Khamis, 23 Januari 2014

"Hari Pertama Masuk Sekolah"

Khamis 23 Januari 2014, Ketua Jabatan melaksanakan tindakan proaktif dalam mengemaskan perkara-perkara administrasi iaitu penggarapan minit dan memorandum khususnya dari segi format, pengisian dan perkara-perkara penting lain yang selama ini tidak diperhatikan dengan baik, dan perlu diberi perhatian sewajarnya. Mungkin kelihatan kecil. What? Perkara kecil jika tidak diberi perhatian serius akan menyebabkan berlakunya masalah serius seperti pembaziran kos, masa dan tenaga. Jauh daripada itu ialah ketidakpekaan pelaksana dalam melaksanakan tanggungjawabnya sehingga menyebabkan munculnya sikap lepas tangan. So? Apa yang dilakukan oleh Ketua Jabatan adalah sebuah keprihatinan tinggi bagi mewujudkan situasi kondusif untuk bersama-sama menanai rasa kebertanggungjawaban dan kepedulian terhadap setiap tindakan administrasi yang menyangkut tentang format, standard dan apatah lagi kepiawaian menanggapi wacana yang digarap. 

Taklimat singkat diberikan bersekali dengan simulasi tugasan mengikut kumpulan kepada pegawai-pegawai kanan jabatan. Alhamdulillah, banyak pencerahan yang diperoleh yang selama ini dianggap hal sepele dan tidak diperhatikan. Tentunya tujuan pencerahan tersebut untuk mendorong pelaksanaan tindakan menjadi lebih baik.

Rabu, 22 Januari 2014

PENGALAMAN MENEMUDUGA

Selasa, 21 Januari 2014 selesai sudah tanggungjawab sebagai wakil jabatan bagi menemuduga calon untuk mengisi jawatan kosong. Alhamdulillah pengalaman menemuduga untuk kali ketiga ini amat besar maknanya. Prosesi temu duga ini bagai sebuah parade sosial  dalam kelasnya yang tersendiri sekali gus momen untuk mengamat ragam dan menilai karakter calon yang hadir. Setidaknya ia merupakan satu nutrisi dan amunisi belajar dan mengajar yang sungguh bererti, paling tidak buat share kepada anak-anak yang nantinya akan melewati hal yang sama. Banyak macam karakter yang dapat dilihat baik dari ketrampilan, karakter mahupun persiapan calon yang berkenaan. Sesekali terlihat tipikal karakter calon misalnya ada yang suka menggigit manja lidah jika dia merasa ragu dengan jawapannya, calon yang tidak mahu menatap mata panel apabila menjawab, mata berkelip-kelip dsbnya.

Satu hal penting yang setiap orang pernah melaluinya ialah mendapat panggilan temu duga setelah lulus seleksi atau ujian bertulis. Dipanggil temu duga adalah sebuah euforia rasa kerana kita termasuk dalam orang-orang yang terpilih untuk berhadapan dengan panel temu duga bagi jawatan yang dipohon. Maka bersedialah kita dengan bermacam-macam bacaan yang berkaitan sambil meminta dukungan dan sokongan daripada ahli keluarga, kerabat dekat dan sahabat handai yang setia setidaknya untuk meminta doa dan tips bagaimana menjawab pertanyaan-pertanyaan yang dikemukakan ketika ditemu duga nanti.

Anda tentu marfum bahawa anda berasakan sedikit lebih baik daripada calon lain sekiranya jawatan yang ditemu duga berkaitan dengan bahagian dalam jabatan anda. Sebagai orang berpengalaman dan sudah memasuki pergulatan kerja, anda tentu merasakan anda mempunyai kelebihan, lebih baik daripada calon junior yang baru menamatkan pengajian meskipun ketika anda dipanggil temu duga, jawatan yang tersebut tidak berkaitan dengan tugas semasa anda. Anda mencari sumber, anda menelaah, tiap hari anda mengingat apa yang anda baca dan anda menjangka apa yang anda baca adalah hal yang akan ditanyakan oleh panel. Apakah persediaan tersebut cukup? Hmm...mungkin ya mungkin tidak. Mengapa? Ia kembali kepada karakter anda sepanjang anda memanfaat dan mengisi masa, baik dalam kehidupan mahupun kerja yang anda lakukan sehari-hari. Mengapa saya katakan karakter dan mengapa seolah karakter penting? Perhatikan hal yang saya katakan ini dalam kehidupan dan pekerjaan kita sehari-hari. Apakah anda seorang pejuang? Apakah anda seorang pekerja keras? Apakah anda seorang pemikir? Apakah anda orang yang kreatif dan inovatif? Apakah anda seorang perancang? Dan lebih jauh seberapa penting anda menjadikan amalan membaca sebagai budaya atau kultur dalam hidup anda? Dan sejauh mana anda mengambil tahu tentang hal ehwal semasa baik yang berlaku dalam negara mahupun di luar negeri untuk memastikan anda up to date dengan perkembangan yang berlaku? Tidak kira anda adalah calon yang sudah menempuh pergulatan kerja dan mahu meningkat naik dalam kerja anda, atau adik-adik yang sudah lama atau baru menamatkan pengajian, anda harus memerhatikan perkara ini. Ketika anda melakukan yang terbaik dalam hidup anda sebenarnya menghargai diri anda dan masa anda. Dalam hidup yang semakin melihat nilai itu penting, anda mesti memiliki karakter yang tangguh, menjadi pejuang sejati, berjiwa besar, selalu berusaha keras, kreatif dan inovatif dalam semua hal kehidupan yang anda lalui, nescaya semua ini menjadi modal yang baik yang akan menginspirasikan anda untuk meraih kehidupan yang lebih baik. Jika semua ini anda lakukan, insya-Allah sebuah kenescayaan akan membentuk cara anda berfikir, bersikap, dan bagaimana anda menyampaikan fikiran dan pengetahuan anda dalam masa-masa sulit termasuklah ketika anda menghadapi temu duga. Nah! ketika anda sudah malang melintang dipanggil temu duga setelah melepasi ujian bertulis dengan baik, kenapa tidak berusaha lebih giat lagi.

Saya katakan sarjana, ijazah dan pengalaman kerja bukan bererti kita unggul. Belum tentu senarai panjang sijil dan pengalaman kerja yang seseorang itu miliki membuatkannya unggul. Bagi saya karakter itu penting iaitu memiliki karakter pejuang, pekerja keras dan kreatif. Namun jika anda jenis yang cukup biasa-biasa sahaja, persiapan yang anda lakukan mungkin sudah cukup baik sesuai dengan standard anda tetapi belum sampai atau paling tidak, mendekat kepada standard pertanyaan dan jawapan pada pertanyaan yang dikemukakan oleh panel penemuduga. Mungkin pernyataan ini kedengaran berat dan membebankan bagi mereka yang tidak suka menantang atau mencabar diri, namun dalam dunia kompetitif hari ini, anda harus membuat perbezaan kepada diri anda kerana temu duga sebenarnya adalah satu proses bagaimana anda "menjual dan memasarkan diri anda yang di dalamnya merangkumi ilmu, pengetahuan, akauntabiliti, kemampuan dan cara anda bercakap dengan komitmen jawatan yang anda pohon". Akan ada justifikasi bahawa segelintir kita tidak memiliki karakter yang disenaraikan, tetapi dapat mengecap jawatan yang dipohon berbanding mereka yang mencuba keras. Percayalah jika anda berusaha keras dan sentiasa membangunkan diri serta proaktif dalam segala hal kehidupan, anda sebenarnya tidak pernah rugi apa pun. Jangan pernah berhenti berusaha dan bekerja keras untuk maju dan berjaya.

Baik, ingin saya share di sini pengalaman ketika menemuduga calon bagi mengisi jawatan dalam tanggagaji C2 EB3 baru-baru ini. Pada kebiasaannya, minimal ada dua orang panel yang melaksanakan proses temu duga, iaitu panel SPA dan wakil jabatan bagi post atau jawatan yang akan ditemuduga. Seperti lazimnya anda diminta memperkenalkan diri, (1) nama anda, (2) no kad pengenalan, (3) tarikh lahir, (4) usia semasa di temuduga, (5) alamat rumah, (6) alamat persuratan, (7) nama bapa, (8) pekerjaan bapa, (9) nama ibu dan (10) pekerjaan ibu. Kemudian anda diminta menyatakan kelulusan terkini, pekerjaan dan gaji. Kemudian anda ditanya "Apakah nama jawatan yang Awang/Dayang pohon? Berapa tanggagaji dan gajinya? dan Mengapa Awang/Dayang memohon jawatan ....?

Berhubung dengan soalan am atau pengetahuan semasa, berdasarkan pengalaman, calon didapati tidak mengambil tahu hal ehwal semasa bahkah nama kementerian bagi jabatan yang berkaitan dengan jawatan yang ditemuduga? Anda perlu mengetahui hal ini termasuk (1) jumlah kementerian dan (2) nama kementerian mengikut hierarkinya. Bila anda kesulitan menjawab, panel juga akan bertanya hal kecil tetapi berdampak besar jika anda tidak mengambil pusing mengenainya. Apa itu? Tak lain ialah (1) nama-nama bulan dalam Takwim Hijrah mengikut hierarki susunannya, dan (2) cuti dalam Takwim Hijrah di negara ini mengikut susunannya. Mengapa soalan yang setengah orang menganggapnya sebagai tidak penting atau sepele ditanyakan. Jika anda menjawab pertanyaan dengan betul atau anda menjawab berterabur, di sinilah karakter anda. Apakah anda seorang yang memerhatikan dan peduli atau memang anda karakter yang tidak mahu mengambil pusing hal kecil yang biasa anda lihat dan dengar. Jika anda lewatkan hal kecil, pada saat anda diterima bekerja anda juga tipe orang yang sama iaitu suka mengambil mudah semua perkara. Walaupun tiada statistik mengabsahkan apa yang saya kata, namun kenyataan menunjukkan mereka yang mengambil mudah akan melakukan hal yang sama dalam pekerjaan mereka kerana mereka telah terbiasa dengan ekosistem yang sudah menjadi semacam nutrisi dalam keseharian mereka.

Jika anda seorang yang pintar dan proaktif menjawab, panel mungkin mengasak anda dengan pertanyaan berikut: (1) Apakah yang dimaksudkan dengan konsep MIB?, dan (2) Apakah yang anda faham dengan konsep Negara Zikir? Untuk konsep MIB, jawapan soalan ini tidak cukup hanya menyampaikan Melayu Islam Beraja bla..bla..bla. Anda perlu menghuraikan satu persatu tiap komponen M I B tersebut. Panel juga akan melaratkan pertanyaan tentang isu nasional yang sedang naik daun, tentunya Syariah Panel Code. Anda perlu mencari tahu bahan mengenai perkara berkenaan meskipun ia sama sekali tidak berkaitan dengan jawatan yang anda pohon. Anda juga perlu mengambil tahu apakah agenda nasional dalam bulan semasa anda ditemu duga atau agenda nasional dalam bulan berikutnya. Sebagai contoh jika anda ditemuduga pada bulan Januari atau Februari, agenda nasional negara ialah Hari Kebangsaan. Anda perlu tahu sambutan Hari Kebangsaan yang keberapa bersekali dengan temanya. Adakalanya anda diminta memberi pandangan mengenai tema Hari Kebangsaan berdasarkan perspektif anda.

Berkaitan dengan temuduga bagi post jawatan yang anda pohon, ia tergantung pada komitmen tugas dan tanggungjawab jawatan tersebut. Sebagai contoh, jika kekosongan berlaku di DBP, anda perlu mengambil tahu isu-isu yang signifikan dengan jawatan yang dipohon, misalnya penulis dan karya mereka dll. Satu kelebihan apabila anda adalah orang yang aktif menulis, pernah menerbitkan tulisan anda dalam media dan anda juga aktif menjayakan persembahan seperti teaterikal atau pementasan drama pendek. DBP tentunya memerlukan calon-calon yang proaktif dan telah membuktikan komitmen mereka dalam persada kegiatan yang signifikan dengan bidang teras DBP sama ada dalam kegiatan bahasa, sastera, penerbitan dan perpustakaan. Pokoknya, anda harus piawai menanggapi pertanyaan yang dikemukakan oleh panel.

Wahai anak bangsaku, selalulah besarkan hatimu cintailah prestasi. Selalulah bersiap dan mengerahkan segenap kemampuan serta ketrampilan intelegensiamu untuk menjawab. Ketika anda telah melakukannya secara all out, anda sebenarnya telah memilih "takdir" anda. Dan tentunya keajaiban itu akan datang sendiri ketika anda secara konsisten bekerja keras ke arah itu. Doa, jangan pernah lupa!!!

Semoga informasi ini membantu.


Rabu, 15 Januari 2014

Sepucuk Surat

Pertama-tama, Sdr. Quella Maulian, mohon izin ya mengupload videonya di blog saya. Awalnya saya diberi teman melalui WA pada dini subuh 15 Januari 2014. Membaca narasi sketsa diiringi muzik latar yang mendayu, membuat saya rasa syahdu dan sebak. Ya, mengingatkan saya kepada ibu saya seorang insan tabah dan sabar ketika membesarkan kami. Kini ketika usia saya menginjak hampir separuh abad, saya mula memahami betapa berharganya masa saat apa lagi setelah punya anak yang sudah menginjak remaja dan dewasa nantinya. Saya tidak akan menggunakan sifat kebapaan sebagai sebuah kontrol untuk menyekat pilihan mereka kerana mendidik anak ketika zaman telah berubah jauh, tentunya memerlukan pemahaman dan pengertian. Penting buat saya ialah anak saya tahu bagaimana menghargai ibu bapanya, menghargai dan menyayangi dirinya serta menghargai nafas setiap detik dan saat yang diberikan Allah Subhanalla Wa Taala. Saya ingin mereka mengenang saya sebagai bapa yang memberi pengaruh besar terhadap mereka bukan mereka mengenang saya sebagai bapa yang berekspresi keras, serius dan sulit diajak untuk memahami mereka.

Berbalik kepada video di atas, kesan dan pesan mesej yang disampaikan cukup mendalam dan bermakna. Ibu yang tua selalu berasa sunyi dan sepi. Ketika kita balik atau pulang ke rumah orang tua, selalulah meluangkan masa mendekati mereka, berbual dengan mereka seperti mereka menghabiskan masa melayani keletah, tangisan dan kenakalan kita semasa kanak-kanak lagi. Apakah cukup kita bertanya kesihatan dan menjaga makan minumnya. Rasanya tidak. Mereka memerlukan teman, mereka memerlukan kawan, mereka memerlukan sahabat dan tentunya mereka memerlukan pendengar dan pembual. Kitalah yang menjadi teman, kawan, sahabat, pendengar dan pembual yang boleh membuat mereka rasa dipeduli, diberi perhatian, disayangi dan dikasihi tanpa pernah jemu dan bosan pada ketika beliau sakit, sepi dan sendiri dalam membenam waktu. Kesediaan kita mendampingi mereka meskipun terhalang kerana kerja setidaknya membuat mereka sihat,  tersenyum gembira dan sukacita. Moga kita-kita semua akan selalu menghargai setiap saat bersama ibu bapa kita selagi mereka masih ada. 

Salam hangat buat ibu dan ayah.


Isnin, 13 Januari 2014

Pantaskah Syurga Untukku

Mengapa pintu berat
Jalankan segala perintah-Mu
Begitu banyak rintangan
Tuk mengarahkan wajah
Bersujud kepada-Mu

Indahnya dunia ini
Membuat orang terlena
Bekerja terus bekerja
Tak kenal waktu dan tak kenal lelah

Gema azan Subuh, aku terlelap tidur
Gema azan Zuhur, aku sibuk bekerja
Gema azan Asyar, aku geluti dunia
Tuhan, pantaskah syurga untukku

Gema azan Subuh, aku terlelap tidur
Gema azan Zuhur, aku sibuk bekerja
Gema azan Asyar, aku geluti dunia
Tuhan, pantaskah syurga untukku

Gema azan Maghrib, aku diperjalanan
Gema azan Isyak, lelah tubuhku Tuhan
Tak pernah lagi kubaca firman-Mu
Tuhan, tolonglah hambamu..
Tuhan

Sumber: http://www.youtube.com/watch?v=TyV8WaSATVU




FIFA BALLON d'OR 2013, DAN PEMENANGNYA CRISTIANO RONALDO

 
Hola Madrid, Hola Cristiano. Tahniah Cristiano Ronaldo (CR7). Anda berhak meraihnya. CR7 adalah pemain berskill tinggi dan penuh taktikal. Di atas semuanya, dia adalah pekerja keras, berkomitmen tinggi dan selalu tampil impresif dan konsisten di lapangan bola sepak. Selama tahun 2013, CR7 berhasil mencetak 66 gol daripada 56 pertandingan. Ini bermakna dalam setiap pertandingan yang dilakoni oleh Madridista, CR7 mencetak sekurang-kurangnya 2 gol ke gawang lawannya. Betapa prolifik, berprestasi dan luar biasanya CR7. Menurut sumber, beliau selalu ingin fit dan menjaga diet untuk menjalani hidup sihat dan tuntutan tinggi sebagai pemain profesional berkelas dunia. Karakternya yang bertenaga dan impresif selalu membuat anak-anak muda di lapangan bola ingin tampil seperti beliau. Melihatnya bermain, dia seolah-olah berada dalam satu planet lain dalam dunia bola sepak. Terakhir beliau membukukan hatrick ke gawang Sweden dalam perlawanan playoff kelayakan Piala Dunia. Jaringan hatrick CR7 membolehkan negaranya Portugal melayakkan diri ke Piala Dunia 2014 di Brazil dan kerana keberhasilannya itu, FIFA melanjutkan tarikh tutup pengundian penghargaan pemain bola sepak terbaik dunia yang dikenali sebagai FIFA Ballon d'OR pada penghujung November 2013. CR7 berkembang pantas sejak menyertai Manchester United daripada Sporting Lisbon dan selanjut menyertai Real Madrid, kelab bola sepak yang selalu menjadi impian ramai pemain dunia kerana kemasyhuran Madridista dan tentunya nilai global yang dimiliki Real Madrid. Manakan tidak, Madridista setidaknya mencatatkan 6 pemain penerima penghargaan Ballon d'OR. Mereka ialah Alfredo Di Stefano (1957, 1959), Raymond Kopa (1958), Luis Figo (2000), Ronaldo de Lima (2002) dan Fabio Cannavaro (2006). Untuk negaranya Portugal, CR7 penerima ketiga selepas legenda bola sepak Portugal, Esubio dan Luis Figo.

Meskipun tiada siaran langsung (jika ada siaran langsung sekalipun, mungkin tidak dapat menontonnya kerana hujan lebat sejak semalam (13 Januari 2014). Siaran satelit ASTRO biasanya ternganggu bila hujan dan itupun kalau ASTRO membuat siaran langsung acara berkenaan) saya berusaha mendapatkan berita terkini siapakah antara tiga pemain terbaik dunia meraih penghargaan FIFA Ballon d'Or melalui media Harian Kompas, sebuah media andalan saya yang selalu menyajikan berita terbaru. CR7 bersaing dengan nama besar pemain bola sepak dunia iaitu Lionel Messi dan Frank Ribery yang masing-masing berada dalam kelas tersendiri. Senang mendengar apabila namanya diumumkan sebagai pemenang oleh legenda bola sepak Brazil dan dunia, siapa lagi kalau bukan Pele. Pemilihan penghargaan FIFA Ballon d'OR unik. Masing-masing negara anggota FIFA memiliki tiga hak suara. Ia dilakukan di seluruh dunia oleh Ketua Jurulatih Nasional, Ketua Pemain Bola Sepak Kebangsaan dan seorang wartawan sukan.

CR7 menang dan beliau berhak mendapatkannya setelah menunjukkan komitmen tinggi dan tangguh dalam bidang yang beliau minati. Dia tidak menang mudah sebenarnya kerana saingan keras yang diterima daripada dua calon yang juga konsisten dan hebat teratas dalam persaingan penghargaan berkenaan iaitu Lionel Messi dan Frank Ribery. Moralnya jika kita ingin berhasil, kita perlu menjaga kesihatan, menghargai setiap nafas yang diberikan Allah Subhanallah Wa Taala, bekerja keras, berjuang dengan rendah hati, dan selalu ingin belajar. Apakah ini cukup? Tidak. Kita juga perlu "berjiwa besar" kerana dalam dunia yang terbuka kepada persaingan kita mungkin tidak meraih dan mengharapkan semua hal kehidupan menyebelahi kita pada setiap saat dan waktu. Itu tidak akan berlaku kerana yang namanya hidup, pelbagai cabaran dilalui sebelum kita menjadi besar kerananya. Itu juga yang dialami oleh CR7. Beliau vakum penghargaan FIFA Ballon d'Or selama 4 tahun berturut-turut ditangan pesaing terdekatnya siapa lagi kalau bukan Lionel Messi, tetapi ini tidak pernah membuatnya ragu dan berhenti untuk berusaha keras. Baginya, hidup perlu berlanjut. Satu hal penting yang perlu kita ketahui ialah kita sebenarnya adalah pemenang dalam setiap perkara baik yang kita lakukan tapi untuk menjadi besar dengan kemenangan itu masa-lah yang akan menjawabnya.

"Aku luar biasa bahagia. Sangat bangga. Anda perlu bekerja keras untuk memenangi trofi sebesar ini. Aku akan mencuba yang terbaik seperti yang selalu aku lakukan. Dan aku berharap tahun depan aku akan kembali dan memenangi Ballon d'OR ketiga dalam karierku. Itulah tekadku." antara bait-bait kata CR7 ketika ditemubual selepas meraih penghargaan berkenaan. Seminggu selepas menerima Ballon d'Or, CR7 menerima Grand Officer of the Order of Don Henrique yang merupakan penghargaan tertinggi di Portugal. Bintang Real Madrid itu menerima penghargaan tertinggi negaranya atas pencapaian luar biasa sehingga dia menjadi fenomenal, ikon dan menginspirasi anak-anak muda Portugal dan dunia. CR7 yang fenomenal membuatkan publik Portugal gembira dan sukacita serta secara tidak langsung Portugal menjadi peta penting dalam dunia bola sepak kerana meneruskan legasi dalam melahirkan pemain berskill tinggi, taktikal dan menikmati permainannya selepas Eusebio dan Luis Figo.

Sebenarnya, terdapat ramai contoh pemain memiliki bakat, namun mereka tidak sukses kerana usaha mereka tidak maksimal. Bola sepak kini tidak hanya memerlukan bakat dan usaha bahkan kombinasi kerja keras dan aspek sains di dalamnya. Tahniah CR7, tahniah bagi kita semua yang bekerja keras untuk kehidupan yang lebih baik. Ketika ditemubual media setelah menerima penghargaan tertinggi negaranya, CR7 mengungkapkan "Inilah hidupku, inilah profesiku dan ghairahku. Saya ingin terus bermain selama mungkin", Selamat Tahun Baru 2014. Jadikanlah setiap tahun adalah tahun yang hebat bagi kita semua. Jaga kesihatan kejar kejayaan. Di atas semuanya selalulah berjiwa besar dan RENDAH HATI.


Ahad, 12 Januari 2014

ARIEL SHARON MUSUH BESAR PALESTINA ITU TELAH PERGI

Luar biasa bagi seorang manusia yang koma dan dapat bertahan selama 8 tahun sebelum dia dijemput pergi.  Ariel Sharon seorang politikus dan Jenderal Israel mengalami stroke pada bulan Januari 2006 dan seterusnya berlanjut dengan pendarahan otak. Dari segi sains perubatan hayat, tiada kehidupan baginya. Namun sebagai sosok penting dalam sejarah Israel dan atas keinginan ahli keluarganya, pemimpin tegar Israel serta bantuan sokongan hayat moden, beliau “dipaksa hidup”. Sebelum dijemput pergi, organ dalamnya tidak berfungsi. Bagi orang Islam, apa yang berlaku kepada Ariel Sharon itu adalah satu karma  atau “hukum Tuhan Yang Maha Esa” di dunia atas sikap ganas dan kerasnya beliau terhadap penduduk Palestin. Siapa yang tidak kenal dengan tindakan ganas dan pembantaian yang dilakukan oleh Ariel Sharon terhadap anak-anak Palestin yang tinggal mengongsi di kem Sabra dan Shatilla.  Ketika ditemubual oleh Jenderal Ouze Merham pada tahun 1956, Ariel Sharon berkata,

“Saya tidak tahu apakah ada yang namanya prinsip-prinsip internasional. Saya bersumpah, akan saya bakar setiap anak Palestin yang dilahirkan di daerah ini. Perempuan dan anak-anak Palestin lebih berbahaya jika dibandingkan dengan pemuda dewasa menunjukkan bahawa generasi ini akan berlanjut. Saya bersumpah jika saya sebagai orang Israel, bertemu dengan seorang Palestin, maka saya akan bakar dia. Dan saya akan membuatnya menderita sebelum membunuhnya. Dengan satu pukulan, saya pernah membunuh 750 orang Palestin (di Rafah tahun 1956). Saya ingin menyemangati perajurit saya agar memperkosa gadis-gadis Arab kerana perempuan Palestina adalah budak untuk Yahudi dan kami dapat berbuat apa sahaja yang kami ingin kepadanya. Tidak ada yang boleh menyuruh kami apa yang harus kami lakukan, justeru kami yang memerintah mereka apa yang mereka harus lakukan”.

Jawapannya memperlihatkan betapa arogan dan berazamnya beliau untuk menganiaya warga Palestin. Tidak ada rasa belas dan sifat kemanusiaan yang dipaparkan. Beliau sebenarnya telah hilang  pertimbangan dan jiwa kemanusiaan kerana konsep negara bangsa Yahudi yang diwarisi sejak pendiri tegar negara Yahudi menjadi pegangannya. Dan kerana sikap kerasnya, beliau bertindak sebagai algojo yang lapar dan kasar. Beliau melakukan pembantaian, penindasan dan kezaliman di bumi Palestin demi kewujudan sebuah negara bangsa Yahudi. Ariel Sharon menjadi nama besar dalam sejarah panjang pembinaan negara bangsa Yahudi namun apa yang dilakukan ke atas watan Palestin dan warganya adalah perbuatan yang tidak boleh dimaafkan. Sebagai manusia yang punya akal dan empati, melanggar binatang sekalipun kita cuba menghindarnya meskipun binatang itu haram bagi umat Islam. Kita mahu binatang itu hidup dalam habitat dan ekosistemnya. Selama binatang itu dalam habitatnya dan tidak menganggu, kita juga tidak akan menganggu mereka. Lainlah binatang yang dimakan. Tapi manusia algojo yang bernama Ariel Sharon tidak pernah memiliki nilai-nilai kemanusiaan, apatah lagi yang namanya simpati dan empati. Baginya bangsa Yahudi adalah bangsa besar dan mulia berbanding bangsa lain apatah lagi bangsa Palestin. Sifat kejam dan kebinatangannya di luar daripada pertimbangan, roh dan jiwa manusia normal. Atas kekejaman yang dilakukan oleh Ariel Sharon, tidak hairan wajahnya sering muncul dalam sebuah parodi bergambar iaitu wajah beliau dilukis seperti drakula bertaring dengan titisan darah bagi yang membencinya. Bahkan beliau mendapat julukan "The Butcher of Beirut".

Ariel Sharon tahu Palestin marah, geram, menjerit dan ingin membunuhnya. Beliau juga tahu seluruh dunia marah dan mengecam tindakannya. Beliau tidak peduli kerana baginya Yahudi adalah segala-galanya. Walau penduduk Palestin dibunuh, namun sejarah mencatatkan perempuan Palestin subur melahirkan generasi mereka untuk Palestin merdeka. Mereka tidak memiliki senjata moden untuk menghadapi Zionis, paling batu dan lastik. Yahudi membantai menggunakan kekuatan ketenteraan moden. Dan peralatan moden dengan teknologi perubatan Israel jugalah yang membuat Ariel Sharon sang algojo menderita sekarat. Sejak koma, Ariel Sharon tidak dapat menebus dosanya terhadap Palestin. Apakah mungkin ada isyarat Tuhan Yang Maha Esa yang diterimanya semasa beliau koma, kita tidak pasti. Namun dalam catatan sejarah perubatan, jiwa mereka yang koma selalu dibawa menjelajah ke dunia di bawah sedar atau melewati sebuah terowong masa depan yang jauh. Apatah lagi koma yang dilalui Ariel Sharon selama 8 tahun! Menurut sumber, ada yang koma kelihatan menitis air mata sama ada sedih akan meninggalkan keluarga yang disayanginya, mengenang perlakuannya semasa sihat atau mengetahui kerabatnya sedang melawat dan mendoakannya. Mereka diberi kesedaran dan dapat merasai kehadiran orang di sekelilingnya namun kudrat membatasinya untuk merespons. Jika itu berlaku kepada Ariel Sharon, alangkah baik beliau diberi kesedaran untuk meyakinkan para politisi Yahudi dan Rabbinya agar Yahudi perlu mencintai kedamaian dan menerima dan mengiktiraf dasar dua negara, sebuah pelan damai yang dirangka sejak lama yang belum tercapai.

Namun, kenyataan berkata lain. Ariel Sharon pergi dengan membawa kekejaman dan kezaliman yang dilakukan semasa hayatnya. Jika beliau diberi kesempatan hidup dan menyampaikan isyarat Tuhan Yang Maha Esa yang dilalui semasa koma, politisi Yahudi mungkin menganggapnya manusia yang nyanyuk dan gila kerana perkembangan negara bangsa Yahudi melalui peluasan wilayah dan kekuasaan dengan pembinaan permukiman baru Yahudi di Jerusalem yang telah bergerak jauh sejak beliau koma tidak mungkin dapat dihentikan begitu sahaja. Lagi pula, di Israel mereka yang ingin terus memegang kekuasaan haruslah pemimpin Yahudi yang berada digaris keras dan tegar.  Kini Ariel Sharon telah pergi. Dia tetap diingat sebagai manusia zalim dalam sejarah manusia moden apatah lagi selepas era Perang Dunia Kedua.

Kematian adalah sebuah kenescayaan yang tidak dapat dihindari walau sesaat. Ketika ketentuan kematian telah tertulis di Loh Mahfuz, itulah janji Allah Subhanallah Wa Taala yang tidak dapat diundur sesaat dan di kedepankan sesaat kecuali dengan izin dan kekuasaan-Nya. Sebagai warga yang baik, setiap yang pergi harus didoakan. Perbuatan beliau lakukan di dunia, biarlah Allah Subhanallah Wa Taala, Tuhan Yang Maha Esa mengadilinya.


sumber: http://id.wikipedia.org/wiki/Ariel_Sharon

COVID-19 - Dunia Ini Rapuh dan Tidak Berdaya, Pelajaran Buat Kita

Tidak siapa menduga COVID-19 yang bermula di Wuhan, China merebak ke seluruh dunia. Masyarakat dibuat terpinga-pinga dan panik. Kita dibias...