Jumaat, 28 Ogos 2015

tema yang menyapa hati dan jiwa

Negara yang baru merasai merdeka atau negara yang belum sampai 50 tahun merdeka, tema-tema yang diangkat lebih menjurus kepada harga dan erti sebuah kebebasan. Semangat dan laung merdekanya tentu meresap dan riuh dengan kegaduhan sukacitanya. Bukan senang meraihnya apatah lagi jika kebebasan itu diperoleh dengan harga yang mahal melalui perjuangan panjang yang melibatkan darah dan air mata. Menyongsong beberapa tahun kemudian, tema hari merdeka lebih menjurus kepada ungkapan-ungkapan strategik yang berbentuk wawasan, matlamat, kejuruteraan sosial dan segala macam yang berbau pembangunan, pemodenan dan perkembangan yang ingin dicapai atau apakah bentuk state of art yang ingin dipertahankan.

Kini setelah sesebuah negara itu menjadi lebih dewasa apatah lagi dihuni oleh kumpulan masyarakat yang rencam dengan kepelbagaian bangsa dan bahasa, tema kemerdekaan mulai memperlihatkan kalimat-kalimat yang berbaur romantisisme, puitis dan cinta. Temanya mula mengarah dan menyapa ke hati dan kalbu. Esensial maknanya mengarah pada kasih dan sayang. Bukan kasih dan sayang sesaat tetapi kasih dan sayang yang segar sepanjang masa. Pendek kata, tema yang diangkat menuntut setiap orang menjadi warganegara yang baik, saling peduli, saling berbagi, saling membahu dan tentunya saling menghargai. Lebih jauh, kasih dan sayang di bawah satu bendera, satu bahasa dan satu negara. Mengapa demikian? Kesatuan atau persatuan masyarakat pluralisme di bawah satu bendera, satu bahasa dan satu negara tidak boleh rentan goyah dan lemah sehingga mengakibatkan berlakunya percikan perkauman yang tidak dapat dibendung. Perpecahan memberi dampak besar kepada kestabilan dan ketenteraman. Inilah harga yang perlu dibayar jika tidak berhati-hati.

Jika sebelumnya, Malaysia memilih tema "Disini Lahirnya Sebuah Cinta" tahun ini negara berkenaan mengangkat tema "Sehati Sejiwa". Tema yang menularkan energi positif. Secara rumusan matematik, jawapan tema dahulu menjurus kepada mencintai watan atau tanah air tempat dilahir dan dibesarkan, manakala tema terbaharu menjurus kepada penghargaan sesama. Namun secara substantif, kededua tema berkenaan tersebut menobatkan hal yang sama penting iaitu pengukuhan sosial serta rakyatnya perlu memiliki hati yang solid untuk bersatu dan maju bersama.

Ingatlah kemerdekaan bukan cuma prasasti dan mengingatinya setiap tahun tetapi kemerdekaan adalah bagaimana kita menggerakkan diri untuk melakukan hal-hal yang positif dan menggemakan spirit untuk menyuburkan keamanan, kestabilan, kebersamaan dan kebahagiaan dalam sebuah rumah besar sosial yang dikeliling rasa egois, jurang sosial ketara dan ketidakadilan yang tumbuh di mana-mana yang pada bila-bila masa rentan terpecah. Jadi kededua tema hari kebangsaan yang memaknai hati ini tentunya untuk menyerap hikmah elit-elit nasionalisme terdahulu yang mendedikasi diri, mengabdi dan berjuang dengan hati, mengorbankan apapun demi sebuah kepentingan yang lebih besar yang kini dinikmati oleh generasi hari ini. Ketika para elit dan pejuang nasionalisme telah pergi dalam damai abadi, siapakah kini menjadi pahlawan untuk memastikan negara kita aman dan damai? Siapakah yang memastikan kita benar-benar menikmati kemerdekaan? Pemimpin yang adil adalah pahlawan dan negarawan, polis dan tentera adalah pahlawan, kita semua adalah pahlawan mereka yang di luar sana adalah juga pahlawan seperti pekebun, petani, pesawah, peladang, penternak dan nelayan adalah juga pahlawan kemerdekaan. Merekalah yang memastikan keselamatan makanan untuk dimakan tetap ada. Mengapa mereka turut dikatakan pahlawan kemerdekaan? Kemerdekaan bukan sekadar filosofi tetapi kemerdekaan adalah juga tentang martabat dan kemandirian dalam segala sesuatunya. Yang demikian tukang bersih dijalanan juga adalah pahlawan kerana dedikasi sepanjang masa merekalah negara dipuji dan dipuja cantik.  Demikian pula pemandu bas, MRT dan LRT, keretapi apatah lagi pilot, mereka juga adalah pahlawan. Kemerdekaan yang mendasar itu ialah kita berterima kasih dan menghargai keamanan sehingga semua orang dapat memainkan peranan masing-masing pada ketika kita sendiri tidak boleh melakukan peranan semua mereka serentak dalam satu hari, seminggu, sebulan bahkan setahun! Jadi, selalulah berterima kasih dan menghargai.

Sebagai jiran terdekat dan berada dalam persambungan geografi melalui sempadan geopolitik khususnya di Pulau Borneo ini, tentunya rakyat di sini berharap kestabilan dan keamanan yang berkekalan baik di Sarawak, Sabah mahupun Semenanjung Malaysia sementelah pula kita dalam rumpun bangsa dan bahasa yang sama. Kestabilan dan keamanan yang berkekalan memberikan faedah dan manfaat bersama dan menguntungkan kededua pihak. Itulah yang kita inginkan sampai bila-bila.

Salam Merdeka Salam Serumpun

Alkisah dan kisah yang benar adanya

Masyarakat Cina di Brunei bukanlah penduduk jati atau asli (genuine). Mereka adalah golongan pendatang. Nenek moyang mereka berasal daripada tanah besar China. Masyarakat Cina silam terkenal sebagai golongan penghijrah yang memiliki visi yang jauh. Mereka adalah golongan yang berani mencabar diri untuk berhijrah ke negeri atau wilayah baru pada ketika wilayah berkenaan tidak memiliki apa-apa tetapi menjanjikan masa hadapan. Dahulu, rupa bumi negara ini hanya barisan rumah kajang, basikal, kereta lama dan distrik bisnis yang terpecah-pecah seolah-olah tidak memiliki hayat yang panjang tetapi masih bertahan. Begitulah situasi di Brunei DS dahulu sebelum penemuan minyak dan gas pada tahun 1929 di Seria yang telah mengubah segalanya. Dek bangsa ini terkenal dengan visi bisnis dan memang pemain bisnis yang gigih, mereka menjadi bangsa yang bekerja keras untuk hidup, membangun ekonomi dan mewujudkan kawasan baru perniagaan. Seperti biasa, apabila kawasan baru diwujudkan, maka tempat kediaman diperlukan sebagai pemangkin ekonomi. Tanah diteroka dan dibangunkan. Ekonomi terus subur dan memperlihatkan masa depan yang cerah bagi kehidupan yang baik. Maka berbondong-bondonglah bangsa Cina dari tanah besar China berhijrah ke negara ini. Mereka beranak pinak dan memilih menetap kerana Brunei Darussalam adalah negara yang aman, damai dan menjanjikan kekayaan serta kemakmuran.

Di mana-mana belahan dunia, diketahui bangsa Cina adalah bangsa yang progresif dan memberi keutamaan pada pendidikan yang baik. Hari ini, di Brunei Darussalam, mereka menjadi masyarakat kapitalis dan pemodal yang produktif. Hampir semua distrik bisnis dibangun, dikuasai dan dijalankan oleh masyarakat ini. Mereka masyarakat yang setia kepada negara baru. Inilah tempat hidup dan mati mereka. Harapnya begitu. Namun satu hal yang mendukacita ialah bangsa ini terlihat begitu oportunis kerana mereka mungkin beranggapan nama, wang dan kedudukan boleh membeli pengaruh ditambah pula masyarakat kita memang begitu baik dan tolerans.

Nak dijadikan cerita, Rabu, 26 Ogos 2015, sebuah kedai roti baharu dibuka. Kedai roti ini diberi nama "Bake Culture" dan di bawahnya tertera tulisan skrip Cina. Aduhai. Pembukaan kedai yang melanggar aturan ini menjadi viral. Seharian masyarakat disibukkan membahaskan isu ini. Elit Melayu dan masyarakat biasa, ikut gusar dan gundah serta terpanggil membincang dan mengomentari apa yang berlaku. Apa jadi dengan mereka yang kelihatan semakin berani seolah tidak tahu di mana bumi mereka berpijak. Jangan kata siapa yang memiliki kedai itu tetapi tanyalah apa yang mereka perbuat telah menggusarkan dan membuat resah hati rakyat dan penduduk jati negara ini apatah lagi agensi yang berkuasa dengan perkara berkenaan. Mereka nyata-nyata telah melanggar aturan. Perlu diingat, setiap pengurus perniagaan harus tahu betul bahawa sebelum menaikkan papan nama perniagaan, ada aturan tersurat yang perlu dipatuhi. Tulisan Jawi harus besar, dua kali ganda daripada tulisan Rumi, dan letak tulisan Jawi di atas. Mengikuti selepas itu adalah bahasa Melayu, dan bahasa asing yang menggunakan tulisan Rumi (sekiranya ada) bukan skrip Cina. Mengatakan bahawa rantaian bisnis antarabangsa (franchise) tidak perlu dijawi atau dibahasamelayukan adalah jawapan yang kurang cerdas, tidak peka, tidak menyemak, kurang menghormati aturan yang berlaku dan menunjukkan betapa tidak kisah dan oportunisnya bangsa berkenaan ketika ini di Brunei Darussalam. Starbuck, KFC, Mc D, Lexus, Gloria Jeans antara beberapa rantaian francais antarabangsa menggunakan tulisan Jawi pada papan nama premis mereka. Siapa Bake Culture? Mendirikan bisnis dan melancarkan perasmian tanpa mematuhi persyaratan menaikkan papan tanda bermakna anda mencuba memancing dan memperlecehkan kewibawaan agensi penguatkuasa apatah lagi penduduk jati negara ini. Adalah tidak manis dan tidak bijak memilih memviralkan sesuatu tetapi saat yang bersamaan jelas-jelas melanggar aturan yang berlaku. Ia tidak harus diterima dan tidak dibenarkan sama sekali apatah lagi dibiarkan membudaya.

Sebagai bangsa yang diberi status kewarganegaraan, boleh  memiliki aset, hartanah dan tidak pernah diganggu gugat, mereka sepatutnya menjadi bangsa yang santun dan tahu diri. Lihatlah bagaimana minoriti Melayu atau Islam yang tinggal di China seperti etnik Uighur, Melayu di Selatan Thai dan Melayu di Singapura, minoriti Islam di Zamboanga dan Mindanao yang dapat beradaptasi, perlu membiasakan diri dan tahu diri kerana mereka adalah masyarakat minoriti. Mereka menggunakan bahasa Cina, bahasa Siam, bahasa Inggeris dan bahasa Tagalog. Mereka akur, patuh, taat dan tunduk dengan kerajaan di negara berkenaan termasuk aturan-aturan yang ditetapkan.

Kami di Brunei DS tidak menuntut banyak. Penting sekali, anda harus akur, patuh dan tunduk kepada Baginda Sultan dan Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam termasuk beradaptasi, menghormati, memahami dan menyesuaikan diri serta mengikuti aturan yang berlaku. Akur, tunduk dan hormat yang tidak memiliki makna tersirat tetapi perlu dizahirkan dengan ikhlas.

Gunakan tulisan Jawi dan bahasa Melayu di papan nama perniagaan, kenderaan, kain rentang dan tirai pentas. Tiada tempat bagi tulisan Cina kerana ini bukan negara jati anda. Ingatlah dalam Dokumen Kerakyatan 1961, hanya tujuh puak diiktiraf sebagai penduduk jati Brunei, iaitu Melayu Brunei, Kedayan, Tutong, Belait, Dusun, Bisaya dan Murut. Maknanya secara konstitutional negara, bangsa anda tidak tercatat. Jadi apa yang telah dizahirkan oleh local genius dahulu dalam menggubal perkara ini pada zaman pemerintahan Almarhum Begawan, dinilai sebagai sebuah pandangan strategik dan perkara istimewa yang jauh ke hadapan bagi memelihara dan mengukuhkan citra negara ini sebagai negara Melayu Islam Beraja. Dokumen Kerakyatan dan MIB harus kekal di negara ini selagi ada bulan dan bintang.

Wahai bangsa Cina di Brunei DS, anda seharusnya menjadi bangsa yang tahu diri. Kami akan terus memastikan bagaimana kelakonan anda seterusnya. 

Tiba masanya negara ini memerlukan Perintah Bahasa dan Tulisan Jawi bagi mendidik dan mencerdaskan masyarakat apatah lagi golongan pemodal ini untuk akur pada aturan yang berlaku. Mereka perlu diberi penalti untuk mendidik dan mendisiplin mereka yang berkenaan. Tiada tolak ansur mengenainya demi memastikan ciri-ciri khas bagi pembinaan negara bangsa atau state of art negara ini tidak diperkotakkatikan oleh bangsa asing.

Alhamdulillah, setelah hal papan tanda tersebut menjadi viral, kini tulisan Jawi telah mula dipasang. Jangan cuba-cuba memperlecehkan aturan yang ditetapkan.

Jumaat, 14 Ogos 2015


Laluan PanBorneo seambisius harapanku dan mereka

Projek ambisius PanBorneo menelan belanja RM15 bilion. Laluan PanBorneo ini dijangka siap dalam tempoh 6 ke 7 tahun dari sekarang. Komitmen pembinaan laluan secara bertahap iaitu fasa demi fasa kini telah mula berjalan rancak di negeri jiran kita Sarawak dan Sabah. Perlu diketahui laluan PanBorneo bagi menyambung perhubungan darat antara Sarawak dan Sabah tidak dibuat terus melalui Miri dan Limbang sebaliknya kekal seperti laluan sekarang iaitu Sarawak - Brunei - Sabah dan begitulah sebaliknya. Terdapat keinginan tinggi bagi penduduk Limbang menginginkan laluan menghubungkan Limbang terus ke Miri dan sebaliknya. Kedudukan Limbang bak susunan sandwich yang terapit di tengah itu dirasakan menyulitkan kelancaran lalulintas dengan kadar segera, kerana secara geopolitik penduduk Limbang begitu juga Lawas harus melalui dua pos kawalan imigrasi Brunei, baik di Kuala Lurah mahupun di pos kawalan Labu, Temburong sebelum melanjutkan perjalanan baik ke Sarawak atau Sabah. Melalui pos kawalan, baik satu apatah lagi dua bukan sesuatu yang mengembirakan sebaliknya membuat sakit kepala dan meresahkan serta sering membuat kita buru-buru mengejar masa, marah pada mereka yang perlahan atau imigrasi yang lambat melaksanakan proses imbasan dan cap. Ia menuntut kesabaran tahap maksima terutama pada hari hujung minggu atau cuti panjang persekolahan. Namun sebagai warganegara yang berbeza, menghormati kedaulatan undang-undang negara yang dituju harus dipatuhi bagi menghindarkan tindakan yang tidak diigini.

google images bagi Peta Laluan PanBorneo
Saya memerhatikan bahawa projek ambisius yang memiliki manfaat ekonomi dan pengaliran barangan serta perkhidmatan ini tentulah memberikan limpahan ekonomi kepada penduduk sekitarnya jika ia digarap dengan kesedaran yang jelas dan rapi. Adalah mustahil dalam rantaian panjang laluan tersebut tidak ada kegiatan ekonomi baru tumbuh apatah lagi dengan siapnya jambatan mega sebagai penghubung dua pulau besar dan kecil yang terpisah oleh jalur sungai.

Pembangunan prasana dan penaiktarafan jalan raya telah bermula sejak siapnya pembinaan Jambatan Persahabatan yang menghubungkan Temburong dan Limbang. Jabatan Persahabatan ini tidak keterlaluan dikatakan sebagai tiang seri yang membuka jalan bagi perancangan yang besar seperti laluan PanBorneo tersebut walaupun diketahui inisiatif projek berkenaan telah diuar-uarkan dan dijanjikan dalam manifesto pilihanraya negeri dan parlimen di Malaysia dalam PRU13.

Pembangunan prasarana dan penaikan taraf jalanraya dalam peta laluan PanBorneo di sebelah Sarawak dan Sabah telah bermula sejak 31 Mac 2015 khususnya di Sarawak yang bermula dengan pembinaan Fasa 1 dari Teluk Melano (Selatan Sarawak) hingga Miri yang dijangka menelan kos RM18 bilion. Fasa kedua melibatkan Merapok, Lawas hingga ke sempadan Sabah. Kejuruteraan besar pembinaan laluan ini kebanyakan melibatkan laluan di Sarawak yang secara keseluruhannya laluan PanBorneo ini dijangka siap menjelang tahun 2022. Difahamkan lebuhraya berkenaan tidak mengenakan tol.

Sebenarnya kerancakan pembinaan laluan tidak sahaja berlaku di Sabah dan Sarawak, bahkan juga perkembangannya dapat dilihat di negara ini yang memang sudah termasuk dalam pelan induk pembangunan negara. Kebetulan pembinaannya bertembung dengan rancangan besar di negeri jiran dan perkara ini mungkin bukan satu kebetulan tetapi dibuat melalui perancangan rapi dan kerjasama strategik yang erat yang terjalin selama ini. Ia bermula dengan siapnya pembinaan Kompleks CIQ di Sungai Tujoh yang menunggu masa yang sesuai untuk dibuka. Kemudian prasarana jalan raya melibatkan biaya yang tinggi seperti penaiktarafan jalan penghubung Seria bypass dan Rasau yang menghala ke bandar yang sedang rancak ditingkatkan yang pastinya melibatkan jalan sehala di sebelahnya nanti. Seterusnya pembinaan jambatan penghubung di Telisai yang telah berjalan sejak lama. Siapnya jabatan ini tentunya mengurangkan tekanan dan beban bagi jalan raya lama yang menghubungkan Sungai Liang - Telisai yang selalu mengalami masalah kesesakan trafik apabila berlaku kemalangan dan kerosakan kenderaan dalam satu-satu masa.

Seterusnya perkembangan fizikal yang menelan belanja jutaan ringgit juga terus berjalan seperti pembinaan jambatan dan laluan penghubung yang menghubungkan Sungai Kebun dengan Bandar Seri Begawan serta projek yang jambatan yang sudah lama dinanti iaitu jambatan yang menghubungkan Bandar Seri Begawan dengan Temburong yang khabarnya siap pada tahun 2018. Siapnya jambatan penghubung dari Bandar Seri Begawan ke Temburong tentulah memberi kemudahan bukan kepalang kepada penduduk Temburong yang sudah lama mengimpikan jambatan berkenaan bagi memudahkan mereka melaksanakan urusan kehidupan dan perhubungan antara saudara dan penduduk dapat berjalan tanpa batas dan waktu. Begitulah sebaliknya bagi masyarakat dan penduduk di BSB. Pastinya industri makanan dan minuman (food and beverages) akan tumbuh pesat kerana pergerakan manusia dapat dipendekkan dan cepat bagi merangsang pertumbuhan ekonomi di daerah Temburong ini. Yang lebih penting juga, pergerakan ke sempadan menjadi lebih mudah khususnya penduduk di negara ini yang berhajat ke Sabah dan daerah sekitarnya. 

Baru-baru ini, iaitu pada 11 Ogos 2015, Brunei Darussalam dan Malaysia telah bersepakat bagi memperpanjang waktu perkhidmatan imigrasi di pos kawalan sempadan darat kededua negara dilanjutkan sehingga pukul 12 malam bagi melancarkan lalulintas manusia, barang dan perkhidmatan. Orang yang seusia saya dan mereka yang sudah menempoh masa-masa puncak tentu berharap diberi kesempatan usia dan tenaga untuk melalui hari bersejarah berkenaan nanti. Mengapa kami begitu ambisius dan berharap tinggi? Ia tidak lain kerana alam yang membentang di Pulau Borneo ini memiliki bentangan keindahan semula jadi yang membentang dari daratan, sungai, bukit, banjaran hingga gunung dan dihuni oleh penghuni primet yang unik serta pulau ini terkenal dengan kepelbagaian bionya. Atmosfera ini menjanjikan petualangan yang mencabar, keterujaan dan pengalaman yang didapatkan. Semoga jalan raya berkenaan siap tepat waktu dan kami dapat menikmati kesempatan berkenaan dengan izin Allah Subhanahu wa Ta'ala. Amin Ya Rabilalamin.


Khamis, 13 Ogos 2015

Majlis Raikan Aidilfitri Bersihkan Jiwa Sesuci Lebaran

Semalam Khamis 13 Ogos 2015, Bahagian yang diketuai Hamba melaksanakan kepercayaan pimpinan jabatan untuk bertindak sebagai hosting atau urus setia penganjuran majlis sambutan raya jabatan. Sambutan raya ini bukan sekadar meraikan kegembiraan, keriangan dan kemeriahan tetapi juga mengetengahkan filosofi untuk memaknai Aidilfitri yang kita raikan saban tahun sebagaimana tausiyah Ibu Pimpinan Jabatan, Dayang Hajah Aminah binti Haji Momin dalam ucaptamanya. Oleh kerana itu, pada tahun ini, jabatan bersetuju untuk mengusung tema yang berbunyi Raikan Aidilfitri Bersihkan Jiwa Sesuci Lebaran. Seperti yang kita sedia maklum bahawa Aidilfitri terdiri daripada dua kata, iaitu "Eid" bermakna kembali, "Fitri" bermakna fitrah. Yang demikian Aidilfitri menterjemahkan manusia kembali ke fitrah, setelah sebulan berjuang menahan diri dan melawan hawa nafsu. Hakikatnya, sesuai dengan perintah dan ajaran agama Islam, manusia didorong untuk selalu memaknai kembali hidupnya, ingat-mengingati dan diseru untuk berbaik-baik, menghargai dan bahu-membahu antara satu dengan yang lain sehingga terbangunnya keharmonian dan kebersamaan. Kata tanpa tindakan konstruktif tentulah tidak terjadi apa-apa. Maka itu, seruan konstruktif bagi mewujudkan cita-cita memaknai Aidilfitri bukan sekadar bahasa tanpa makna tetapi bahasa dan makna yang memiliki pesan dan kesan sosial untuk mempromosi dan menggalakkan penyuburan dan pembaharuan semangat kesatuan, perpaduan, toleransi dan penghargaan sesama ummah. Kita memerlukan pembaharuan dalam menumbuhkan semangat kebersamaan. Mengapa? Ia tidak lain kerana hidup dan kehidupan itu tidak semudah membalikkan telapak tangan dan tak selamanya berjalan mulus. Di dalamnya, ada marah-marah, tegur-menegur dan kuatnya egosentrik kendiri sehingga ada yang termakan hati dan rasa. Perlu kita ketahui bahawa pekerjaan yang dilakukan dari hari ke hari menuntut komitmen tinggi dari segi standard pencapaiannya. Yang demikian sumber manusia sebagai instrumen bahagian dan organisasi secara keseluruhannya perlu saling mendukung selain dipacu oleh ilmu, pengetahuan, kemahiran dan pengalaman kendiri. Ertinya, kita tidak boleh bekerja biasa-biasa dan relaks. Harus ada dinamika, perubahan dan penyesuaian. Oleh kerana itu, betapa perlunya kesedaran akan tanggungjawab serta tanggungjawab kolektif untuk membahu-bahu dan saling melengkap bagi meminimakan error dalam setiap tindakan dan pelaksanaan kerja. Dalam proses pelaksanaannya, tentunya ada pahit, masin, masam dan manis. Momentum Aidilfitri adalah saatnya kita kembali ke fitrah. Mari kita memaafkan dengan hati, jiwa, kata dan perbuatan. Mari kita menghargai sesama.

Hamba sebagai setiausaha Majlis Raikan Aidilfitri Bersihkan Jiwa Sesuci Lebaran merakam ucapan penghargaan dan terima kasih kepada seluruh karyawan Bahagian Perancangan Buku dan Penerbitan (B4) yang telah berfikir, merancang, mengusaha dan merealisasikan peranan B4 sebagai sebuah penganjuran yang paling berjaya, dikenang dan menjadi penanda aras bagi bahagian lain untuk penganjuran akan datang. Inilah komen dan pandangan jujur yang dilahirkan oleh pimpinan dan teman yang berjumpa Hamba secara peribadi mahupun dalam WhatsApp. Untuk itu, secara peribadi Hamba ingin menyebut nama orang kuat dan cerdas B4, namun tentulah tidak memungkinkan untuk menyebutkan satu persatu di sini. Hamba ingin memulakan dengan Dayang Hajah Rasiah (kekuatan dan kebolehan beliau ada pada acara-acara keraian seperti ini), Dayang Hajah Ramlah (tiada beliau tiada tradisi dan rasa kampung untuk konsep majlis ini), Dayang Hajah Rohani dan Dayang Norsinah (mengurus, mengoleksi, menanda dan menyusun hadiah-hadiah), Dayang Rena (inisiatif dan kesungguhan untuk merealisasi dan mendokumentasi video klip ucapan raya), Dk. Juli dan Dayang Hajah Salbiah (lincah mengurus dan menyusun sajian serta bertenaga dalam persembahan), Dayang Rosdiah, Dayang Wathiqah (tahniah kerana memenangi pakaian terbaik), Dayang Hajah Fatimah dan Dayang Ainul (telah memberi idea bagi perbaikan pemarkahan dan kekemasan sistem penilaian termasuk menyiapkan pengiraan dalam waktu yang sangat terbatas), dan Awang Fahmi (yang telah mengacara majlis dengan caranya tersendiri dan meskipun berada dalam tekanan untuk menyelaras floor acara, tetapi beliau dapat mengendalikannya dengan baik dan lancar. Beliau juga berinisiatif untuk mengkreasi penampilan mini buku program raya majlis ini) serta seluruh jajaran Ketua Cawangan dan karyawan B4 yang lain yang sangat intensif menyumbang fikiran, tenaga dan tentunya kewangan sendiri untuk memastikan kekemasan dan kejayaan penganjuran majlis ini. Sebelumnya, mereka telah berusaha, bekerja bersama dan mungkin sahaja telah mengeluarkan belanja untuk menghias bilik dan menganjurkan sambutan raya bahagian. Karyawan B4 ini telah memainkan peranan yang bukan kepalang dan superb yang tidak diragui dari segi kualiti serta pendekatan cara kerja yang telah teruji tangguh. Khusus untuk persembahan, otai-otai DBP ini ternyata masih berbisa...yeahhhhhh.

Ihsan drpd Unit Perancangan Buku

Ihsan drpd Dayang Rena Fauziah

Ihsan drpd Dayang Rosdiah


Ihsan drpd Dayang Rosmuliati

Meskipun B4 tidak meraih tempat dalam Pertandingan Hiasan dan Persembahan Terbaik, tetapi kita telah menunjukkan semangat juang dalam pertandingan dan mempercayai panel penilai telah menjalankan tugas dengan sebaiknya. Yang nyata kemenangan besar kita dari segi moral khususnya kesediaan memikul tanggungjawab, amanah dan kepercayaan sebagai hosting raya terbaik sekaligus mencipta satu tanda aras kepada Bahagian lain untuk berfikir dan bekerja keras mencipta pembaharuan pengisian agar majlis sambutan raya DBP menjadi lebih baik dari tahun ke tahun.

Kepada Bahagian lain, tanpa biskita majlis ini juga belum tentu berhasil dengan baik. Sebagai urus setia, Hamba mewakili karyawan B4 mohon maaf jika terdapat kekurangan sepanjang B4 bertindak sebagai hosting majlis.

Ayuh mari kita lihat secara inklusif bahawa kejayaan dan keberhasilan Majlis Raikan Aidilfitiri Bersihkan Jiwa Sesuci Lebaran ini adalah juga kejayaan bagi sebuah kesatuan, perpaduan, kerjasama, toleransi dan semangat saling menghargai bagi seluruh warga kerja DBP. Tiada yang dapat menidakkan bahawa ciri-ciri disebutkan adalah unsur perekat sosial penting untuk menuai jaya. Bersatu Kita Kukuh, Bersatu Kita Jaya, insya-Allah.


Ahad, 9 Ogos 2015

Pendidikan sejak dini asas bagi pembinaan mental dan kesedaran ummah

Telah berlaku perbincangan panjang lebar antara saya dan teman sekolah lama dalam grup WhatsApp kami. Ia bermula dengan rasa empati yang ditunjukkan oleh seorang teman baik terhadap kehidupan kini yang semakin kompetitif di tengah-tengah ekonomi yang tidak menentu, kenaikan harga barang dan keperluan, peningkatan sara hidup, harga minyak, dan susutnya nilai ringgit yang menyebabkan daya beli masyarakat menurun. Di tambah lagi dengan pengenalan cukai barang dan perkhidmatan yang menekan kehidupan rakyat banyak. Kesannya, kehidupan makin terhimpit bagi masyarakat marhaen khususnya mak bapak di kampung dan desa yang sudah tentu memberi impak yang bukan kepalang anak, bagi perkembangan dan pembesaran anak-anak mereka. Apakah anak ini disekolahkan atau masih melanjutkan persekolahan dek kos hidup yang meningkat? Sungguh malang jika anak ini diberhentikan oleh mak bapak mereka yang tidak berdaya. Teman-teman cukup prihatin kerana mereka dan saya dalam sejarah hidup kami bukanlah anak-anak yang tergolong berada apalagi untuk bermewah-mewah. Saya sendiri dibesarkan dengan kehidupan kampung yang tidak pernah terkecuali membanting tulang empat kerat untuk membantu mak sebagai ibu tunggal dan ketua keluarga bagi menghidupkan dapur kami menggunakan kayu dan minyak tanah. Jika tangan ini pandai berkata, ia tentu bercerita betapa dirinya bermain dengan selut mencari ikan untuk pakai makan kami, diselaputi tanah dan lumpur ketika membantu nenek dan pak lang di sawah, dihayun dengan penuh kasih pada pohon getah agar getah yang ditoreh menghasilkan wang buat membeli makanan dan pakaian, mencari buah ketika musimnya untuk dijual, mengutip cendawan ketika tanah di baruh belakang rumah ditarah untuk ditanam pohon kelapa sawit, mencari kayu api buat menanak nasi dan menjerang air dan bekerja paruh waktu sebelah pagi mencari wang belanja sekolah ketika memasuki awal pendidikan sekolah menengah yang sesi sekolahnya diadakan sebelah petang,


Semua pelajaran hidup tersebut menjadi universiti paling agung buat saya memahami erti hidup dan jerih payah orang tua untuk membesarkan hidup kami. Di sela-sela nasib tersebut, saya dibuat cerdas untuk memikir bahawa keperihan sebenarnya memberi jalan untuk kita menggunakan fikiran bagaimana mengubahnya untuk menjadi lebih baik. Sejak kembali ke tanah kelahiran, saya tidak duduk diam tetapi selalu memperbaharui pengetahuan semasa dengan mengikuti perkembangan yang berlaku di sekitarnya. Kesimpulan yang saya peroleh ialah permasalahan kehidupan adalah hal kompleks yang gerafnya tidak pernah turun bahkan meningkat dan tentunya menekan kehidupan masyarakat banyak jika kita sendiri tidak mengasah otak untuk berfikir secara objektif. Pendek kata, permasalahan ekonomi dan kehidupan adalah hal yang universal dan kompleks bukan sahaja dirasai oleh negara dunia ketiga, negara membangun bahkan juga turut dihadapi oleh negara maju! Tiada yang mudah dalam hidup ini kalau kita tahu.

Saya juga memerhati dan memetik pelajaran secara inklusif mengapa negara sekian-sekian boleh berjaya dan rakyatnya dapat menyerap permasalahan ekonomi dan kesan kenaikan harga barang yang dihadapi oleh kerajaan negara berkenaan dalam mengurus ekonomi. Mengapa mereka berjaya walaupun kita akui bahawa bagi mencapai kepuasan dan kesempurnaan untuk dinikmati oleh rakyat itu tentulah satu perkara yang mustahil, namun setidaknya kerajaan mereka berjaya meningkat pemahaman masyarakat untuk bersama-sama memainkan peranan dalam masa-masa sulit. Setelah dicermati dan diperhalusi, di sinilah letaknya peranan besar pendidikan dalam pembinaan negara bangsa (nation state) untuk mengapai cita-cita menjadi sebuah "state of art" iaitu, menggarap watan sebagai sebuah bandar pintar, wah dan solid sebagai tempat bagi kehidupan serta dihuni oleh masyarakat-masyarakat yang cerdas di dalamnya.

Disitulah penting pendidikan. Pendidikan bukan sekadar untuk melahirkan pelajar yang taksub meraih seberapa banyak A* dalam peperiksaan mereka, pendidikan haruslah menekankan aspek nilai merangkumi isu besar sosial dan komponen di dalamnya, sehingga menjengah ke bab ekonomi dan politik. Pendidikan harus disesuaikan dengan zaman. Pendidikan harus menekankan aspek nilai mentarbiah dan mentausiyah agar masyarakat dapat menghayati pesan moralnya. Pendidikan yang dapat merangsang pelajar beranjak kepada ke tingkat kemampuan pemahaman lebih tinggi, analitikal dan autentik. Pendek kata, pendidikan harus memberi perubahan dan anjakan kerana sering kali dilaungkan ialah pendidikan adalah agen perubah sosial. Perubahan pada pemikiran iaitu memperbaik apa yang tidak patut dilegasikan. Perubahan pada tindakan dan penyesuaian dengan keadaan semasa melalui pertimbangan yang cermat dan teliti.

Yang membuat saya terkesan ialah sebuah pandangan yang bertolak belakang ketika kita menzahirkan sebuah empati kepada mak bapak yang memiliki anak ramai, dan ada pula kalangan mereka ini berkahwin dua! Yang saya katakan pandangan bertolak belakang ialah ketika kita tahu kita tidak memiliki kemampuan ekonomi yang baik atau ekonomi yang tidak stabil, mengapa kita harus melahirkan anak yang ramai, apatah lagi berkahwin lebih dari seorang! Saya berhujah bahawa dengan mengambil pelajaran pertama ayat al-Quran yang berbunyi "Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menciptakan ....". Ayat ini menekankan betapa pentingnya manusia memiliki ilmu. Bererti tiap kita harus memiliki ilmu yang baik melalui cabang pendidikan. Dan ketika kita meraih ilmu tersebut, manfaatkanlah dengan baik agar kita dapat berfikir cerdas dan bijak dalam mengurus hidup dan masa depan yang lebih baik. Bukan main ikut hati dan ikut seronok semata-mata.

Pada ketika kita tidak memiliki pendidikan dan pemahaman baik tentang kehidupan, kita tidak akan pernah memikirkan dengan kritis mengapa kita perlu mengehadkan kelahiran anak. Kita masih meneruskan legasi mak bapak kita dengan tipikal kata sakti mereka "anak ramai adalah rezeki". Dahulu mak bapak pada zamannya mengecapi pendidikan vernakular, mereka pekerja kampung yang berusaha membanting tulang dan tentunya memiliki tanah untuk dimajukan. Baginya, anak ramai tentu adalah rezeki kerana kudrat mereka digunakan untuk mengusahakan tanah untuk bercucuk tanam dengan matlamat gandanya ialah untuk mendidik. Keadaan sekarang sudah jauh berubah. Dan tipikal anak ramai adalah rezeki itu perlu diagnosis mendalam dengan mempertimbangkan faktor kemampuan dan kos sara hidup yang meningkat kini. Ingatlah bahawa perkahwinan bukan sekadar menyatukan dua insan tetapi ia menuntut tanggungjawab yang besar dalam pembinaan keluarga. Sebuah tanggungjawab! Bila sulit, kita pasrah, menyerah, mengharap belas dan simpati. Kita perlu tahu bahawa rezeki tidak datang bergolek tanpa kita bekerja keras meraihnya. Kita perlu bekerja keras dan berdoa kepada Allah Subhanallah wa Ta'ala. Pada masa yang sama, kita perlu merancang dan membangun keluarga berencana jika kita tidak memiliki kemampuan ekonomi yang baik. Kita perlu tahu bahawa ketika kelahiran anak tidak dirancang, ledakan penduduk akan berlaku yang mengakibatkan permintaan barang dan keperluan melebihi penawaran. Berfikirlah inklusif dan kritis dalam hal ini. Secara logis, apabila ini berlaku, harga barang dan keperluan akan naik. Bagi menstabilkan harga barang tersebut untuk dimampui pengguna, kerajaan setiap negara perlu meningkatkan subsidi. Kerajaan juga perlu memastikan fundamental kewangan negara kukuh. Untuk menampung kos subsidi, cukai dinaikkan. Dan inilah mengakibatkan barang dan keperluan tidak pernah turun. Ia membuat rakyat marah-marah. Yang menjadi mangsa kemarahan rakyat, tentulah kerajaan. 

Saya dikiaskan sebagai seorang yang neo-lib dan mungkin juga dikatakan tidak memandang pada latar hidup yang membesarkan saya. Saya ingin katakan bahawa pada ketika kita melontarkan sesuatu pandangan atau apapun isunya, hujahlah pada akar permasalahan itu, iaitu apa isunya, dan apa masalah pokoknya. Secara logik akal, anak ramai akan berimpak kepada perbelanjaan. Impaknya kumulatif! Kerak nasi menjadi besar. Perbelanjaan meningkat. Keperluan hidupnya perlu dilengkapkan. Zat dan nutrisi perlu ada agar proses perkembangannya tidak mudah rentan dengan masalah kesihatan. Sekolahnya perlu diperhatikan daripada peringkat dasar, menengah, lanjutan dan pengajian tinggi. Tidak boleh ada pembiaran kerana anak adalah aset. Anak adalah pelaburan, pelaburan insan yang memberi pulangan yang baik jika diberikan pendidikan agama dan sekular yang cukup dan seimbang. Jika semua ini tidak diperhatikan dan diabaikan, ia akan menjadi boomerang kepada orang tua dan masyarakat bahkan kerajaan!

Kegagalan kita memahami pokok permasalahan itu sebaliknya meluapkan marah-marah dengan hujah yang tidak menampakkan logikanya. Kita mengupas permasalahan tersebut pada perkara yang sudah terjadi tetapi sepatutnya kita melihat bagaimana kita bersama-sama bertindak untuk mencegahnya. Inilah kelemahan sesetengah kita. Mengupas apa yang telah terjadi bagi saya adalah sesuatu yang membuang masa.  Ia tak ubah seperti cakap-cakap sambil ngeteh atau ngopi yang kemudiannya bila masing-masing pulang ke rumah, tidak ada yang berubah. Cakap kedai kopi adalah cakap yang berdegar-degar, penuh kesan marah-marah, dan kita terjebak mewarisi budaya sembur sana sembur sini tetapi tidak ada tindakan konkrit dan konstruktif selepas itu. Kita tidak boleh berfikir hanya untuk membantu meringankan tetapi kita harus melihat keseluruhan kompleks permasalahan tersebut yang memerlukan kita berfikir tinggi dan mengambil penyelesaian yang mungkin menyebabkan pendekatan kerajaan kita menjadikannya tidak popular tetapi memberi kesan baik pada jangka panjang.

Kita mahu kerajaan meringankan beban golongan ini tetapi ingatlah ini bukan bentuk penyelesaian jangka panjang dan jangka pendek sekalipun! Pada akhirnya, kita marah. Kita marah-marah pada kerajaan tetapi kita tidak pernah "memainkan peranan". Kita kata kita telah memainkan peranan, tetapi saya bertanya apakah peranan yang kita mainkan sudah cukup? Kita bersimpati kepada mereka yang memiliki anak ramai dan terkesan dengan keperihan hidup ditambah lagi jika beristeri lebih dari seorang? Saya tanya, apakah mereka yang mengalami situasi itu kasihan pada diri mereka sendiri dan pernah memikirkan sedalam-dalamnya tentang perlunya perancangan keluarga apatah lagi bersukacita untuk menambah cawangan? Menzahirkan empati boleh sahaja, tetapi yang terpenting kita sebagai generasi yang lahir daripada pendidikan yang baik hasil daripada kesedaran mak bapak kita dahulunya dan seluruh struktur politik yang ada perlu meningkatkan kesedaran masyarakat khususnya golongan biasa untuk berubah dan hiduplah dengan bersistem serta buat perancangan yang baik. Berikan mesej yang jelas kepada mereka. Dengan rendah hati, saya mengingat diri saya sendiri dan untuk semuanya, ialah betapa perancangan sejak dini dalam semua aspek kehidupan, sangat penting agar kita dapat memegang kendali dan kontrol yang baik dalam membangun ekonomi dan keluarga berdasarkan kemampuan dan mendahulukan mana yang patut didahulukan. Untuk menzahir dan meningkat kesedaran awam mengenai perkara ini, pendidikan itu sangat penting bagi pembinaan mental dan meningkatkan kesedaran ummah. Lebih baik berkata pahit dan tidak popular jika kata pahit itu memiliki pesan sosial untuk menyedarkan rakyat atau masyarakat. Jangan menjanjikan sesuatu tetapi tiada yang berubah sehingga ke akar umbi untuk satu tempoh berpanjangan. Berilah pendidikan yang baik kepada anak-anak agar kelak mereka dapat berfikir panjang dan jauh ke depan. Penting, mereka tidak perlu meneruskan legasi lama melabun anak pada ketika situasi kini tidak kondusif dan tanah di pelataran rumah tidak lagi luas untuk bercucuk tanam.

Hidup perlu ada dinamika, hidup perlu progresif dan peka pada penyesuaian. Kita perlu menjadi masyarakat yang berkualiti dalam semua aspek. Saya meluahkannya kerana saya sayangkan bangsa saya. Kita perlu berubah. Berubah dari segi pemikiran dan bergerak dengan tindakan. Memetik pandangan Ibn Khaldun dalam karya agungnya The Muqaddimah "masyarakat tidak statik, bentuk-bentuk sosial berubah dan berkembang" yang menggarisbawahi makna yang pelbagai dan dalam konteks perbincangan wacana ini dapatlah saya rumuskan bahawa manusia adalah produk sosial yang dinamik dan pragmatis berdasarkan acuan sosial dan kepercayaan yang dipegangnya. Dan sesungguhnya....

"Allah Subhanahu wa Ta'ala tidak mengubah nasib sesuatu kaum kecuali kaum itu sendiri yang mengubah apa-apa pada diri mereka"

Salam damai.

COVID-19 - Dunia Ini Rapuh dan Tidak Berdaya, Pelajaran Buat Kita

Tidak siapa menduga COVID-19 yang bermula di Wuhan, China merebak ke seluruh dunia. Masyarakat dibuat terpinga-pinga dan panik. Kita dibias...