya. Alhamdulillah, sejak pengisytiharan Hukum Kanun Jenayah Syariah dan penutupan urus niaga selama dua jam semasa solat Jumaat serta penerapan nilai-nilai Islam dalam kehidupan dan pekerjaan dikukuhkan termasuk membesarkan hari-hari kebesaran Islam, syiar Islam di negara terus bercahaya dan gemilang bagi menjadikan Negara Brunei Darussalam sebagai negara rahmatan lilalamin. Dengan kata lain, upaya pengukuhan MIB melalui komponen M yakni dari segi bangsa, bahasa dan budaya serta resam hidupnya, komponen Islam sebagai agama yang menyeluruh yang merangkumi semua sendi-sendi kehidupan yang dalam pemerintahan kita kenal dengan istilah yang disebut sebagai syumul, ad-Deen, baidatun toibatun warabun ghafur, dan Beraja sebagai khalifah Allah swt di muka bumi serta sistem kerajaan yang telah diasaskan sejak turun-temurun. Komponen Islam yang terletak di tengah MIB mencerminkan sebuah teras yang kukuh. Islamlah yang mengukuhkan dua komponen lain kerana Islam itu mengandungi ajaran yang lengkap tentang Tauhid (doktrin keesaan) yang meliputi peringkat falsafah, metafizik, kognitif, afektif dan praktis dalam semua aspek baik politik, ekonomi mahupun sosial.

Secara umumnya, falsafah MIB adalah landasan kukuh atau staats fundamental norm yang juga digunakan dalam kehidupan bernegara. Inilah model jalan pemerintahan yang dipilih kerana falsafah MIB dibina dan dikembangkan berdasarkan pengetahuan dan kebijaksanaan tempatan (local genius) yang dinilai sebagai falsafah yang unggul, ideal dengan corak dan sistem sosial serta politik negara ini. Falsafah yang berdaya tahan ini dilihat sebagai satu model terbaik dalam mengemas, mengurus, mengelola dan menyerap tekanan-tekanan sosial, politik dan ekonomi di negara ini. Mengapa MIB perlu dilihat sebagai konsep yang ideal dalam konteks negara ini? P. Berger dalam bukunya The Capitalist Revolution menjelaskan situasi global ketika ini dikuasai oleh negara kapitalis yang telah menciptakan satu fenomena dalam sejarah. Kapitalisme telah mengubah masyarakat dunia satu demi satu dan menjadi sistem internasional yang menentukan nasib ekonomi sebahagian besar bangsa di dunia dan secara tidak langsung menentukan nasib sosial, politik dan ekonomi. Era globalisasi seperti ini cepat atau lambat, amat berpengaruh terhadap KEHIDUPAN KEBANGSAAN di berbagai belahan dunia tidak terkecuali negara ini. Maka dengan itu, setiap negara perlu memiliki falsafah negara bangsa yang secara konsisten dan ideal menjadi the way of life dan mampu pula membentengi, beradaptasi serta menangkis serangan globalisasi demi kelangsungan hidup berbangsa dan bernegara.

Ini bermakna, sesiapa juga yang menjadi warganegara ini harus memahami, menghayati dan menyesuaikan diri dengan MIB sebagai pilar nasional penting di negara ini. Kita harus menunjukkan serta membuktikan kesetiaan yang tulen kepada negara ini, raja dan sistemnya. Adalah sesuatu yang dangkal bagi bangsa yang tidak diiktiraf secara konstitutional kelembagaan khususnya dalam Dokumen Kerakyatan 1961 memohon untuk menjadi warganegara ini hanya mempelajari bahasa Melayu untuk lulus tetapi dalam hidupnya tidak ramah dengan penggunaan bahasa berkenaan dan memperlecehkannya. Sesetengah golongan ini yang menjadi pengusaha serta menguasai aset dan perniagaan, didapati tidak mengangkat bahasa Melayu dan tulisan Jawi dalam papan nama perniagaan mereka. Mereka dilihat semakin berani melanggar dan tidak malu untuk tidak menggunakan bahasa Melayu dan tulisan Jawi baik di papan nama perniagaan dan tirai pentas dalam majlis-majlis keraian yang mereka kendali. Mereka lebih akrab dengan bahasa asing tiada niat yang tulus untuk mempelajari bahasa Melayu dengan baik. Mereka patut belajar bagaimana puak minoriti di negara lain yang menjadi bangsa yang taat, akur dan survive serta harus mempelajari dan menguasai bahasa lingua franca di negara yang mereka diami. 

Mereka seharusnya punya malu kerana memiliki keinginan tinggi untuk menjadi rakyat di negara ini kerana peluang ekonomi, peluang mengumpul kekayaan dan peluang menikmati kehidupan aman damai yang sangat menjanjikan. Oleh kerana itu, mereka seharusnya menunjukkan sikap sosial dan watak serta memperlihatkan KESETIAAN TULEN dalam mematuhi sistem  yang dituntut di negara ini. Mereka patut menterjemahkan dalam kehidupan mereka. Kesetiaan tulen merupakan satu kerelaan yang diterima dan ia adalah harga yang harus dibayar bagi memastikan negara ini benar-benar memiliki WARGANEGARA YANG BERNILAI, memiliki karakter kebruneian sejati, mereka yang sanggup berjuang dan berkorban. 

Daulat Kebawah Duli Tuan Patik.














Ahad, 20 Mac 2016

pendidikan karakter berupaya memupuk sikap sosial yang positif

Sekolah adalah "rumah ilmu yang sangat krusial" selain daripada peranan institusi keluarga dalam pembentukan dan pengembangan rupa bangsa yang sesuatu negara inginkan. Di sekolah, anak-anak dibimbing berdasarkan kurikulum pendidikan yang digubal mengikut tahap pendidikan. Kurikulum ini digubal bagi memenuhi kehendak yang disesuaikan dengan pendidikan dasar, menengah, lanjutan dan tinggi yang setiap satunya berhubungan dan bersinambungan. Pada akhirnya, anak-anak akan melalui peperiksaan besar dan wajib untuk memastikan setiap langkahannya. Jika berjaya berdasarkan merit dan meraih purata nilai gred yang mencukupi, maka anak-anak berkenaan akan menyambung pendidikan dan pengajian berdasarkan bidang yang mereka minati.

Pertanyaannya sekarang apakah pendidikan itu sekadar fokus di bilik darjah khususnya di peringkat pendidikan dasar sebagai proses pembenahan yang paling krusial? Rasanya tidak. Tidak memadai pendidikan hanya berfokus dalam bilik darjah kerana pendidikan bukan sekadar melahirkan manusia cemerlang dalam keputusan peperiksaan tetapi pendidikan harus membina dan membangunkan nilai atau karakter bangsa. Ertinya pendidikan harus menekankan keseimbangan antara pendidikan dalam bilik darjah dan pendidikan nilai atau karakter. Pendidikan nilai dan karakter (selepas ini disebut pendidikan karakter) tidak hanya dibahaskan dalam bilik darjah berdasarkan sukatan kurikulum yang ada dalam buku pelajaran, tetapi pendidikan karakter ini harus dipraktikkan di luar bilik darjah.

Pendidikan karakter mengajar dan mendidik anak-anak menjadi orang dan sekaligus manusia yang bertanggungjawab, menghargai diri mereka dan orang lain dan tentunya diharap menjadi insan yang berguna kepada keluarga, agama, bangsa dan negaranya. Oleh kerana itu, ibu bapa tidak harus melenting dan naik angin apabila anak mereka serta seluruh isi sekolah bersama-sama membersihkan sekolah dari sampah dan kotoran, mengecat dan membersih tandas! Ibu bapa jangan buru-buru memarahi guru dan sekolah serta mengajar mengapa pihak sekolah tidak mengarahkan karyawan pembersih mereka untuk membuat kerja berkenaan. Ayuh mari kita lihat dengan hati yang dingin apakah nilai baik dari segi kesan dan pesan inisiatif berkenaan diajar kepada anak-anak mereka. Dengan melaksanakan perkara berkenaan, anak mereka dididik tentang pentingnya menghargai diri sendiri, menghargai orang lain, menghargai kelengkapan yang digunakan serta menghargai persekitaran mereka. Pada masa yang sama, nilai-nilai yang diajar di sekolah berkenaan harus dikondusifkan oleh ibu bapa mereka di rumah. Misalnya, anak-anak dididik untuk berdikari dan tidak terlalu bergantung kepada pembantu rumah bagi hal-hal yang mudah dan sangat bererti bagi memupuk nilai dalam proses pendewasaan mereka sekaligus mereka diasuh menghargai orang dan persekitaran mereka. Suasana kondusif dan saling mendukung ini, bererti sekolah dan institusi sosial memainkan peranan krusial dalam menghantar pesan dan kesan tentang pentingnya pendidikan karakter untuk anak-anak tumbuh menjadi manusia yang memiliki akal budi yang baik serta menghargai nilai yang mereka dapatkan sama ada secara langsung mahupun tidak langsung. Pada akhirnya, apabila pihak sekolah memupuk pendidikan karakter melalui pendidikan luar bilik darjah, institusi sosial yang peka dengan hal tersebut akan menyokong dan mendukung inisiatif berkenaan sebagai sesuatu yang wajar dilakukan bukan untuk membebankan anak-anak mereka.

Menjengah ke luar, satu pendidikan karakter secara tidak langsung yang sangat bernilai diperkenalkan di Singapura. Ia disebut sebagai Cabaran Langkah Kebangsaan atau Rep with Steps. Inisiatif ini diperkenalkan oleh Lembaga Penggalak Kesihatan (HPB), Singapura yang disasarkan kepada pelajar dan ia bertujuan untuk menggalakkan lebih ramai pelajar aktif, tidak berpeluk tubuh, kurang memanjakan diri bagi mengekalkan gaya hidup sihat.  Komitmen nasional yang bersifat inklusif dan holistik ini tentunya memberi kesan domino yang hebat bagi pembinaan sumber manusia yang aktif, cergas dan bertanggungjawab.  Ia membentuk satu sikap sosial, daya tahan sosial yang baik serta kesiapsiagaan masyarakat muda untuk memiliki daya juang dan bermentaliti positif sepanjang masa untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran dunia yang menuntut masyarakatnya berdaya saing dengan merit yang ketat.

Anak-anak yang terlahir dan terdidik dengan sistem yang kondusif dengan pendidikan karkater berkenaan akan terbiasa dan membesar untuk mengongsi serta mempraktikkan nilai yang sama secara berterusan kepada generasi berikutnya. Bayangkan jika pendidikan karakter sebegini dan pendidikan karakter yang lain tidak dipraktik dan tidak dikondusifkan dalam atmosfera sekolah dan di rumah. Negara tentu mengalami siklus disaster atau satu pusingan bencana karakter yang berulang dan berterusan kerana budaya bersenang yang membuatkan mereka malas, suka berpeluk tubuh, sentiasa berharap,  tidak mandiri dan tidak kreatif menjadi satu budaya dan bencana dalam melahirkan insan yang bertanggungjawab secara menyeluruh dalam semua aspek kehidupan baik untuk dirinya, keluarga, bangsa mahupun negara. Perkara ini patut disedari dan dihindari kerana ia boleh meruntuhkan semangat dan kepekaan generasi muda secara perlahan dengan perkembangan yang berlaku disekitarnya sehingga menjejaskan inisiatif negara untuk melahirkan generasi yang bernilai dan generasi yang memiliki mentaliti kelas pertama.






Khamis, 17 Mac 2016

menghargai pencen tua menghargai diri sendiri

Ketika ini, musim permesyuaratan Majlis Mesyuarat Negara (MMN) Ke-12 bagi Rang Perbekalan Tahun 2016/2017 sedang menghela ke penghujung mesyuarat dalam erti kata dalam beberapa hari lagi akan selesai. Pelbagai isu dibangkitkan dari aspek pembangunan prasarana mental dan fizikal, penyediaan perkhidmatan sehinggalah hal kebajikan dan kesejahteraan rakyat dan penduduk negara ini dibahas dan ditanggapi dalam MMN. Seperkara yang menarik perhatian penulis ialah saranan untuk menaikkan kadar pencen tua semasa yang diterima $250.00 sebulan seorang bagi rakyat yang sudah mencapai usia 60 tahun. 

Dikatakan jumlah pencen tua ini tidak mencukupi mengambil kira indeks harga pengguna yang meningkat saban tahun. Dengan kata lain, harga barang dan keperluan naik. Perkara ini memang tidak dinafikan tetapi jika dilihat dengan nilai  duit dan harga barang di negeri jiran, ternyata kita masih memiliki kelebihan dan nikmat yang harus disyukuri. Ini hanya berlaku jika kita semua melihat dan menilai dengan hati yang dingin dan jernih. Kita sebagai pengguna haruslah memiliki kesedaran mutlak dan hendaklah mengukur serta menilai apa sebenarnya yang menjadi keutamaan hidup kita. 

Di negeri jiran, difahamkan bantuan diperoleh melalui dua mekanisme iaitu melalui dana Baitulmal Negeri yang diluluskan oleh kerajaan negeri masing-masing dan melalui bantuan kebajikan masyarakat kepada mereka yang layak dan berhak. Difahamkan jumlah bantuan tersebut kurang dari nilai pencen tua yang diterima oleh masyarakat dan penduduk negara ini. Selain itu, ada juga bantuan tunai langsung diterima oleh rakyat negeri berkenaan yang berhak menerima subsidi tetapi tidak menikmatinya. Nah, meskipun bantuan ini diterima dan diakui tidak cukup untuk menampung kehidupan seharian apatah lagi sebulan ditambah mula dengan kos hidup yang melambung seperti barang keperluan, petrol, cukai, tol dsbnya, mereka tetap berterima kasih dan bersyukur bahawa bantuan berkenaan sedikit sebanyak dapat meringan beban hidup sekurang-kurangnya untuk beberapa hari. Masyarakat dan penduduk di negeri berkenaan bijak berbelanja mengikut keutamaan yang benar-benar diperlukan. Mereka berusaha menghindari pembaziran kerana pembaziran juga dilarang dalam Islam.

Terdapat negara yang tidak memanjakan rakyatnya dengan bantuan kebajikan apalagi dihulurkan pencen tua. Negara berkenaan mahu rakyatnya menjadi warganegara yang bertanggungjawab dan menghargai diri mereka sendiri. Ini bererti, rakyat "dipaksa" membanting tulang empat kerat untuk mensejahterakan dirinya, keluarganya dan sekaligus bangsa dan negara mereka melalui ekonomi sara diri yang menjanjikan peluang pasaran dan ekonomi yang baik.

Di negara ini, kerajaan perlu berbelanja untuk memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terpenuhi. Dengan jumlah penduduk menua meningkat bererti kerajaan perlu memperuntukkan kos yang besar untuk pencen tua. Kerajaan juga perlu menampung subsidi beras, petrol/diesel, rawatan penjagaan kesihatan dan perubatan percuma, pendidikan percuma dari sekolah rendah, menengah, lanjutan, vokasional, teknikal, politeknik dan universiti dalam negara. Pada masa yang sama, tiada cukai GST dan cukai hasil dikenakan. Rakyat dan penduduk patut sedar dengan keadaan kerajaan. Untuk memastikan kestabilan ekonomi, politik dan sosial, kerajaan di negara manapun perlu memperuntukkan kos yang mahal dan kos ini sentiasa meningkat saban tahun pada ketika sumber hasil utama negeri ini masih bergantung pada industri minyak dan gas. Oleh kerana itu, kita sebagai rakyat harus faham betul dan dapat menyesuaikan diri serta belajar daripada masyarakat negeri jiran bagaimana mereka dapat mengelola hidup mereka dengan serba kekurangan. 

Menyesuaikan diri tidak hanya dengan duduk, bercakap dan mengeluh. Kita harus menggunakan minda, tangan dan kaki untuk berusaha seperti memanfaatkan tanah yang sedikit untuk bercucuk tanam dan menjadikan wang yang ada sebagai modal bagi usaha kecil. Dalam hidup, jika semua perkara menggunakan wang, bererti kita tidak akan pernah berasa berkecukupan. Budaya konsumptif total harus dihindari segera. Anak kita juga harus dididik sedari awal untuk berfikir dan diajar bagaimana mengelola hidup mereka dengan panduan kita. Kelak mereka akan jadi manusia yang tahu bagaimana menghargai diri sendiri dan bagaimana mensyukuri rahmat dan nikmat yang diterima.

Pencen tua adalah bantuan kebajikan orang tua yang sifatnya sebagai membantu bagi menambah dan meringankan bukan dijadikan sebagai kos yang kekal untuk membayar sesuatu untuk jangka panjang sehingga menyulitkan diri kita sendiri.

Memang realiti hidup yang tidak dinafikan ialah mekanisme kepuasan manusia itu memang tiada batasnya tetapi dengan akal yang cerdas kita sebenarnya dapat membendung keinginan-keinginan yang tidak sepadan dengan kemampuan yang kita miliki. Dari itu, marilah kita berfikir cerdas dan cemerlang serta menerima kenyataan hidup sebagai bahagian penting untuk menjadikan kita sebagai manusia yang memanusiakan manusia.





Isnin, 14 Mac 2016

Laksanakan program "anak angkat" kawasan sekitar premis komersial

Kebelakangan ini kebersihan kawasan persekitaran di bangunan komersial menjadi kurang perhatian di sesetengah premis. Kawasan persekitaran tersebut meliputi kawasan lapangan, kawasan parkir, longkang dan parit sama ada depan dan belakang yang turut sama digunakan oleh premis berkenaan baik secara langsung mahupun tidak langsung. Ini belum termasuk  orang awam yang lalu lalang di kawasan tersebut yang ada sesetengahnya membuat sisa seperti tisu, puntung rokok dll sesuka hati. Bagi premis yang dimiliki oleh pengusaha berduit dan prihatin, tidak masalah untuk menggaji pembersih untuk membersih secara tetap dan berjadual. Bagaimana pula pengusaha tidak mahu melabur untuk menggaji pembersih tetap dan mereka juga tidak prihatin serta mengharapkan pihak kerajaan yang bertanggungjawab membersihkannya. Ini tentu tidak adil kerana pengusaha berkenaan memperoleh wang sewaan bersih tanpa mengeluarkan belanja pembersihan.

Dalam hubungan ini, pihak berkuasa  tempatan wajar dan tiba masanya untuk mengenalkan program "anak angkat" bagi kawasan sekitar kepada premis perniagaan, perhotelan, dan agensi swasta yang menyewa di premis komersial berkenaan. Mereka harus diwajibkan untuk memainkan peran dalam mewujudkan kebersihan alam sekitar dan menanam pohon renek serta tanaman landskap nan menghijau. Dari satu sisi yang lain, bukan sesuatu yang luak dan aneh jika pengusaha dan bos-bos membudayakan karyawan mereka untuk membersih dan merapikan laman atau persekitaran yang ada di hadapan dan belakang kedai mereka sebelum membuka kedai. Jika suasana kondusif di mana semua penyewa berperan sama dalam membersihkan kawasan ini dan dalam situasi tertentu mereka menjadi mata-mata untuk menegur masyarakat luas yang membuang sampah sesuka hati, tentu sekali dunia ini akan aman daripada sampah sarap yang bertebaran. Secara tidak langsung, mereka turut sama melestarikan kehijauan alam tak kira sekecil apapun kawasan sekitar yang mereka miliki.

Kawasan yang bersih akan mengundang takjub dan decak kagum masyarakat banyak dan mereka tentu terimbas dan merasa malu untuk mengotori laman berkenaan.

COVID-19 - Dunia Ini Rapuh dan Tidak Berdaya, Pelajaran Buat Kita

Tidak siapa menduga COVID-19 yang bermula di Wuhan, China merebak ke seluruh dunia. Masyarakat dibuat terpinga-pinga dan panik. Kita dibias...