Sabtu, 23 Mei 2015

Kejayaan Lion XII Menjuarai Piala FA dan Meritokrasi

Semalam Sabtu, 23 Mei 2015 saya meluang masa menonton final Piala FA antara Kelantan vs Lions XII live di TV1. Kelantan diramalkan bakal juara oleh penganalisis bola sepak Malaysia dengan rata-rata meramalkan kemenangan tipis 2 1 atau paling 3 0. Final ini merupakan penampilan pertama Lions XII dan dianggap sebagai pasukan underdog kerana dibarisi pemain muda bawah 25 tahun, tidak bermain di laman sendiri dan bermain di hadapan penyokong tegar Kelantan yang mendominasi Stadium Bukit Jalil. Pandangan yang dizahirkan berikutnya ini tidak pula bererti saya memperkecil semangat anak Kelantan yang terkenal dengan persatuan yang kuat meskipun terpencar kemana-mana bahagian dalam wilayah Malaysia. Dan kerana persatuan yang teguh itu, mereka beramai-ramai memerah dan menggegarkan perlawanan akhir berkenaan.

Baik, tinggalkan dulu tentang pertandingan tersebut yang keputusannya sudah diketahui. Saya ingin merayau sedikit tentang sikap dan cara masyarakat Singapura berhadapan dengan sesuatu perkara baik kecil mahupun besar. Saya tertarik mengikuti perkembangan negara berkenaan sejak awal tahun 90-an ketika begitu banyak isu seksis yang awalnya dilihat sangat tidak popular antaranya penerapan meritokrasi dan pengambilan tanah untuk pembangunan semula. Penerapan meritokrasi pada awalnya dijangkakan akan menenggelamkan masyarakat Melayu Singapura kerana tipikal bangsa ini yang dibayangi oleh ketidakmampuan untuk bersaing dengan bangsa-bangsa lain.  Namun harus diingat bahawa tiada satu inisiatif besar dapat dianggap sebagai ideal dalam semalaman. Ia tidak semudah membalikkan telapak tangan kerana ia memerlukan masa bertahun untuk menilai sesuatu langkah itu berhasil. Sebuah langkah besar tentunya memerlukan proses panjang. Maka seluruh sistem Singapura digerakkan untuk menjayakan meritokrasi, Meritokrasi menanamkan nilai bahawa hanya mereka yang rajin berusaha dan bekerja keras akan mampu menakat. Masyarakat yang terbentuk melalui proses meritokrasi akan membuatkan mereka bernilai, dibuang ke laut pun akan menjadi pulau begitulah pujangga berkata. Apakah berusaha dan bekerja keras cukup? Dalam meritokrasi, berusaha dan bekerja keras sudah tentu tidak memadai tanpa disertai dengan disiplin, cerdas, kreatif dan pragmatis. Inilah nilai yang menurut saya perlu ada bagi membolehkan anda terus relevan dan pragmatis untuk menyesuaikan diri dengan perubahan zaman. 

Singapura telah membuktikan kepada dunia bahawa setitik pulau di benua ini dapat memberi pengaruh besar kepada kerantauan dan hubungan antarabangsa. Dasar meritokrasi mereka telah membolehkan rupa darat Singapura menjadi tempat untuk semua sendi-sendi kehidupan. Dari pendidikan, pembangunan kota, taman dalam bandar, pelancongan, rawatan kesihatan, penyelidikan dan pembangunan, transportasi dan hub pengangkutan udara, pengurusan pintar, limbungan perkapalan dan malah sumber manusia kolar putih yang bernilai kerana keupayaan mereka memaksimumkan kepintaran otak kiri dan otak kanan untuk menakat.

Nah, apakah kaitannya dengan kejayaan Lion XII dalam Piala FA semalam dengan meritokrasi. Anda tidak bisa mengatakan bahawa meritokrasi tiada kaitannya dengan kejayaan tersebut. Saya katakan ia kerana hanya mereka yang memiliki disiplin yang tinggilah yang berjaya menuai kejayaan selain daripada kecerdasan, kreatif dan pragmatis dalam menyesuaikan diri untuk merespons keadaan. Pokoknya perlu ada mental waja dik. Mereka tidak memiliki pemain import tapi mereka memiliki pemain muda yang mencintai prestasi dan bergerak sebagai satu tim penuh taktis, kreatif dan pragmatis. Mereka saling membantu menutup lompong agar tidak ada ruang dapat ditembusi oleh lawannya. Yang nampak semalam, kemenangan Singapura adalah speed..speed..speed. Taktis ditopang dengan tenaga serta speed yang mumpuni mampu menggegarkan jaring lawan. Hanya mereka yang berdisiplin tinggi hasil daripada keterbiasaan dengan sistem yang "kasar" dan genius itulah yang mampu menakat dan meraih sukses. Lebih manis kejayaan tersebut adalah sebuah reflektif Made in Singapura atau Singapore Brand kerana seluruh rangkaian Lion XII adalah adalah warga Singapura.

Singapura memang memiliki dasar, sistem dan prasarana untuk mencipta kesuksesan dalam semua hal sejak lama dan ia menuaikan kejayaannya kini. Malam gemilang Lion XII adalah juga malam gemilang bagi sistem dan cara hidup yang keras dan dasar yang sangat mendidik itu dalam seluruh sendi-sendi kehidupan yang dirintis oleh The Singapore Founding Father, Lee Kuan Yew, bapa perintis yang memiliki wawasan jauh dan genius dalam mencorakkan mental dan fizikal nation state Singapura. State of art Singapura bukan sekadar kisah bandar yang hidup, segar dan bertenaga, ia juga memerikan sebuah masyarakat yang memiliki keazaman dan mentaliti kelas pertama untuk Singapura Maju.

Meritokrasi yang melahirkan masyarakat mentaliti kelas pertama ini tentunya akan membuat Singapura dicemburui oleh sekitarnya dan membuka mata banyak dunia bahawa yang terpenting untuk menakat dan berdaya tahan itu adalah melahirkan manusia sebagai aset yang bernilai melalui dasar, sistem pendidikan dan cara hidup yang bernilai. Kini nampaknya torehan kejayaan itu menjadi sebuah siklus besar yang akan merebak kemana-mana sektor jika negara lain tidak memiliki sikap daya saing yang tinggi untuk berhadapan dengan Singapura jaya.

Akhirnya, tahniah Lion XII kerana telah menoreh sejarah hasil daripada disiplin, kerja keras dan minda yang telah terdidik untuk maju dan jaya melalui meritokrasi.

Instrumen Muzik Tradisional Vietnam

Hal terbaik meredam waktu ialah menulis. Bisa!!! Menulis adalah sebuah seni indah. Kita mengatur huruf menjadi sebuah kata. Dari kata menjadi barisan ayat yang mempunyai makna dan kita boleh menyampai mesej kepada pembaca...kiki. Macam dalam kelas bahasa la pulak. Ni tentu kes boring tahan gaban. 

Baik, entri kali ni aku nak kongsi tentang seni muzik di Hanoi, Vietnam. Vietnam antara negara yang menghargai dan mengetengahkan kearifan lokal masyarakat terutama instrumen muzik konvensional yang berasaskan bamboo. Sayangnya aku tidak mengambil peluang mendekati pemuzik ini untuk bertanya apakah istilah penamaan instrumen muzik berkenaan semasa sesi jamuan malam delegasi ASED UNGEGN baru-baru ini. Antara instrumen muzik yang berasaskan bamboo tersebut ialah bamboo yang disusun dari kecil dan besar yang diikat seperti rakit layaknya. Cara mainnya ialah dengan menepuk dua tangan anda. Cara tepuk tersebut ialah dengan merapatkan jari setiap tangan seolah-olah seperti mengepung angin sehingga apabila tepukan tersebut dihalakan kepada bamboo yang disusun tadi akan dapat menerbitkan bunyi.

Di samping itu, terdapat instrumen muzik bamboo yang bentuk layak seperti meriam buluh yang dimaikan oleh anak-anak kampung dulu-dulu bila tiba malam tujuh likur tapi tidak bagi orang Viet. Nampaknya mereka memiliki pengalaman dunia yang cerdas bagaimana memaksimumkan bahan alam untuk hiburan. Tak percaya, tontonlah video berikut:



Seruling juga menjanjikan persembahan yang memikat dan asyik buat meredam resah dan bingung di hati. Manakan tidak, seruling bernuansa merdu dan ada ketikanya dikaitkan dengan pujangga yang sedang membuai lara untuk menjemput ilham dan mereka yang sedang lara nestapanya.


Terdapat juga instrumen seperti erhu seperti layaknya sebuah gitar tradisi yang sesuai dimainkan oleh gadis cantik Vietnam sehingga menambah serinya pada bunyi dan lagunya.  Erhu adalah muzik gesek tradisional China yang dikatakan muncul pada abad ke-7 - ke-10 semasa Dinasti Tang. Erhu yang dimainkan dalam video yang dipaparkan berikut telah diubah suai dan berbentuk empat segi.


Instrumen muzik tradisi Vietnam sebenarnya tidak jauh berbeza dengan instrumen muzik negara serumpun dan negara Asia yang kaya dan alami ini. Tidak kira dari mana ia datang dan bagaimana instrumen itu dibuat, pada ketika instrumen itu sudah bisa membunyi tujuh notasi asas muzik do-re-mi-pa-so-la-ti-do, maka secara automatis instrumen berkenaan sudah bisa memainkan semua jenis lagu.








Selasa, 19 Mei 2015

Kepentingan Nama Geografi Bagi Pembangunan Bangsa dan Peradaban

Menghadiri The 3rd Divisional Meeting of The United Nations Group of Experts on Geographical Names Asia South - East (ASE) Division di Hotel Melia, Hanoi pada 13 - 15 Mei 2015 membuat aku memperoleh pengetahuan baru tentang betapa pentingnya setiap negara memiliki autoriti atau organisasi tertentu menyediakan sebuah pangkalan data nama geografi dan manfaat nama geografi dalam pemasaran produk sekaligus menjadi jenama dagang bagi negara berkenaan. Dalam hubungan ini, pemakalah Vietnam telah mempresentasi dan mengongsikan pengalaman mereka mengenai kepentingan penamaan produk yang dikaitkan dengan unsur-unsur tempatan.

Perlu diingat nama-nama geografi bukan sekadar tanda dan lambang tetapi juga sebagai kata kunci bagi anda mengenal legenda dan historikal sesuatu negara kerana nama geografi sebenarnya mengekspresi dan memperlihatkan ciri yang identik dengan unsur kepemilikan. Contohnya nama geografikal yang bermula dengan elemen "Nam" yang bermaksud air seperti Nam Rom, Nam Tha, Nam Nhum yang membolehkan masyarakat di Vietnam mengenal penamaan itu sebagai rujukan bagi wilayah di Northwest Vietnam, manakala nama geografikal yang bermula dengan "Dak" (yang juga merujuk air) seperti Dak Lak, Dak Nong, Dak Tuar yang merujuk nama yang berasal dari Central Highlands (Le Minh Tam, Ma - Pakar Kartografi daripada Vietnam Association on Geodesy - Cartography - Remote Sensing).

Nama-nama geografi memiliki nilai artistik dan merupakan satu pendekatan bagi mempromosi kepada orang luar untuk mempelajari dan memahami bahasa. Di Brunei, kita patut berbangga apabila terdapat pihak yang prihatin yang masih kental memelihara bahasa dan tradisi mereka seperti penamaan Bintudoh Greenspring Resort (inap desa). Begitu juga nama tempat sama ada yang baru atau yang sudah wujud sejak zaman bahari lagi yang juga memperlihat nilai-nilai tempatan Brunei yang identik. Kita kenal dan tahu nama seperti Tatangan Tutong, Belalong, Batu Apoi, Puni, Bangar, Nagalang, Burong Pingai, Lupak Luas, Lumapas, Junjongan dan Lela Menchanai. Penamaan jalan dan sungai juga tidak kurang pentingnya dalam mempromosi nilai nasional seperti Jalan Tutong, Jalan Mumong, Jalan Singa Menteri, Jalan Pehin Penyurat, Sungai Siamas dan Sungai Tungkadeh. Demikian pula penamaan agensi semikerajaan seperti Semaun Holding, dan penamaan resto makanan seperti Restoran Tindulang.

Menjengah ke aspek lain tentang penamaan, kita memiliki kearifan lokal yang diketengahkan melalui kain tenunan. Motif bunga pada kain tenunan dikenali dengan bermacam nama antaranya sukmaindera, bunga batabur, arap gagati, silubang bangsi, dan air muleh.

Vietnam dan Indonesia antara dua negara UNGEGN yang superb dalam mempromosi identiti mereka bahkan tidak ragu-ragu menggunakan nilai tempatan sebagai nama dagang dalam setiap karya mereka sehingga menjadi mahakarya besar yang bermanfaat dalam mengharumkan nama negara berkenaan. Bak kata mantan Perdana Italia Silvio Berlusconi, "Italia identik dengan mafia, piza dan Milan. Dan brand Milan sangat kuat di negara Timur seperti Asia sehingga kelab AC Milan mempunyai 350 juta pendukung di seluruh dunia". Dan salah satu penyokong kuat kelab AC Milan ialah Presiden China, Xi Jinping. Ini bermakna nama geografi seperti Milan yang gah dan popular itu menjadi brand antarabangsa yang terkenal dan tentunya menguntungkan Italia.

Nah, ketika anda mengenal Djarum, Sempoerna, pasar properti seperti Ciputra dan Agung Podomoro, rangkaian perhotelan Santika, Inna Garuda dan Sahid Jaya, produk makanan dan kuliner seperti Indomee, Bakso, Ayam Penyet, Gado-gado, dan Pecelele, dalam kepala kita tentu sudah terakam bahawa itu produsennya Indonesia. Dan itu Made in Indonesia. Jadi jangan pernah memandang enteng dan mengatakan "apa ada pada nama" tetapi "nama akan jadi ada apanya" setelah kita menjadi bangsa yang bangga dengan apa yang kita miliki dan berjuang mengetengahkannya seperti yang dilakukan oleh Indonesia dan Vietnam. Memilih dan menamakan produk kita dengan ciri-ciri tempatan bermakna kita menjadi bahagian yang membantu mengembang dan mengangkat peradaban bangsa dan watan tempat kita dilahirkan. Namun dalam produk makanan atau komoditi lain yang didagangkan, nama-nama yang dihubungkan dengan nilai setempat perlu dipatenkan bagi menghindarkan ia dieksploitasi oleh negara lain untuk keuntungan.

Apakah menamakan produk dengan salah satu nama geografi sudah cukup? Hakikatnya, perlu ada kekuatan menyeluruh merangkumi semua sendi-sendi kehidupan yang berkepentingan untuk menyokong usaha ini. Misalnya produk yang dihasil perlu berkualiti dan tidak kalah bersaing dengan produk yang sama keluaran negara lain, memiliki pemasaran dan pengiklanan yang kuat, memiliki pelanggan dalam negeri yang setia yang membantu mendukung dan mempromosi produk secara tidak langsung dan nama negara itu sendiri memiliki jenama dan nilai yang kuat seperti Singapura sehingga apabila disebut orang, sudah terakam bahawa negara berkenaan memiliki semua kualiti yang diperlukan untuk diajak berbisnes. Ini bermakna penamaan geografi terhadap sesuatu itu harus disertai dengan upaya dan kerja keras seluruh institusi untuk memperoleh hasilnya kemudian termasuk kecintaan masyarakat negara ini terhadap produknya sendiri. Kita tidak boleh berharap banyak orang dari negara lain mencintai produk kita tanpa kita berusaha untuk mencintai dan menggunakan produk yang negara ini hasilkan. Sikap kita dan cara kita menghargai apa yang kita hasil akan mengundangkan orang luar menyukainya. Dan ini tentunya memberi kelebihan nilai dan prestasi pada apa yang telah kita bangunkan bersama meskipun sekadar pengguna, dan ia tentunya memberi petunjuk jelas bahawa jenama dagang yang dihubungkan dengan salah satu nama geografi negara menjadi mangkin kepada pemerkasaan peradaban, setidaknya Made in Brunei memperoleh matlamat ganda iaitu pasaran dan peradaban yang dibangunkan oleh local genius kita.

Lalu, tidakkah kita mahu menamakan produk kita dengan nama-nama yang memiliki esensi dan estetika tempatan? Atau mensinonim produk kita dengan salah satu nama geografi yang ada di negara kita dan bekerja keras untuk mengangkatnya? Jika tidak kita, siapa lagi.


Isnin, 18 Mei 2015

Kenali Masyarakat Vietnam di Hanoi

Usah gentar berjalan malam di pinggiran kedai dan di lorong yang sibuk di Hanoi. Bukan bererti anda tidak perlu waspada. Waspada boleh saja tapi jangan dibuat takut atau ketakutan lebih dominan daripada perasaan berani dalam diri anda ketika berada di Hanoi. Orang Vietnam di Hanoi adalah mereka yang sibuk dengan hal sendiri terutama dalam menggeluti usaha bisnes, makan, jalan kaki atau berspeda. Mereka tidak pernah menganggu, mengusik apalagi memandang orang baru lama-lama seperti ingin melahap sahaja. Mereka hanya tersenyum jika kita menyapa hai dan senang diajak berfoto ketika mereka menikmati makanan bawaan penjaja atau menikmati makanan di resto pinggir jalan sambil nongkrong bersama teman-teman. Anda bisa lewat dan tersenyum manis dengan mereka kerana gaya makan di pinggiran jalan dengan kerusi dan meja yang rendah itu tentu sebuah atmosfera baru yang berbeza dengan gaya makan ditempat kita.

Generasi muda Viet yang kemas dan moderat seperti karyawan barisan hadapan iaitu mereka yang bekerja dalam industri perhotelan, bandara, perbankan, peruncitan, pelancongan, penjual sim card dan di kios tukaran wang asing serta crew penghidang makanan boleh berbahasa Inggeris dengan baik. Sesekali terdapat juga karyawan berkenaan yang tidak boleh berbahasa Inggeris dengan baik tetapi tidak pernah berhenti untuk berusaha tanpa sedikit anda terdengar mereka menyelitkan bahasa Vietnam. Mereka sangat bangga dengan diri mereka kerana kelemahan yang ada perlu ditingkatkan dengan keberanian, kesungguhan dan kerja keras. Bukankah bijak pandai mengatakan "harus ada keyakinan, kemahuan, kerja keras dan pengorbanan yang akhirnya akan membuat semua mimpi kita menjadi nyata". Itulah sekilas karakter masyarakat Viet yang kelihatan. Tidak ada gaduh-gaduh kerana masing-masing perlu bekerja keras dengan baik dan jujur untuk mendapat porsi rezeki masing-masing.

Mereka sangat memelihara tradisi dalam berpenampilan terutama perempuan Vietnam. Perempuan Vietnam seboleh mungkin memakai pakaian Ao Dai iaitu baju dari fabrik sutera berlengan panjang ke bawah lepas hingga paras lutut dan dibelah sisi kiri dan kanan hingga ke paras pinggang dan berseluar putih. Pakaian ini tentunya ringan yang membolehkan pemakainya bergerak lancar dan cepat. Perempuan Vietnam memiliki rupa dan berkulit putih kuning.

Rata-rata masyarakat Viet baik lelaki dan perempuan tidak obes dan berpinggang ramping atau slim, baik orang tua mahupun anak-anak mereka. Generasi muda Viet yang tampil ramping ini membuktikan bahawa Vietnam yang terbuka kini memerlukan generasi yang proaktif dan bertenaga untuk bekerja dengan kecepatan tinggi dan efektif bagi menerima kemasukan pelaburan dan pelancong luar.

Ahad, 17 Mei 2015

Denyut Indah Ha Long Bay, Hanoi, Vietnam

Wisata terindah dan menjadi kenangan abadi itu bukan ada di mall besar atau di resto. Ia ada di wisata bahari yang berasaskan pada alam, maritim, sejarah, budaya, landmark atau mercu tanda. Wisata berpetualang melalui 4WD atau mendaki gunung juga tidak kurang sensasinya dalam memercikkan sebuah pengalaman indah kepada penikmatnya. Nah, entri kali ini bercerita tentang wisata alam bahari iaitu kunjunganku bersama delegasi UNGEGN ke Ha Long Bay yang terkenal ke mancanegara itu. Hari itu Jumaat, 14 Mei 2015, aku dan anggota delegasi UNGEGN telah dijanjikan oleh penganjur untuk dibawa melawat ke destinasi berkenaan melalui travel agen Hoabinhtourist and Convention. Kami dimestikan berada di lobi Hotel Melia tepat jam 8 pagi kerana perjalanan mengambil masa seharian iaitu tiga jam perjalanan dari Hanoi ke Ha Long Bay, empat jam menaiki bot pesiar untuk berkeliling dan tiga atau empat jam berikutnya kembali ke hotel.

Perjalanan menuju ke Ha Long Bay itu makin terasa sensasinya apabila tour guide menyampaikan dalam 30 minit rombongan kami tiba ke destinasi berkenaan. Mengapa terasa sensasi? Ini kerana semakin banyak ketumbukan bas pelancong sama ada bersaiz 22 mahupun 45 kapasiti duduk menghala ke Ha Long Bay. Turis teramai ialah turis mat salleh, Jepang dan China. Banjaran yang berjejeran mulai kelihatan sebagai tanda Ha Long Bay sudah mulai menggamit kerana objek wisata ini ada selepas banjaran yang menutupi pemandangannya dari jauh.

Ketika tiba di pit stop, ramai turis asing mulai mundar mandir bersama agen tour guide masing-masing sebelum menaiki bot pesiar. Memang banyak bot pesiar yang sedia memenuhi keperluan pesiaran jelajah anda. Kami menaiki bot pesiar Hoabinhrourist.



Bos pesiar tersebut memiliki empat meja dalam baris sehala memanjang sebelah kiri, empat sebelah kanan yang boleh memuatkan empat ke enam orang untuk sebuah meja. Sambil bot pesiar bergerak, sajian dihidangkan tertakluk kepada pakej yang anda beli. Untungnya, delegasi UNGEGN telah diuruskan semuanya oleh penganjur yakni Vietnam sebagai tuan rumah sidang dan mesyuarat. Kami tinggal duduk aman untuk menyerap dan menikmati pemandangan indah yang terhampar di sepanjang pelayaran.

Tour guide menerangkan bahawa Ha Long Bay merupakan sebuah teluk di teluk Tonkin dengan tempatnya dekat dengan perbatasan negara China kerana Hanoi adalah wilayah utara Vietnam. Ha Long Bay memiliki keluasan sekitar 4000 KM persegi mengandungi 3000 pulau dan teluk ini terletak sekitar 165 KM dari Kota Hanoi. Dalam bahasa Vietnam, Ha Long Bay juga disebut Vinh Ha Long yang bererti Teluk Naga yang sedang turun. Pemberian nama tersebut tidak terlepas daripada cerita rakyat yang sudah melegenda yang dipercayai oleh masyarakat Vietnam sebagai satu peristiwa yang benar-benar terjadi.



Cerita yang sudah melegenda tersebut menceritakan seekor naga yang turun dari langit yang meludahi permata giok ke laut untuk membantu masyarakat setempat. Cerita rakyat ini menjadi daya tarik tersendiri yang mewarnai panorama wisata alam Ha Long Bay yang indah dan menjadi buah mulut turis di mancanegara.





Jika anda berkesempatan mengunjungi Ha Long Bay, anda akan mendapati pulau-pulau batu kapur dengan tampilan warna hijau yang sebahagiannya diselimuti rumput dan pokok tumbuh di sekitarnya, bebatuan yang terhampar menjulang tinggi seperti blade, berjajaran, berdamping sesekali pandang memandang serta memiliki lekuk pandangan yang bersegi dan indah dikejauhan. Bebatuan merupakan sebuah miniatur sama ada terhasil secara semula jadi, bentukan air laut mahupun angin melalui proses panjang. Dunia bola sepak tentu mengagumi kemahiran teknis Messi dan Ronaldo menggiring dan mengelecek bola  tapi perlu diingat Messi dan Ronaldo takkan ada sepanjang masa, berbanding miniatur bebatuan keras di Ha Long Bay yang tetap setia di situ selagi ada bulan dan bintang. Perbandingan begini tentunya tidak realistik tetapi kita semua perlu tahu bahawa manusia datang dan pergi, "institusi" tetap berdiri sepanjang masa. Memerhatikan denyut panorama Ha Long Bay ini membuatkan kita semua terpaut dan menzahirkan betapa sungguh indah alam ciptaan Allah Subhanahu wa Ta'ala. Keindahan di sini adalah satu rahmat yang menghasilkan rezeki kepada pemain dalam industri pelancongan di sini.

Ha Long Bay juga memiliki gua-gua besar yang bernuansa seperti arca bebatuan yang terukir, tinggi, sejuk kerana stalagmite dan stalaktit yang menjadi besi sembrani bagi menarik pengunjung luar datang berkunjung ke Ha Long Bay dan singgah berpetualang ke gua berkenaan.




Ha Long Bay masuk dalam daftar objek wisata keajaiban dunia. Hal ini wajar kerana Ha Long Bay memperlihatkan pemandangan alam yang menakjubkan, alami dan sebuah anugerah dan karya yang maha kuasa yang sungguh sempurna yang membuat kita takjub dan menghargai sebuah pengalaman yang luar biasa didapatkan apabila anda berkunjung ke sini. Ayuh!!!







Sabtu, 16 Mei 2015

Kunjungan Kerja ke Hanoi, Vietnam

Berpeluang berkunjung ke tempat baru dalam rangka rasmi mahupun bercuti tentu ada sesuatu yang baru atau pengalaman baru diperoleh. Sebelum menjejak, rasa sensasi sudah bertamu di hati dan pertanyaan demi pertanyaan menyapa antaranya seperti apakah negara berkenaan baik dari segi state of art mahupun landskap sosial, ekonomi dan politik. Nah, entri kali menuangkan sekelumit rakaman pancainderaku di Vietnam. Diberi peluang mengikuti The 3rd Meeting of United Nations Group of Experts on Geographic Names (UNGEGN) for Asia South East (ASE) Division di Hanoi, Vietnam pada 13 - 15 Mei 2015 merupakan satu pengalaman yang luar biasa. Aku tidak akan bercerita tentang mesyuarat ini kerana ia sudah tertuang dalam laporan kerja untuk jabatan. Yang akan aku sampaikan ialah pengalaman lawatan kerja ke lapangan dan sekali gus pemerhatian tentang cara hidup masyarakat Vietnam di Hanoi.


Delegasi bergambar ramai
Delegasi Brunei 

Aku tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Noi Bai, Hanoi pada 13 Mei 2015 via Kuala Lumpur. Besar tapi tidaklah sebesar bandara Bangkok, KLIA dan Singapura yang pernah kukunjungi. Dan anda tak kan mudah sesat di bandara ini. Untungnya ada ASEAN Lane/Line pada setiap bandara ASEAN ketika ini sesuai dengan kesepakatan untuk menjayakan ASEAN Community 2015. ASEAN Line ini mempercepatkan proses barisan turis ASEAN untuk pelepasan imigrasi dengan syarat tidak ada pertembungan jadual kedatangan turis yang sama dalam penerbangan lain semasa anda tiba ditempat pengecapan pasport. Untuk pengetahuan anda, Hanoi menjadi tumpuan turis mancanegara kerana wilayah ini memiliki pusat wisata alam, sejarah, kerajinan tangan dan kuliner yang menjanjikan. Yang terkenal tentunya wisata alam dan maritim di Ha Long Bay yang menawarkan topografi dan bentangan bebatuan sebagai pulau-pulau indah dan hamparan pemandangan banjaran batu keras yang menjulang.

Di Hanoi, pusat tukaran wang asing hanya menerima wang US, Pound, Singapura, Australia, Japan dan China. Hanya sebuah tukaran asing di Bandara Noi Bai menerima ringgit Malaysia. Dollar Brunei tidak diterima! Jadi, anda perlu bersiap untuk memilik nilai Dong Vietnam atau mana-mana matawang yang disebutkan tadi. Jika tidak, anda bisa mamai hilang damai kerana segalanya di Vietnam memerlukan anda mengeluarkan wang Dong atau Dollar US kecuali jika anda menggunakan WC (yang pasti ini toilet ya). Nilai tukaran SGD1 - 1,505.00D. Kalau SGD100, sudah 1,505,000D. Lumayan buat beli ole-ole seperti magnet dan rantai kunci.

Jangan lupa membeli sim card untuk hape anda. Jangan macam-macam ketika membeli sim card di Noi Bai. Maksudnya, tak perlu membuang waktu memilih nombor yang cantik seperti anda memilih starter pack Hotlink, Digi, Celcom dan Maxis ketika anda berkunjung ke Malaysia kerana operator atau syarikat telekomunikasi di Vietnam menawarkan pakej yang baik untuk perkhidmatan internetan dan Whatapps. 


sim card
Yang pasti, operator penjual sim card di Bandara Noi Bai yang memilih. Anda tinggal memberitahu berapa lama anda berada di Vietnam bagi membolehkan anda memiliki jumlah kredit yang mencukupi untuk akses internet dan Whatapps. Untuk akses internetan dan Whatapps, anda cukup membayar 200,000D, 100,000D untuk harga sim card manakala 100,000D buat pulsa. 

Masyarakat Vietnam ramah dan menghormati pelancong luar yang datang. Di Hanoi, rata-rata pelancong yang datang adalah pelancong mat salleh, China dan Jepang. Karyawan barisan hadapan Vietnam boleh berbahasa Inggeris dengan pelat Vietnam yang kental. Anda kena mendengar dengan teliti sebutan dan perkara yang akan disampaikan supaya anda faham dan boleh merespons dengan baik. Nampaknya, rata-rata penduduk Vietnam khususnya generasi muda yang boleh berbahasa Inggeris tersebut membuktikan bahawa Vietnam bersungguh untuk menyiapkan sumber manusia yang mampan bagi menerima ledakan kemasukan turis mancanegara. Kemampuan sumber manusia yang baik di barisan hadapan dalam sektor pelancongan akan memberi pesan dan kesan yang baik bagi merancakkan geliat ekonomi seperti transportasi, kuliner, hiburan, penginapan dan cenderamata. Sikap masyarakat Viet yang ramah tentunya menjadi magnet yang baik untuk mereka mempromosi dan menjemput turis untuk berkunjung ke di mana-mana wilayah Vietnam. Mengapa? Ini kerana pelancongan adalah antara sumber utama atau limpahan ekonomi kepada penduduk yang rata-ratanya menjadi petani, pekebun, pengusaha produk lokal, transportasi dll.

Hunian atau rumah penduduk Vietnam berbentuk vertikal dengan keluasan yang sangat kecil sekitar 3 - 5 meter lebar tetapi dibangun dalam empat ke lima tingkat. Di tingkat bawah, khusus untuk perniagaan. Antara perniagaan yang diusahakan ialah kedai makanan, peruncitan dapur, baju, kasut, barang-barang terpakai, elektronik, bengkel kereta dsb. Hunian vertikal ini menunjukkan bahawa tanah di Vietnam terbilang mahal. Oleh kerana itu, mereka perlu mengoptimalisasi keluasan tersebut secara vertikal dengan konsep di situlah serba serbinya kehidupan anda. Jangan membazir!!! 

Pemandangan serba hijau dengan hamparan padi dan tanaman kontan lain juga menjanjikan pemandangan yang menarik dan saujana mata memandang. Vietnam memang kawasan delta yang subur dan kerana itu persawahan dan perkebunannya tubuh subur kerana masyarakat Vietnam adalah mereka yang rajin menggunakan otak dan tenaga untuk mengeluti kehidupan kapitalis dan pragmatis yang serba serbinya memerlukan wang.


Jualan souvenir
Mengendeng hasil..laju mereka bergerak...no hape di tangan



Hamparan padi menghijau

 Agaknya mereka tidak menerima bantuan kebajikan apatah lagi pencen tua! Kerajaan Viet mungkin sahaja memberikan bantuan kepakaran dan nasihat bagaimana menjana hasil pertanian melalui teknologi semaian, benih, sistem irigasi dan pembajaan dan mungkin sahaja modal usaha. Selepas itu, anda perlu berdikari untuk mengusahakan setiap inci tanah yang anda miliki. Kerja. Ada kerja adalah hasil. Ada hasil ada makan. Ada makan tentunya buat anda bertenaga untuk berfikir dan bekerja keras lagi untuk kelangsungan. Ini baru namanya konsep memberi kail bukannya ikan.

Padi mereka rendah. Peliknya tidak pula ada orang-orang atau gumpulan tin-tin kosong buat menghalau burung. Aneh. Mana perginya sipipit yang selalu mengacau padi tanaman nenekku dulu. Mustahil tiada burung di Hanoi! Agaknya, burung-burung tersebut habis diperangkap atau ditembak buat santapan. Atau mungkin sahaja, Vietnam memiliki teknologi tersembunyi untuk mencegah kehadiran unggas berkenaan. Bukankah mereka terlahir daripada masyarakat perang yang pintar dengan strategi! Tanyalah siapa bangsa Asia yang dalam sejarahnya pernah menggagalkan adikuasa US yang arogan dalam Perang Vietnam. Jepang pun harus tunduk dengan arogan US dengan pengeboman Hiroshima dan Nagasaki. Tapi Vietnam yang miskin dan tidak memiliki senjata moden berjaya mengalahkan US dengan strategi perang gerila. US dibuatnya mamai melalui strategi berkenaan. Baik, kembali semula pada cerita tanaman padi tadi. Sistem pengairan sawah atau irigasi pertaniannya smart dan bersih.Tak ditemukan sampah merata sehingga jalannya air di kali lancar dan terpencar ke mana-mana. Di samping hamparan padi, danau atau tasik kecil yang tersedia digunakan untuk menternak bebek (itik untuk produsen telur masin...kak), kambing dan lembu. Ertinya, tiada pembaziran kerana semuanya dioptimalisasikan. Tanaman kontan lainnya yang ditanam ialah nanas dan jagung. Buah pula antaranya ialah mangga, buah naga, pisang dan nangka.

Menariknya, Viet juga maju dalam industri hiliran yang berasaskan produk tani. Pisang yang masak dan sebelum puah tidak dapat dimakan, diusahakan menjadi kerepek kering begitu juga nangka dan mangga. Bukan dibuang kak..adang tah membajir ani! Tidak pula kelihatan mereka memotong dan menjemur bahan baku tani berkenaan kerana mungkin sahaja ada mesin pembakar buat proses memanas, mengawet dan memanis sebelum dipek kemas dan menarik buat dijadikan cenderamata. 

antara kemasan snack pisang dan plum
Pokoknya bahan baku yang tersedia, diolah menjadi kemasan yang menarik. Kayu dibuat kerusi meja, pelapik cawan, rantai kunci, motor atau basikal dengan perapian ketaman yang kemas, licin, halus ditambah dengan pewarnaan yang sesuai. Industri kerajinan tangan juga menghasilkan ekonomi. antara industri tersebut ialah tenunan dan anyaman,pasu dan tembikar serta bertukang batu permata.


menenun dan membuat gambar dan beg
Industri satu produk dan satu kampung di negara ini sebenarnya perlu membuat lawatan kerja ke industri kerajinan tangan di negara seumpama ini bagi menghasilkan produk buatan Brunei yang baik, berkualiti dan pelbagai.  

Dari segi kuliner, jika anda menginap di hotel, jadilah vegetarian dan makan hidangan yang berprotein seperti ikan. Jangan lupa itu. Maksudnya, sajian makanan di hotel sedikit lebih baik dan mesra selera berbanding jika anda pergi ke Manila dan Thailand. Namun itu tidak bermakna anda tidak perlu hati-hati. Berhati-hati bermakna anda menikmati sajian yang lebih hemat fikiran. Ya makan sayur dan ikan itu tentunya lebih baik daripada tidak makan. Untuk mencari resto halal, sebuah Resto Namaste tidak jauh dari hotel dan berhadapan dengan Hanoi Tower siap memenuhi selera anda. Namaste diusahakan oleh pengusaha makanan India yang menyediakan sajian halal North Indian food termasuk roti nan, capati dan sajian lain yang buat anda menyicipinya dengan tenang. Anda boleh mengesan kedudukan resto ini melalui google maps.

Rupa wajah bangunan di Hanoi masih kental dengan era seni bina kolonial yang disulap mengikut selera Viet dan berbentuk vertikal. Kedainya tersusun rapat, bersambung dan tidak putus seperti anda melihat deretan kedai yang berjajaran di Yogjakarta menghala ke Borobudur. 


Hunian berintegrasi dengan bisnes
Ada beberapa resto mewah jenama antarabangsa seperti Starbuck namun jenama antarabangsa ini tidak begitu dominan seperti mana yang kita lihat di kota metropolis di Kuala Lumpur dan Singapura. Yang menonjol ialah lapak makan di samping jalan yang disediakan dengan meja dan kerusi berkaki rendah. Duk lelama boleh naik asam urat mak.. nak, tapi tidak bagi orang Viet yang sendi-sendinya selalu bersenam dek cara hidup yang menekankan usaha dan bekerja. 






Lapak makan ini ada di mana-mana tempat pejalan kaki

Hanoi juga menyajikan pusat makanan laut dan dinikmati dalam bot pesiar. Sambil menikmati makanan, bot pesiar akan memutar sekeliling tasik atau danau yang luas. 


Pusat makanan laut Potomac
Bandar Hanoi memelihara kehijauan kota melalui tanaman pokok landskap bersaiz besar disertai hiasan bunga yang tumbuh kembang setaman bila musimnya tiba. Rawatan dan pemeliharaan taman ini cukup baik. Masyarakat Viet juga tertib dan tidak membuang sampah merata. Dalam taman ada kawasan sengang yang luas untuk penduduknya beraktiviti seperti membuka lapak kecil jualan, bersenam dan menari di malam harinya. Cukup meriah aktiviti masyarakat di sini. Mereka rajin dalam serba serbinya kerana telah terbiasa dengan budaya hidup survival.

Waktu niaga kedai di pinggiran jalan dan mall tutup sebelum jam 12. Tertib dan mereka tidak protes di media kerana yang namanya berniaga itu tentu sudah ada aturan mainnya daripada pemerintah. Ya, manusia perlu istirahat yang mencukupi untuk kembali mendapatkan tenaga buat hidup esok harinya. Masak robot!






COVID-19 - Dunia Ini Rapuh dan Tidak Berdaya, Pelajaran Buat Kita

Tidak siapa menduga COVID-19 yang bermula di Wuhan, China merebak ke seluruh dunia. Masyarakat dibuat terpinga-pinga dan panik. Kita dibias...