Sahabat sekolah hamba, Hadi Bakar mengirim
footage yang menggamit memori zaman kanak-kanak bagi sesiapa jua yang dibesarkan
pada tahun 70-an. Footage yang dikirim merakam dan mendokumentasi peralatan dan apa sahaja barang yang digunakan pada dekad berkenaan. Yang ingin hamba sentuh di sini ialah permainan yang kami mainkan di kampung-kampung dan desa. Sungguh menyentuh sekali kerana
perkara yang dipaparkan dekat dengan diri dan hati kami dulunya dan masih terngiang hingga kini apabila memori itu dirunut kembali. Hakikatnya, kami
dibesarkan pada dekad tiada istilah yang yang kita kenal pada hari ini sebagai gajet atau peranti mudah alih seperti
telefon bimbit, ipad, tab apatah lagi smartphone. Pendek kata, zaman itu tiada
gajet semoden hari ini. Hmm... nak menyebutnya pun naik berkelut lidah. Gajet kami adalah benda alam. Benarlah kata pepatah "alam terbentang menjadi guru". Otaklah yang memutarkan
bagaimana benda alam itu diolah dan dikreatifkan sebagai media permainan. Kami mengenal
upih pinang pakai menarik rakan yang duduk di atasnya, buluh buat letup atau
menembak, buluh keras dijadikan meriam buluh, buluh dibelah panjang dibuat
garis kod lapangan badminton, buluh sebagai tiang gol dan kayu hoki, kertas
digumpal jadi bola, bermain galah hadang di tanah, permainan konda-kondi,
lastik getah, papan dibuat pistol dan dibubuh getah lastik pakai menembak, buah
keduduk dijadikan peluru, dan buah hutan yang berwarna (dah lupa nama) dibuat
peluru untuk buluh peletup, dan permainan melaga atau menekan biji getah.
Banyak permainan dicipta dan ia merupakan satu proses yang menyeronokkan bagi
anak-anak kampung sebaya seperti kami.
Anak-anak seperti kami tidak pernah
memaksa orang tua untuk membeli permainan. Kami tidak mahu menyulitkan ibu bapa kami. Lagi pula permainan yang dibeli tidak membuat kami bersahabat dengan rakan sebaya kerana alat permainan berkenaan tentu untuk dimainkan seorang yang membuat pemiliknya bercakap sendiri dengan permainan itu, dan memiliki karakter yang tidak bersahabat. Kami lebih ramah untuk menekuni apa sahaja benda alam yang boleh diolah beramai-ramai. Kerananya, kami menjadi orang yang selalu berusaha
dan memerah otak untuk berfikir. Kami menjadi manusia yang kreatif dengan
melihat benda alam dan bahan buangan seperti kayu dan papan menjadi subjek yang
boleh diolah dan dijadikan media permainan. Ini belum termasuk
permainan yang dimainkan mengikut musim yang dipengaruhi oleh pencapaian
nasional skuad negara ketika itu dalam permainan seperti badminton, ragbi, bola sepak, takraw dan
hoki dalam arena sukan antarabangsa. Paling seronok, musim tengkujuh. Sungai dan
bonda (sungai kecil seperti terusan atau parit) menjadi tempat mandi yang
asyik. Sejuk dan dingin perkara kedua. Bila dah terjun mandi bersama
jiran sekampung, lupa lapar dan dahaga. Sesekali, kami membuat rakit daripada
buluh pakai mendayung dan belayar.
Di atas semuanya, kini kami menyedari
bahawa media permainan berkenaan membawa dampak yang cukup besar bagi pembentukan karakter kami. Kami terdedah dengan budaya (1) kemahiran insaniah, (2) sikap sosial dan saling
bersaing, (3) bekerjasama dan saling menghargai, (4) semangat juang dan berdikari yang tinggi, dan (5) jeli (kreatif)
melihat sesuatu untuk diolah dan dijadikan alat yang berguna telah wujud dalam diri anak-anak yang tinggal di kampung pada dekad berkenaan, ketika kami belum menginjak kaki ke sekolah dasar! Kami dan mereka menjadi anak yang aktif dan super dalam konteks zamannya.
Terkadang kita harus mengakui bahawa
ketika kita tidak punya apa-apa, fikiran kita menjadi kreatif untuk membuat
terobosan. Dan alam menjadi sahabat bisu yang mendorong imaginasi dan memiliki getar yang menghiburkan.