Sabtu, 26 Januari 2013

DEKLARASI BORNEO: JANJI DAN HARAPAN


Brunei Darussalam bersama Indonesia dan Malaysia mencatat sejarah penting untuk menjaga dan memulihara khazanah hutan yang ‘dikongsikan’ dalam satu kedudukan geografi yang sama. Ketiga-tiga negara pertama kali mengumumkan niat bersama memulihara “Heart of Borneo” ketika konvensyen biodiversiti di Brazil pada Mac 2006. Tekad dan keazaman yang tinggi kerajaan ketiga-tiga negara untuk memulihara hutan Pulau Borneo merupakan satu manifestasi yang disanjung tinggi bukan sahaja di peringkat serantau, malah Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah serta kumpulan pencinta alam sekitar (WWF). Pemuliharaan hutan didorong oleh kesan pencemaran alam berpanjangan, sumber air dan kualiti hidup. Beberapa dekad kebelakangan ini, isu perubahan iklim dan peningkatan suhu dunia merupakan agenda utama pemimpin dunia sejak Protokol Kyoto dimeterai untuk mengawal pelepasan gas karbon. Dalam kenyataan akhbar di Paris, kumpulan kerja Panel Antara Kerajaan Mengenai Perubahan Iklim (IPCC) telah melaporkan kejadian taufan kategori 4 dan 5 meningkat sekali ganda dalam tempoh 30 tahun lalu. Banjir besar yang biasa diramal berlaku 100 tahun akan lebih kerap antara 10 hingga 20 tahun termasuk di kawasan yang tidak berisiko banjir. Sekumpulan pakar metereologi Britain meramalkan dunia bakal menghadapi cuaca paling panas pada tahun ini disebabkan kesan fenomena El-Nino di Lautan Pasifik selain faktor pengeluaran rumah hijau. 

Di  Malaysia,  tiga buah wilayah antaranya Klang dan Miri diramalkan akan tenggelam 50 tahun lagi. Lapisan ozon di stratosfera yang semakin nipis membolehkan sinaran ultraungu sampai ke permukaan bumi lalu menyebabkan suhu meningkat. Penggunaan pendingin udara tanpa kawalan, penyembur aerosol, penggunaan baja organik berterusan dalam pertanian (menghasilkan nitrogen oksida), pembakaran bahan api fosil (nitrogen dioksida), ujian senjata nuklear, peperangan yang menggunakan bahan letupan dan penggunaan jet supersonik yang kesemuanya menghasilkan gas chlorofluorocarbon (CFC) menjadi penyumbang utama kepada penipisan ozon. Pemanasan global merupakan isu antarabangsa apabila kebanyakan bandar di Australia mengalami kekurangan bekalan air kerana kemarau buruk yang melembabkan pertumbuhan ekonomi dan menjejaskan pengeluaran hasil ladang.

Kita bernasib baik kerana berada dalam topografi yang diselimuti satu pertiga khazanah hutan yang dikongsikan bersama dua negara lain. Berdasarkan fakta, Pulau Borneo merupakan pulau ketiga terbesar di dunia. Di kelilingi Laut China Selatan di utara, Laut Sulu (timur laut), Laut Sulawesi dan Selat Makasar di timur dan Laut Jawa serta Selat Karimata di selatan. Luas 743,330 kilometer persegi manakala keluasan hutan hujan tropika ialah 220,000 kilometer persegi. Kepulauan Borneo menjadi langit bagi kepelbagaian hidupan biologi dunia antaranya 13 spesis primat termasuk orang hutan, 150 spesis binatang reptilia dan amfibia, lebih 350 spesis burung dan sekitar 15,000 spesis tumbuhan. Malah banyak lagi spesis yang belum dikenal pasti. Pada tahun lepas lebih daripada 50 spesis tumbuhan baru telah dikenal pasti dan dikod oleh pengendali perhutanan. 

Deklarasi Borneo yang ditandatangani di Pulau Peranginan, Bali baru-baru ini memberi perlindungan dan bakal menjadikan Heart of Borneo sebagai sebuah blok raksasa hutan hujan tropika yang dikategorikan sebagai antara yang tertua di dunia. Peristiwa bersejarah ini merupakan langkah betul yang patut disedari lama dulu. Namun seperti biasa, tindakan memperbaiki datang lewat pengalaman lalu. Sejak 1996, kegiatan penebangan hutan di seluruh Indonesia meningkat kepada purata dua juta hektar setahun dan kini hanya separuh daripada hutan asli Borneo yang masih kekal. Setelah sekian banyak bencana alam yang agak luar biasa menimpa hasil daripada pemugaran hutan, penggondolan bukit dan gunung, pembalakan, aktiviti pembakaran ladang selepas tuai dan kesan pelepasan gas rumah hijau barulah timbul kesedaran di kalangan kita semua. 

Cerita pemugaran hutan lebih kurang seusia dengan aktiviti menggeruk dasar laut sehingga memberi kesan besar kepada planet bumi pada 26 Disember 2004. Perubahan iklim yang berlaku sejak 10 tahun dulu apabila negara ini dan jiran serantau dilanda kemarau pada tahun 1998 menjadi pengajaran cepat yang patut diteladani. Rupanya perubahan iklim bukan sahaja menjejaskan kualiti udara sehingga menyesak nafas malah mengundang kegawatan ekonomi. Bagaimana kegiatan harian dan aktiviti luar berjalan seperti biasa jika indeks kualiti udara menurun. Banjir besar dan luar biasa yang berlaku di negara jiran kita beberapa bulan yang lalu mengajar kita bahawa bahawa ada sesuatu yang tidak kena dengan pengurusan alam. Di Indonesia, sejak musim hujan pada bulan Januari lalu, lebih 130 ribu hektar tanah dilanda banjir. Di Selatan Malaysia, Johor ditimpa banjir dua kali akibat daripada fenomena yang dipanggil sebagai ‘air termenung’ sehingga menjadi takungan air yang besar yang mengakibatkan banjir berulang apabila hujan lebat berlarutan. Peliknya di negara kita, sebahagian kawasan pedalaman Tutong dan Labi yang membentuk keluasan hutan sekitar 70% muka bumi, tiba-tiba digenangi air.  Banjir yang menimpa dikatakan berpunca daripada kenaikan paras air yang mendadak serta rangsangan hujan sejak beberapa hari kebelakangan. Ini sesuatu yang di luar daripada pertimbangan waras mengapa banjir boleh berlaku di kawasan berkenaan.

Umum mengetahui peningkatan guna tanah dipengaruhi oleh pertambahan penduduk dunia dari setahun ke setahun. Bagi menjamin kestabilan ekonomi, kerajaan dikebanyakkan negara mula terdesak untuk meneroka kawasan baru untuk membangunkan industri, mewujudkan kawasan perbandaran dan kediaman bagi penduduk yang bertambah. Dalam hal ini, tanah lapang sedia ada sudah dipenuhi dengan sekian macam bangunan dan pusat kediaman ‘merpati bandar’. Ini bermakna sebahagian hutan akan menjadi korban. Kawasan hutan yang dulunya menjadi kawasan tadahan air dan tempat flora dan fauna berevolusi, terancam dengan proses pembangunan yang tidak dikawal. Akhirnya ketirisan hutan menjadi stigma kepada habitat alam sehingga menjejas kitaran biologi flora dan fauna serta ekosistem akibat daripada penggondolan hutan berterusan. 

Hilir dan muara sungai tidak lagi sejernih dulu. Bahkan tidak kurang juga dilalui oleh manusia apabila bencana alam bersenandung silih berganti. Jika dahulu, bencana alam dengan isipadu yang besar datang puluhan tahun akan datang setelah kejadian pertama, tetapi pada hari ini yakni sejak dekad terakhir abad ke-20, bencana alam tidak mengenal pusingan waktu lagi. Faktor ini didorong oleh kerakusan manusia atas nama pemodenan dan pembangunan. Sebenarnya semua negara sedar dan tahu impak kepada alam sekitar akibat proses pembangunan dan perindustrian yang tidak terkawal. Negara maju menyalahkan negara membangun yang bangkit sebagai naga baru. Bagi negara membangun pula, demi survival, mereka tidak boleh menerima apa saja yang datang daripada Barat, sebaliknya mereka perlu menjadi pemain ekonomi untuk sama-sama menikmati peluang dan keuntungan. Pada akhirnya, mereka juga sama-sama memugar alam melalui pelepasan asap daripada kilang-kilang industri. Untuk menjamin kestabilan industri terutama janaan tenaga elektrik, minyak mentah diperlukan. Oleh kerana harga minyak mentah di pasaran dunia tidak menentu dan membebankan pengusaha, bahan bakar alternatif diperlukan sebagai galang ganti. Terdapat dua jenis bahan bakar ganti iaitu melalui aktiviti pengayaan uranium yang menghasilkan tenaga nuklear dan biodiesel. Namun tidak semua negara boleh memajukan tenaga nuklear kerana bimbang disalah guna. Maka bahan bakar alternatif yang berpotensi ialah biodiesel hasil daripada kejayaan penyelidikan makmal. Sumber biodiesel datang daripada kelapa sawit. 

Permintaan kelapa sawit yang tinggi di dunia telah menyebabkan banyak kawasan ladang baru khususnya di Indonesia dibuka dengan sokongan pelaburan luar. Dikhabarkan, skim yang disokong melalui pelaburan China dianggarkan meliputi kawasan seluas 1.8 juta untuk membuka ladang kelapa sawit terbesar dunia sepanjang sempadan Indonesia dan Malaysia di Kalimantan. Seperti yang kita sedia maklum, Kalimantan adalah pengeskport asap ladang terbesar setiap tahun sehingga mengakibatkan negara serantau seperti Brunei Darussalam, Malaysia dan Singapura mengalami kualiti udara yang buruk. Kebanyakan asap dicetuskan melalui pengurusan bahan buangan pertanian secara jimat kos iaitu pokok yang ditebang akan dibakar sebagai satu cara mudah untuk melupuskan sisa tanaman dan menyuburkan tanah. Pembakaran yang biasa dilakukan semasa musim panas akan menyebabkan api tidak dapat dikawal dan merebak sehingga mengambil masa untuk diatasi. Tambah menyulitkan, tanah gambut yang biasanya menjadi tanah subur untuk tanaman bertukar menjadi bara yang menerbitkan kepulan asap yang berpanjangan sehingga menyebabkan pencemaran udara seperti jerebu. Pembakaran terbuka musim panas bukan sahaja dilakukan oleh syarikat perladangan malah golongan petani dan pesawah. 

Pada hari ini, dengan kawasan hutan yang ditakrifkan hanya sisa sekangkang kera berbanding 30 tahun lampau, khazanah hutan yang ada tidak mampu lagi membendung dan mengkitarkan semula asap melalui proses fotosintesis secara semula jadi. Akibatnya, kepulan asap terus menerawang ke ruang udara dan seterusnya dibawa arus angin ke negara-negara yang tidak sepatutnya menerima musibah yang dicetuskan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Masalah pencemaran udara pada hari tidak boleh dipandang ringan bahkan menjadi masalah nasional dan isu antarabangsa. Tidak sedikit negara yang prihatin dengan masalah ini sehingga banyak biaya diperuntukkan untuk mengatasinya termasuklah usaha mencipta hujan, water-bombing dan sebagainya. Jika keadaan ini tidak segera diatasi, bukan saja kualiti udara semakin memburuk malah menjejaskan kualiti hidup, keselamatan, pertumbuhan ekonomi dan sebagainya menjadi taruhan. Rentetan demi rentetan bencana yang berlaku menjadi pengajaran kepada kita dan sesuai dengan ingatan yang tertera dalam bait lagu Ebiet G. Ade “mungkin Tuhan telah marah dengan dosa-dosa kita”. Memang dalam al-Quran pun sudah jelas dinyatakan bahawa sudah berlaku kerosakan di darat dan di laut dek tangan-tangan manusia. 

Berhubung dengan Deklarasi Borneo, meski terlambat, tetapi sekurang-kurangnya hutan Pulau Borneo masih bersisa untuk bukan saja diwarisi oleh anak generasi masa hadapan malah yang lebih penting penghuni primat rimba daripada pelbagai spesis termasuklah tumbuhan-tumbuhan yang belum diidentifikasi lagi. Jika tidak ada undang-undang mencegah pemugaran hutan, kita bukan sahaja berhadapan dengan isu pencemaran alam bah masalah yang lebih besar lagi iaitu sumber air. Hutan menjadi sumber kawasan tadahan air untuk menampung keperluan biologi manusia, flora dan fauna, kegiatan ekonomi dan sebagainya. Sedangkan air yang dicatu atau diberhentikan sementara untuk tujuan pembersihan tangki, kita sudah menjadi gawat, inikan pula jika berlaku kemarau panjang. Adalah penting hutan dipulihara sebagai kawasan tadahan air. Di Kalimantan misalnya, kehidupan masyarakat di sana amat kompleks. Tidak semua penduduk khususnya di Kalimantan mendapat bekalan air bersih yang sudah dirawat. Kos air yang dirawat juga agak mahal. Oleh yang demikian, mereka menggunakan sumber alternatif seperti air sungai, menakung air hujan bahkan sebahagian daripada penduduk mencari punca air daripada gunung. Dalam eksplorasi Jejak Kesultanan di Borneo tahun lepas, penulis mendapat informasi daripada penduduk Sukadana yang merupakan sebahagian daripada pemekaran wilayah Kabupaten Kayong Utara bahawa mereka telah mengambil inisiatif dengan mengapung air yang mengalir daripada bukit dan gunung dengan sistem perparitan yang teratur kemudian disambung melalui besi paip ke rumah-rumah untuk mendapatkan air.

Di samping mencegah pemugaran hutan, adalah penting pihak-pihak berkenaan khususnya pengusaha ladang kelapa sawit di Kalimantan mengetahui kaedah pengurusan sisa pepejal dan sisa pertanian secara sistematik dan teratur dengan memperkenal teknik pembakaran sifar berasaskan sistem guna sama iaitu sisa buangan menjadi baja kepada pokok baru. Golden Hope Plantations sebuah entiti perladangan terbesar di Malaysia yang menanam pelaburan besar dalam sektor perladangan kelapa sawit di Kalimantan misalnya telah memperkenal langkah membersihkan ladang tanpa pembakaran. Teknik pembakaran sifar yang diamalkan ialah pokok-pokok yang ditebang akan diracik-racikkan sebelum diletakkan di dalam parit selebar lapan kaki (2.5 meter) dengan kedalaman empat kaki (1.22 meter), manakala dasarnya selebar (1.83 meter) dengan kedua-dua hujung parit ditutup. 

Kaedah zero burning dapat mengurangkan kos racun serangga dan pembajaan secara kimia kerana bahan yang dilupuskan menjadi baja pokok di samping mendapat hasil tuaian yang tinggi. Di samping sisa pertanian, pengurusan sisa pepejal perlu diberi perhatian saksama.  Sisa pepejal meliputi sisa pepejal rumah tangga, komersial, komuniti, pembinaan, industri dan institusi sebagai contoh kawasan pembuangan Sungai Akar perlu mendapat suntikan baru melalui teknologi kitar semula agar tidak mencemarkan alam. Falsafah memulihara dan menyimpan hutan dalam erti kata membekukan kegiatan pemugaran, penggondolan  dan pembakaran hutan, serta aktiviti pembalakan untuk tujuan pembukaan kawasan baru sewaktu hutan masih ada demi menghadapi waktu sukar perlu menjadi pengajaran kepada kita. Kepulauan Borneo perlu sentiasa memiliki hutan simpan yang jauh mencukupi sebagai kawasan tadahan air, mengawal udara dan memastikan habitat flora dan fauna kekal terpelihara untuk ditatap oleh anak dan generasi masa depan. Setiap pembangunan mestilah memberi respon terhadap cabaran bagi perubahan cuaca dengan cara yang praktikal dan tidak menjejaskan ekonomi negara. Sesungguhnya langkah yang patut dan perlu diambil ialah menggubal undang-undang pembakaran dan pemugaran yang lebih tegas, pendidikan alam sekitar yang lebih komprehensif khusus kepada sektor yang berkait langsung dengan perubahan iklim, langkah pemantauan, sistem penyampaian yang berkesan dan pertukaran informasi ketiga-tiga negara untuk memastikan Heart of Borneo yang dipateri melalui Deklarasi Borneo baru-baru ini, berjejak di bumi dan bukan sekadar satu dambaan sejarah yang tinggal harapan dan janji.

Jumaat, 25 Januari 2013

SENJA MEMERAH DI PANTAI JIMBARAN, BALI


Pantai Jimbaran di laman Kafe Blue Marlin
Panorama Bali sukar ditafsir dengan sebaris ayat jika tidak melihat sendiri. Bali memang indah dan unik sebagai kota kebudayaan yang menerpa sesiapa saja sehingga membuat pengunjung ke Bali tak pernah mati. Selama lima tahun berturut-turut Pulau Bali mendapat penghargaan sebagai The Best Destination in the World daripada majalah pelancongan popular Amerika Syarikat. Aura Bali yang kaya dengan seni budaya dan spiritual yang tinggi menjadi produk magis yang membuatkan pengunjung merasa kagum. Meskipun berlaku dua tragedi serangan bom berani mati di dua buah pusat hiburan popular pelancong Barat, namun peristiwa hitam tersebut itu kini makin dilupakan. Pengunjung dari seantero dunia datang berpusu-pusu ke Bali sementelah pula beberapa usaha merancakkan industri pelancongan Bali giat dilaksanakan oleh pimpinan kerajaan provinsi Bali. Yang berkunjung ke Bali terdiri daripada pelbagai latar belakang dan ragam manusia. Mereka mungkin pelabur, kaki shopping, peminat sukan air, pencinta seni atau mereka yang dahagakan hiburan malam. Sebenarnya Bali menjanjikan banyak tempat menarik. Sebut saja Pantai Kuta, Sanur, Ubud, Uluwatu, Tanah Lot dan Bedugul, pengunjung tentu terpana dengan kanvas alam yang indah lagi menarik. Tempat tersebut menyajikan panorama alam yang berbeza.  Jika pengunjung punya masa terluang, mereka boleh menyaksikan serpihan pengkisahan Ramayana (The Story of Ramayana) seperti Tari Barong dan Kecak yang membentuk corak hidup dan kepercayaan penduduk Bali hari ini.

Satu lagi destinasi pelancongan pantai di Pulau Bali yang popular ialah Pantai Jimbaran. Pantai Jimbaran memang tak kalah banding. Pantai ini menyajikan sajian makanan laut berjajaran sejauh 700M. Pengunjung boleh memilih premis mana yang menyediakan makanan laut dengan harga yang berpatutan seperti Kafe Blue Marlin. Hamparan kerusi meja di pasir pantai bak tikar yang membentang bagi mengalu-alukan kedatangan pengunjung. Sebenarnya bukan saja makanan laut yang enak yang menarik pengunjung datang ke Pantai Jimbaran. Yang dinanti ialah panorama matahari terbenam (sunset). Senja kian memerah daripada refleks matahari mulai beransur perlahan dan terbenam umpama sebuah kanvas lukisan alam yang membentang saujana mata memandang. Panorama tersebut bertambah indah dan meriah dalam samar petang apabila nelayan tempatan mulai keluar melaut dengan perahu besar yang dinamakan sebagai Jukung. Muda-mudi bersama pelancong asing bertebaran mandi sambil suara bersahut-sahutan. Pengunjung pula mulai mengambil tempat bagi merakamkan suasana pantai yang memerah senja. Setelah penat merakam gambar, pengunjung boleh memanjakan lidah dengan menikmati makanan laut sambil melihat persembahan tarian di sebuah pentas khas dan persembahan pemuzik  yang datang dari satu meja ke satu meja yang lain bagi menghiburkan pengunjung. 

Khamis, 24 Januari 2013

MENCONTOHI INDONESIA DALAM MEMPERKASA BAHASA


Kebertanggungjawaban moral beberapa hotel berbintang di Indonesia dalam mensosiolisasikan bahasa Indonesia (BI) sungguh luar biasa. Bilik persidangan baik yang berskala kecil mahupun besar dinamai dengan nama yang berkaitan dengan sejarah dan kekayaan tradisi gemilang mereka. Malah ada yang mensinergikannya dengan ikon dan monumen penting peradaban pengaruh kerajaan Hindu-Buddha seperti candi. Ini belum termasuk nama yang berbaur romantisme lokal. Dalam hubungan ini, pembaca tentunya pernah mendengar nama organisasi seperti Gedung Dewan Perwakilan Rakyat (Gedung DPR), Markas Besar Polis Republik Indonesia (Mabes Polri) dan Balai Sarbini yang berada di jantung Plaza Semanggi, kota Jakarta. Demikian pula bangunan atau organisasi didahulukan dengan nama Gapura dan Graha. Yang menarik, tentunya nama Gedung dan Balai. Satu ketika Gedung ditanggapi sebagai tempat penyimpanan barang seperti sebuah gudang berskala besar layaknya, manakala Balai merujuk kepada ruang lapang berdinding sederhana besar tempat mengadakan mesyuarat dan sidang bagi majlis perundingan mukim dan kampung. Kelaziman lain penamaan Balai yang digunakan di negara ini ialah pos-pos cawangan polis di daerah-daerah. Moralnya, peluasan makna berlaku bukan sahaja berdasarkan kepragmatisan dan kepraktisan konsep kata itu, tetapi juga bergantung kepada konsep dan pengalaman dunia sesuatu bangsa seperti halnya pencitraan nama Gedung dan Balai dalam konteks Indonesia tadi.
Di Indonesia, soal penamaan tidak berhenti setakat Gedung dan Balai, tetapi juga menampilkan satu contoh klasik yang baik dalam memberikan nilai kepada medan makna bahasa. Contohnya bagaimana sebuah pusat membeli-belah yang menempatkan butik dan pelbagai produk Indonesia lain yang menampilkan pengenalan bangunannya dengan citra kedesaan dan nusantara seperti Mal Pondok Indah. Sebuah toko buku popular selain Gramedia, diberi nama berdasarkan nama gunung, iaitu Toko Gunung Agung (apakah nama ini diambil dari nama Gunung Agung, terletak beberapa kilometer dari Ubud, Bali, salah satu permukiman terkenal para seniman Ubud). Menanggapi penamaan Gunung Agung, ternyata penamaan ini bermaksud serampang, selain mengangkat kearifan lokal (local wisdom) bahkan penamaan itu tidak lepas daripada mensinergikan “Gunung Agung” dengan “buku” yang berkaitan dengan ilmu pengetahuan dan pembenahan prestasi.
Peranan hotel berbintang dalam konteks memperkasakan BI,  bukan sekadar memberikan penamaan, malah terdapat sektor lain yang turut mengemban bahasa. Ini dapat ditelusuri melalui tampilan seni seperti ukiran, lukisan dan binaan. Lihat sahaja di sesetengah dinding, arah laluan strategis, lobi  malah pada bahagian luar bangunan akan ada ukiran-ukiran, lukisan dan patung, satu kekayaan khas yang berkaitan dengan Javanese historical. Bahkan hiasan makan siang dan malam sering disertai dengan mini gerbang ukiran yang juga berkaitan dengan sejarah, paling tidak gerbang pura masyarakat Bali. Ternyata mereka mempunyai tradisi yang kuat untuk merakyatkan bahasa, sejarah, dan budaya, dan bagaimana semua perbezaan yang wujud daripada ras itu dapat menyatu dalam keanekaragaman yang tinggi. Apakah erti semua ini kepada bahasa. Tentu sekali kita mengenal itu bukan sekadar ukiran, lukisan dan sebuah patung yang kaku, tetapi juga kita mengenal dan menyebut mereka dengan nama sekali gus juga menggunakan bahasa. Kesannya, ia bukan sekadar nama tetapi juga ia satu percikan gema tentang keyakinan tinggi terhadap keupayaan bahasa. Citra lokal yang ditampilkan menyerlahkan kesan dan pesan tentang betapa pentingnya pembinaan dan pengembangan prestasi walau sekecil apapun akan tetap berperanan dalam memberi makna kepada kehidupan.
Sama ada pembaca atau masyarakat di negara ini melihat catatan ini sebagai sesuatu yang sesuai dibaca atau tidak, tetapi pemaparan ini bertujuan untuk kita menilai bagaimana sebuah pengetahuan dan upaya secara sedar dalam memartabatkan citra tempatan melalui penggunaan bahasa. Penamaan bukan sesuatu yang dipandang mudah kerana sebenarnya ia berkait rapat dengan pembinaan etos sosial politik sekali gus nilai ekonomi. Ia menerjemahkan bagaimana bahasa itu dapat bereksplorasi dan berestetika dalam menyesuaikan peribadinya dengan fragmen-fragmen kehidupan yang menonjol dan monumental dalam menyerlahkan citranya. Ada kesan seksis yang luar biasa, jika bahasa disenamakan dengan “tugu”. Rupa bentuk yang wujud secara kekal dan penampilan gah seperti bangunan, mercu tanda, termasuk hiasan dalaman ini akan memberikan dampak yang baik dan positif kepada pendaulatan bahasa dan bangsa. Kesan impresif yang dikembangkan daripada penamaan tersebut amat besar dan signifikan kepada pembinaan negara bangsa khususnya dari segi pencitraan kepada bangsa ini dan tanggapan orang asing kemudiannya. Pada akhirnya, penamaan berkenaan merupakan satu simbol kemenangan manusia dan bangsa dalam menyikapi kesan perubahan dan kekacauan yang melanda bahasa kini.
Sebenarnya, bahasa bukan sekadar komunikasi lisan dan tulisan tetapi juga sebuah perjalanan estetik yang serius, pertaruhan reputasi, kesempurnaan seni dan budaya, cita-cita, keazaman, penghormatan dan juga satu pembelaan kepada perlembagaan yang dibakukan.  Masing-masing kita perlu berjiwa besar dan memiliki naluri kepedulian yang tinggi lagi solid terhadap kekhasan yang kita miliki sejak dulu. Lalu mengapa tidak pemain industri perhotelan di negara ini mengangkat dan mengembangkan prestasi bahasa Melayu secara leluasa dalam setiap segi perkhidmatannya. Ayuh! kita lestarikannya.

Rabu, 9 Januari 2013

Cintailah Kerja Yang Anda Lakukan

Beberapa orang rakan dan teman yang berminat dan ingin belajar bagaimana menulis dengan baik. Hamba bukanlah penulis yang dapat menghasil sebuah tulisan yang baik. Yang merasa hasil penulisan baik adalah Hamba sendiri. Hamba memuji sendiri bak kata orang banyak, angkat bakul sendiri. Sebenarnya terasa berat menggerakkan pena jika kita tidak mempunyai cukup ilmu apatah lagi kemahiran dalam menuangkan sesuatu idea yang ingin kita wacanakan. Selain rencana umum, Hamba tidak pernah menghasilkan buku, paling sebuah latihan ilmiah yang sudi diterbitkan oleh jabatan. Meski ia diterbitkan sebagai sebuah buku, namun menulis sebuah karya yang bukan berdasarkan komitmen akademik adalah sesuatu hal yang berbeza. Hamba angkat tabik dan salut kepada mereka yang passion dan menekuni dengan baik bidang penulisan hingga mereka dapat menghasilkan buah tangan berupa sebuah karya dalam bentuk buku yang menggugah, berupaya memancing minat dan memberi manfaat kepada orang lain.

Hamba suka membaca dan hampir tidak pernah melepaskan sesaat yang sia-sia tanpa membaca. Hamba merasa hidup tidak akan lengkap tanpa membaca. Bila membaca luas, Hamba mendapat terobosan yang baik tentang hal-hal sosial, ekonomi dan politik yang disajikan dalam media massa. Ini belum termasuk kesukaan Hamba menonton rancangan yang berbentuk bual bicara dan berita. Dengan berbuat demikian, Hamba terdedah dan terbiasa dengan leksikon-leksikon baru, istilah baru termasuk memahami gaya bahasa kewartawanan. Ditambah lagi dengan kecenderungan Hamba mencatat dan merakam dalam minda apa sahaja yang dilihat, didengar dan dibaca yang boleh mendatangkan manfaat di kemudian hari. Lalu pertanyaannya sekarang bagaimana menghasilkan sebuah tulisan yang baik, baik dalam menggarap minit, surat, memorandum, proposal, kertas kerja mahupun mendraf teks ucapan untuk keperluan sesuatu majlis.

Nasihat Hamba, bacalah sekerap mungkin dan biasakan diri anda dengan bahan bacaan yang pelbagai. Ingat  membaca tidak pernah mati selagi ada hayat. Kuasai dan fahami perkara yang ingin anda lakukan. Jika perlu, buatlah penyelidikan tergantung kepada tipe komitmen dan arahan tugas yang diserahkan kepada anda. Lakukan sesuatu kerja itu dengan baik, sepenuh hati dan tuntas. Kerahkan segenap potensi yang anda miliki. Jangan melakukannya separuh-separuh. Lakukan dengan penuh rasa sukacita, kasih dan cinta. Hargailah proses. Mungkin adakalanya anda harus berkorban lebih banyak masa dan waktu kerana untuk menghasilkan sesuatu yang baik, anda memerlukan regim disiplin yang ketat sehingga adakalanya anda terlepas menikmati masa senggang bersama kawan-kawan. Prinsip mudahnya, bersiaplah untuk bekerja keras. Nikmati dan cintailah apa yang anda lakukan. Bekerjalah dengan sepenuh hati, sehingga karya yang bakal anda hasil merupakan buah cinta dari seluruh jiwa raga yang anda tumpahkan.

Semoga bermanfaat. 

Selasa, 8 Januari 2013

Menyusuri Pedalaman Belait

Berhenti rehat di Lamunin

Mengambil momentum sebelum bergerak
 Kawasan pedalaman Belait atau lebih dikenali hulu Belait merangkumi Melilas, Sukang dan Biadong masih kurang di kenali berbanding mukim Labi. Faktor ini disebabkan oleh topografi jalan yang menyukarkan kenderaan memasuki kampung berkenaan kecuali kereta pacuan 4 roda atau merentas melalui sungai. Mukim berkenaan terletak jauh ke dalam iaitu sekitar 57.3KM dari rumah panjang Biadong.

Bagi penduduk Melilas dan Sukang, mereka sudah biasa menggunakan pengangkutan air seperti perahu dari Sungai Mau untuk mendapatkan keperluan harian dan sebagainya. Sebenarnya, Melilas dan Sukang boleh dibangunkan projek homestay (inap desa). Dengan keramahan penduduk rumah panjang di kededua kampung berkenaan, tetamu luar yang datang sudah pasti tidak berasa asing untuk datang bertamu atau bermalam di sana. Penghuni rumah panjang kelihatannya sudah biasa menerima tetamu tanpa temu janji dan waktu. 

Pengunjung luar yang datang dan bermalam di kededua kampung berkenaan boleh mendirikan khemah atau mereka dialu-alukan menginap di balai raya yang terletak berhampiran dengan rumah panjang. Bagi mereka yang menginap di Balai Raya, kemudahan asas disediakan seperti air dan elektrik yang dijana melalui generator. 
Ada sesuatu yang menarik perhatian

Gerbang masuk ke Rumah Panjang Melilas
 Selain melihat secara dekat kehidupan masyarakat Iban dan Penan di rumah panjang ini, kunjungan ke hutan lipur di pinggir sungai dan di tepi rumah panjang Melilas juga memberi kesempatan untuk mengenali lebih dekat pokok hutan dan pelbagai tumbuhan lain yang sering digunakan sebagai bahan atau ramuan perubatan tradisional seperti akar lingkawang, pokok duit-duit, orkid hutan, kulit kayu timbaran atau merangking yang dijadikan sebagai ubat nyamuk.
Bersiap memasak di Balai Raya

Kebanyakan penghuni rumah panjang ini mengamalkan jenis ekonomi sara diri seperti mengutip hasil hutan,sungai dan menganyam. Barang buatan tangan dan juga peralatan budaya telah sedia dipamerkan. Antara barang buatan tangan yang dipamerkan ialah tudung saji, peralatan menampi, tikar kecil yang semua diperbuat daripada buluh, rotan, kayu dan besi seperti bubu, tekiding, nyiru, gong dll. 

Jika anda rajin meninjau di bentang hutan dan kawasan sekitarnya, anda akan terjumpa etnik Penan mengetam padi pusu (jenis padi paya), dan etnik Iban mengambil umbut Luba untuk dijadikan sayur. Jika bernasib baik lagi, anda mungkin menemukan mereka sedang membawa pulang hasil jerat seperti kancil dan payau (rusa).

Pemilik pacuan 4 roda yang ingin cabaran dan kelainan, anda digalakkan untuk menggunakan laluan darat secara berkonvoi dan dinasihat bergerak pada waktu siang sebaik-baiknya sebelum pukul 2.00 petang dan sampai di Melilas atau Sukang sebelum hari menjengah malam. Ini mengelakkan sebarang kemungkinan kerosakan kenderaan, keadaan jalan yang licin dan berlopak jika musim hujan, hakisan tebing dan mengakibat ruas jalan menjadi kecil dan boleh mengundang bahaya dan kesukaran jarak penglihatan pada waktu malam kerana laluan ini sama sekali tidak kemudahan lampu. Barang yang perlu dibawa antaranya makanan segera seperti beras, Indomie, popmie, bakebean, makanan dalam tin dan air mineral. Jangan lupa membawa cerek elektrik dan periuk untuk menjerang nasi.
Cabaran yang dilalui sepanjang ke Melilas
 Seperkara lagi, anda perlu membawa baju sejuk kerana hutan alami di Melilas dan Sukang ini menjanjikan angin malam yang menggigit sampai daging dan tulang. Adakala sejuk tidur dengan hanya berlapis cadar atau sleeping bag jika anda memilih untuk menginap di balai raya yang terbuka. Yang mesti dibawa selain daripada yang disebutkan di atas ialah spray pelindung kulit daripada gigitan nyamuk. Di malam yang sepi, bunyi terbang nyamuk seperti pesawat F16 yang terbang keliling untuk mencari target.

Pada saat anda memasak di balai raya pada malam hari, liarkan sedikit mata memperhatikan di sekeliling lantai dan tiang balai raya. Jangan takut tiada apa-apa sebenarnya. Anda akan menemukan serangga-serangga bersayap yang keluar, merayap dan sesekali terbang melekat ke dinding. Ia bukan serangga yang anda pernah temukan di kampung dan di bandar.
Berlatarbelakang Sungai Melilas

Tampoi Belimbing
 Tampilan rona-rona warna serangganya unik dan hanya dapat dilihat di kampung ini atau juga mungkin di kawasan pedalaman lain. Anda patut mencuba merasai perjalanan yang mencabar ini kerana ia menjanjikan pengalaman indah bagaimana memahami lintas budaya, pengalaman dunia dan pengalaman hidup masyarakat yang berbeza seperti apa yang kita lalui di bandar. Mereka adalah masyarakat yang rajin, pekerja keras dan menjadi hutan dan sungai sebagai sahabat yang saling membantu dan menyumbang. Maksudnya, pada ketika anda memerlukan hasil untuk dimakan datanglah ke 'perut' kami. Kami akan memberikan kerana inilah anugerah terbesar ciptaan Tuhan Maha Kuasa di muka bumi. Namun ketika anda seronok menikmati apa yang anda, janganlah anda mencedera dan melukai kami sehingga ia bakal mendatang musibah kepada anda. Ketika kami dipelihara dan dijaga baik, kami bukan sahaja menjanjikan hasil yang baik bahkan alam yang indah dan damai untuk anda nikmati.

Jika ada kesempatan dan waktu, jangan lupa mengembara dan meneroka alam nun di kejauhan tempat kediaman yang keselesaan kita sehari-hari. 
Pemandangan pagi di Balai Raya

Penerokaan ke kawasan pedalaman selain mengenal cara hidup masyarakat, ia juga memberikan kesan dan pesan yang lebih makna bagaimana kita mensyukuri nikmat terbesar anugerah terbesar Allah swt di muka bumi ini. 
Selamat membaca semoga bermanfaat.

Sebening Pagi di Banjarmasin

Barang dagangan mulai di bawah ke tengah Sungai Barito

Suasana Pasar Terapung
 Terdapat beberapa etnik atau suku bangsa yang menghuni di Banjarmasin. Etnik Dayak misalnya  terdiri daripada beberapa suku seperti Berangas, Bakumpai, Ma'ayan (Ngaju), Abal, Dusun Daeh, Lawangan, Dayak Meratus. Etnik ini adalah kumpulan penduduk majoriti. Dengan kata lain, etnik Dayak adalah antara penduduk asli Kalimantan. 
Jualan tambak

Sebahagian dari suku Dayak ini mendiami kawasan bukit dan masih lagi mengamalkan jenis pertanian pindah. Namun begitu, atas faktor kelangsungan hidup, pembaharuan dan kesedaran hasil daripada pendidikan yang diperoleh, etnik Dayak berupaya menyesuaikan diri mereka dalam beberapa cabang ekonomi yang menguntungkan seperti perniagaan makanan dan peruncitan. Fenomena ini boleh disaksikan dibeberapa buah pekan kecil seperti di Sandai, Teraju, Semadang malahan juga di kota madya seperti Pontianak dan Palangkaraya. 
Pekarangan masuk ke Pasar Terapung

Pelbagai barang dijual
 Di Kalimantan bahasa Melayu mempunyai beberapa varian. Setiap varian mewakili kawasan-kawasan penutur tertentu dan dikodkan dengan nama kawasan berkenaan misalnya bahasa Melayu Banjar, bahasa Melayu Berau dan bahasa Melayu Kutai. 
Ibu pedagang mulai merapat ke turis yang ingin membeli

Penulis di hadapan Muzium Lambung Mangkurat
Yang ingin saya fokuskan di sini ialah kisah sebuah sungai yang memainkan peranan penting sebagai bahagian dari nadi ekonomi konvensional di Banjarmasin. Sungai yang popular dalam destinasi pariwisata  dan yang memainkan peranan penting itu ialah Sungai Barito yang menjadi tempat popular bagi kegiatan pasar terapung, sebagai jalan penghubung, dan juga sebagai tempat kediaman. Sungai Barito mengalir dari Banjarmasin menuju ke Marabahan. Di Marabahan, Sungai Barito terpisah menjadi Sungai Nagara yang mengalir menuju ke Amuntai. Aktiviti Pasar Terapung di Sungai Barito ini bermula pada pukul 5.30 pagi dan berakhir pada pukul 8.00 pagi. Transaksi Pasar Terapung dilakukan di sebuah kawasan khas Sungai Barito sekitar 2KM dari jeti utama yang biasa digunakan oleh para pelancong. Para pelancong yang berhajat ke Pasar Terapung ini boleh menaiki teksi dengan bayaran Rp20000 (caj semasa saya ke tempat ini pada bulan Jun 2006). Mereka akan dibawa melalui kelurahan Kuin yang terletak di Jalan Alalak Selatan tidak jauh daripada Kota Banjarmasin.

Antara hasil pertanian yang diniagakan ialah sayur-sayuran, buah jeruk (limau madu) dan hasil lain seperti nenas dan jagung. Manakala hasil laut dan sungai yang dijual antaranya ialah ikan-ikan air tawar seperti tapah, senangin, dan ikan-ikan kecil. Pemasaran atau jual hasil dilakukan sama ada secara langsung  ataupun melalui sistem pertukaran barang (barter trade - antara peniaga dengan peniaga). Bagi pemasaran langsung, kebanyakan pembelinya adalah penduduk sekitar, peraih, pelancong yang datang menggunakan perahu yang disebut glotok. Bagi pembeli yang membeli hasil hasil keperluan yang bukan dalam bentuk ikatan seperti ikan dan buah-buahan, terdapat alat timbangan khas iaitu sejenis dacing duduk yang diperbuat daripada besi yang dipaterikan secara tetap di dalam Jukung. Kepada mereka yang merasa dahaga atau lapar, tidak perlu bimbang. Terdapat Jukung (nama sejenis perahu yang bersaiz besar sedikit daripada glotok) menjual makanan seperti Soto Banjar. 

Sebenarnya, Banjarmasin bukan setakat Pasar Terapung, masih ada objek pariwisata lain yang tidak kurang popular seperti toko batu permata yang terletak di Martapura, pusat membeli belah, pusat jualan barang hiking, muzium dan lain-lain. 

Hotel penginapan juga banyak di Banjarmasin yang menawarkan harga yang berpatutan termasuk pakej pariwisata yang ditawarkan. Banjarmasin selamat bagi pelancong luar dan kebanyakan orang Banjar boleh berbahasa Melayu sama seperti bahasa Melayu Brunei khususnya dalam beberapa leksikon tertentu.

Tempat tukaran asing tidak banyak bertebaran di kios-kios kecil kecuali di mall. Namun jika anda datang dalam rombongan yang ramai, khidmat tukaran asing akan datang ke tempat hotel anda menginap seperti pengalaman yang kami lalui sewaktu menginap di Hotel Arum Kalimantan. Kadar tukaran sama seperti forex yang ada di kios-kios malahan kadarnya lebih tinggi jika anda menukar dengan jumlah yang banyak.

Koleksi Gambar Jejak Kesultanan di Borneo

Kereta Seong, anggota Pacuan 4R Brunei

Tarian Topeng Kemidu di Kedaton Kutai

Cabaran laluan menuju Berau, Kalimantan Timur

Rumah Bupati Berau

Tarian Zapin di Pendopo Berau

Menunggu untuk menikmati jamuan

Inilah Raja Berau

Istana Berau

Pelataran Istana Berau

Gah pemandangan luar Kedaton Kutaikartanegara

Gambar ramai di pelataran Kedaton Kutaikartanegara


Rehat petang di pesisir Sungai Mahakam

Rumah patinggi di Samarinda

Kumala Naga nun di seberang Sungai Mahakam

Bersama informan di jajaran Istana Mempawah

Jambatan Kutaikertanegara yang roboh tahun 2012


Tugu Khatulistiwa di Pontianak
Tugu Khatulistiwa



Rumah digenangi banjir di Ketapang


Keraton Panembahan Matan

Kalau nak tau inilah kayu berlian..berat oooo

Perbatasan Indonesia-Malaysia di Nunukan, Kalimantan Timur

Menyeberang untuk ke Tawau

Rose Garden di Kinabalu

Pasar Terapung di Sungai Barito, Banjarmasin


Bersama ibu pedagang buah di Martapura, Banjarmasin


Merentas bonda dalam perjalanan ke Kalimantan Tengah


Antara cabaran yang ditempuh

Pusing keliling di Palangkaraya, Kalimantan Tengah


Bersama bapak polisi di Pos Kawalan Entikong

Pekarangan Istana Sambas

Di atas bukit di Sukadana

Laluan masuk menuju Makam Ratu Air Mala

Temu bual bahasa bersama keluarga nelayan di Sukadana

Suasana pagi di rumah persinggahan tepian Pantai Sukadana


Sebahagian kawasan kampung yang kami lalui

Pemandangan yang cantik sekali

Laluan menuju ke Berau

Orang Melayu Berau
Kawasan kediaman pinggiran sungai di Pontianak


COVID-19 - Dunia Ini Rapuh dan Tidak Berdaya, Pelajaran Buat Kita

Tidak siapa menduga COVID-19 yang bermula di Wuhan, China merebak ke seluruh dunia. Masyarakat dibuat terpinga-pinga dan panik. Kita dibias...