Selasa, 21 Julai 2015

Raikan Aidilfitri 1436/2015

Raya di desa menjemput suasana yang berbeza. Meskipun berbeza dengan raya di bandar tetapi kemewahan nilai yang dihantar cukup mengesankan, membahagia, membahana, menyenangkan, riuh dengan kehebohannya dan ria yang yang bukan kepalang. Mengapa? Desa itu damai, desa itu tenang dan alami. Dan di pelataran desa inilah letaknya hati, kasih, cinta, sayang dan jalan panjang kehidupan yang tak pernah sepi daripada suka, lara dan nestapa. Orang-orang seperti kami dan mereka yang kini di pertengahan usia, tentunya lahir dan dibesarkan dengan latar sosial yang pelbagai dengan kisah jatuh bangunnya.  Kampung yang alami ini tentulah memiliki romansa peristiwa yang pasti meninggalkan banyak kesan kepada pembentukan pemikiran, akal budi, laku sosial dan karakter kami hari ini. Antara nilai yang terpahat dalam hati kami tak lain ialah betapa pentingnya memiliki semangat dan daya juang yang tinggi untuk mengapai mimpi pada ketika segala sesuatunya belum jelas terpandang di depan mata tetapi kebesaran angan-angan dan mimpi itulah menguatkan tekad dan iltizam kami untuk maju dan berkembang. Kami datang ketika segala sesuatunya telah berubah dan membangun tetapi pohon kelapa ini masih setia berdiri dan sungai yang tenang membelah permukaan seolah melambai-lambai dan menggamit kami dengan kilah pemandangan, dan pesonanya tersendiri.

Ketika meraikan aidilfitri, inilah saat yang tidak boleh dilewatkan kerana raya ke kampung halaman itu itu memiliki esensi sosial yang tinggi dan wajar dipertahan sampai bila-bila. Momen ini menjadi tugas penting kami untuk mengantar pesan dan kesan kepada anak dan kerabat agar mereka saling menyapa, mengenal dan menghulur salam menjalin silaturahim dan mengukuhkan semangat kebersamaan dalam sebuah keluarga besar yang juga memiliki tantangan besar untuk menyatu ketika semuanya memiliki kehidupan masing-masing. Momen Aidilfitri adalah saatnya kami sebarkan rasa kedekatan, damai, cinta, kasih dan sayang untuk hidup rukun dengan kebersamaan. Di atas semuanya, kami mengingati asal usul kami dan siapa sesepuh kami, dan kami dan semua kita di luar sana tahu bahawa ketika kebersamaan itu adalah soal waktu namun di hati yang terdalam tentu kami berharap hubungan kekeluargaan dan persaudaraan ini kekal terpateri dan terpelihara selagi ada bulan dan bintang. Inilah tugas penting generasi kami seterusnya.




Jumaat, 10 Julai 2015

Wahai bapak mister, tunjukkan empati terdalammu

Penghujung Ramadhan ini bantuan kepada insan yang memerlukan datang mencurah. Bantuan datang dari pelbagai penjuru. Yang menerima tentu merasa senang hati kerana ada masyarakat yang prihatin dan peduli. Momen memberikan kepada mereka yang memerlukan dimanfaatkan oleh syarikat-syarikat swasta yang kebanyakannya dipunyai oleh golongan nonmuslim yang sudah tentu tidak memahami budaya dan jerih payah masyarakat marhaen berjuang hidup untuk memastikan perut mereka dan perut ahli keluarga mereka terisi. Terkadang rezeki yang diraih tidak sebanding dengan kudrat dan tanggungjawab yang perlu dijaga dan digalas. Apabila diberi bantuan, mereka menerima rezeki seperti bulan jatuh ke riba dengan rasa senang hati. Hidup mereka tegar dan selalu sulit. Kesulitan itu membuatkan hati dan jiwa mereka kering dan sulit untuk gumbira apalagi tertawa dek hidup yang keras. Inilah yang tidak difahami dan dihayati low pan...low pan atau mister-mister yang memiliki bisnes yang boleh memberikan kesenangan untuk tujuh keturunan generasi mereka. Apa yang nampak didada akhbar, mister-mister ini ramah senyum, berposing dengan menatang pemberian mereka kepada insan yang memerlukan. Momen ini pula diliput oleh media-media dan gambar mereka menghiasi dada-dada akhbar.   Mister-mister ini tidak merunduk dan menunjukkan empati mendalam mereka kepada insan yang sulit dek ketegaran hidup berpanjangan. Ia sebuah pemandangan kontras dan angkuh,  sama seperti ketika Bapak Suharto menandatangani perjanjian bantuan sambil disaksikan oleh Ketua IMF Michael Camdesus yang berpeluk tubuh.  Sebuah pemandangan yang tidak menerbitkan pesona manusiawi. Kembali semula pada inti cerita, nampaknya mister-mister ini dilihat lebih galak menonjolkan karakter dan pada masa yang sama menjual dan mempromosi nama syarikat mereka. Tahun lepas, ada mister pemilik textile yang memakai seluar jeans dengan dua butang baju terbuka sambil menyodorkan bantuan. Hamba melihat pemandangan ini sebagai sebuah kesombongan dan betapa hedonisnya golongan borjuis dalam meraih kesempatan. Semua ini mencerminkan betapa kurang cerdas, kurang bijak dan kurang telitinya masyarakat kapitalis menunjukkan empati mereka dalam momen peduli kasih seumpama ini. Boleh hamba katakan jubah kapitalis dan pengalaman dunia bangsa mereka kurang sesuai dengan adab dan santun  masyarakat di negara ini. Pandang dan pelajarilah cara adab dan santun masyarakat kami memberi kepada yang memerlukan. Merunduk, pandanglah mereka dan katakanlah sesuatu. Mereka akan sangat menghargainya. Untuk sekalian kalinya, hamba berharap wartawan juga tahu bagaimana memaparkan sebuah momen dalam media mereka sesuai dengan etika dan konteks sesuatu acara itu.

Selasa, 7 Julai 2015

Ekspresi Puteriku

Masa berlalu begitu pantas. Sepantas masa meninggal kita sepantas itu puteriku kini tumbuh kembang sebagai anak remaja yang memiliki karakter dan minat yang berbeza. Di sela-sela kesibukan mereka belajar, mereka menyempati waktu mengisi kecenderungan masing-masing. Yang tua selalu membuai kami dengan petikan keyboard dengan lagu moden sesuai dengan selera anak muda. Terkadang, kami sebagai orang tua yang sudah menginjak lima dekad ini memaksanya memainkan lagu evergreen dendangan megabintang Jeng Whitney Houston, Mariah Carey, Kang Lionel Ritchie dan artis yang seangkatannya dengannya. Orang tua yang hidup dibesarkan dengan lagu-lagu ini tentu merasa ramah dan akrab dengan muzik yang lembut, mendayu dan tidak membingitkan telinga. Puteri tuaku tidak pernah menolak memainkannya meskipun harus menatap notasi muzik lagu berkenaan yang bukunya kami belikan khusus ketika berkunjung ke toko-toko buku muzik di luar negara. Tapi tetaplah petikan keyboard untuk lagu berkenaan bukan senandung pilihannya kerana tentunya ia ramah dengan dendangan penyanyi terkini yang seusia dengannya.

Puteri keduaku betul-betul mewarisi kecintaanku dalam mengulit buku. Baginya hampir tiada waktu tanpa membaca. Waktunya diisi dengan melapah bait demi bait kata dan bahasa demi bahasa dalam novel yang dipilihnya dan dibeli secara online atau di toko buku berdekatan. Beliau terbuka untuk pelbagai genre novel namun minatnya khusus pada siri penyiasatan, fiksi, thriller hinggalah kisah remaja dilahapnya dan ia rasa buas untuk memiliki buku baru yang semalam baru dilancarkan. Baginya, dunia akan terasa kelam tanpa buku. Membaca novel membuatnya damai dan lebih mendamaikan hatinya apabila dapat memiliki buku berkenaan dengan segera. Beliau sedari kecil sudah mengoleksi siri Naruto, Manga dan Harry Poter. Bahkan setiap kali aku outstation hal utama yang ia minta buku..buku..buku bukan baju baru. Pernah sekali aku membelinya baju baru yang fashionable sesuai usia anak muda bersekali dengan buku cerita terkini kirimannya. Ternyata dia mendahului buku daripada mencuba baju baru seperti puteriku yang lain. Aku dan ibunya mengomel, tapi tetaplah ia dengan prinsip loyalnya mencintai buku sebagai barang mahal melebihi segalanya. Bahkan, beliau sangat ulet dan teliti dalam menjaga miliknya terutama buku. Jangan ada yang meminjam tetapi tidak menepati janji mengembalikannya. Anda akan merasa malang untuk berdepan dengan reaksinya..hahaha.

Puteri ketigaku memiliki karakter yang sedikit lain. Sebelumnya, perbezaan puteri ketigaku ini sedikit jauh, sekitar 7 tahun dari kakaknya yang tua yang sekarang sudah menapaki usia 21 tahun. Puteri ketigaku penyuka dalam mengoleksi caps yang ada hiasan, bling-bling dan permainan lego. Sebelumnya, ia penyuka dan pengoleksi boneka. Beliau juga peminat tegar artis K-pop. Awal Ramadhan yang lalu puteriku bersama teman sekolahnya menanti setia ketibaan artis K-pop antaranya Jeong Jin-woon anggota kumpulan 2AM bersama dengan beberapa artis K-pop lain seperti Kim Byung Man, Do Sang Woo dan Nam Gyu Ri yang menjalani penggambaran program realiti Law of the Jungle di negara ini.  Disela-sela kesibukannya sebagai anak sekolah yang perlu berusaha keras, beliau meredam waktunya bermain sulap mata! Apakah itu merupakan satu trik atau aplikasi gajet yang memungkinkan segalanya menjadi real. Yang buat aku penasaran tentunya pertanyaan mengemuka yang datang dibenakku. Entah dari mana minat berkenaan melekat padanya pada ketika aku tertawa dan rasa tergelak melihat aksi sulap matanya yang relaks, bersahaja dan polos yang dirakam dan dipos melalui aplikasi pesan Whatsapp. Apapun, aku melihat aktiviti yang dilakukan oleh ketiga mereka sebagai satu ekspresi dan emansipasi ruang setelah berhari-hari memenuhi rutin ke sekolah dan studi, mengulang kaji, menghadiri kelas tambahan dan tentunya membuat kerja rumah.





Bagiku, anak-anak yang tidak bergelumang dengan sawah, kebun, sungai, getah, sawit, selut dan segala unsur perdesaan yang membesarkan asa dan rasa bahagia orang tua mereka dahulunya, juga berhak memiliki pengalaman dunia yang berbeza sesuai dengan peredaran masa asalkan masa senggang yang diisinya itu sesuatu yang bererti dan memiliki nilai esensial yang mendidik dan manusiawi. Aku melihatnya sebagai satu pusingan u yang jauh berbeza dengan kehidupan kami dahulunya tetapi aku memahaminya bahawa apapun karya hidup yang baik dari mereka adalah satu tindakan secara sedar sebagai anak-anak yang ingin berekspresi dan berprestasi dengan mengacu pada subjek yang dapat menghiburkan mereka. Sebagai orang tua, aku mengalu-alukan mereka berfikir kreatif bermula dengan hal-hal kecil kerana kelak mereka tentu memerlukan mental dan ilmu yang kuat ditengah-tengah keadaan ekonomi yang membadai dunia yang menyebabkan timbulnya keraguan yang tidak dijelas yang dikhuatiri berdampak sistemik sehingga boleh memberi efek pada dunia sebelah sini. Sebelum perkara itu terjadi, orang tua manapun tentu berharap anak mereka telah dibesarkan dan terasuh melalui kekuatan berfikir kreatif dan mampu membuat terobosan yang baik untuk kelangsungan. Semoga.

Sabtu, 4 Julai 2015

Reuni Yang Haru

Peluang reuni dengan teman sekolah puluhan tahun silam sesuatu yang ditunggu sekiranya kita mempunyai waktu dan kesempatan. Namun anda tentu tidak pernah menduga reuni akan terjadi di mana, bagaimana perancangan anda, nasib anda ketika itu dan perlu diingat semua perancangan ini terjadi dengan izin Allah Subhanallah Taala. Hendaknya, pertemuan dengan teman sekolah itu terjadi baik-baik sahaja sehingga rasa terpisah sejak lama itu bakal menerbitkan euforia dan energi yang positif.

Namun, nasib Arthur Booth berkata lain. Beliau reuni dengan teman sekolahnya dalam prosiding penghakiman kasus pencurian beliau lakukan di Florida, Miami. Yang membicarakan kasus beliau adalah teman sekolahnya Mindy Glazer, hakim daerah Miami. Kes ini disebut pada 30 Jun 2015 yang lalu. Arthur Booth dan Mindy Glazer adalah teman satu sekolah di Nautilus Middle School. Mindy Glazer, sang hakim yang punya nurani ini, perasan betul bahawa Arthur Booth adalah teman dekatnya semasa sekolah. Beliau tidak ragu dan merasa martabatnya jatuh untuk bertanya kepada pesalah yang didakwa kerana kasus rompakan. 


Sumber: YouTube

"Tuan Arthur saya punya pertanyaan khusus untuk anda" tanya Hakim Mindy Glazer. "Ya, Yang Arif, apa itu" balas Arthur Booth.

"Apakah anda pernah bersekolah di Nautilus Middle School" sapa Hakim Mindy Glazer. Arthur Booth pada awalnya terkesan kaget, tersenyum simpul, memegang kepalanya, memaling dan tiba-tiba menunduk serta tidak dapat menahan perasaannya ketika bertemu dengan teman sekolah dalam situasi jauh berbeza. Berkali-kali Arthur Booth mengungkapkan "Oh Tuhanku..Oh Tuhanku..sambil menangis teresak-esak". Mengharukan dan menyedihkan bertemu teman sekolah ketika kededuanya memakai pakaian yang memperlihatkan kasta sosial yang berbeza hasil daripada pilihan hidup masing-masing. Pada ketika temannya mengejar cita-cita, menatap masa depan dengan pasti dan berada di posisi terhormat kini, Arthur Booth pula menjadi pesalah yang sedang diadili. Kisah pertemuan ini menjadi sebuah dongeng nyata yang jarang berlaku tetapi memperlihatkan sisi manusiawi hakim wanita pada ketika nilai hedonis, egosentrik dan kiasu menggumuli mereka yang sukses.

Mindy Glazer berinisiatif menyebut rakam jejak Arthur Booth di sekolah dalam dewan persidangan. "Arthur adalah orang baik, saya sering bermain bola dengannya. Saya tertanya-tanya apa terjadi dengan anda, saya merasa sedih melihat anda di sini".

Saudara Booth, Melissa Miller mengatakan pamannya merasa sedih dengan pertemuan tak terduga dan sungguh menyesali jalan hidup yang dipilihnya. Hidup pamannya berubah kerana kecanduan dadah walhal beliau seorang penerima biasiswa dan atlet yang berpotensi.

Meskipun reuni Arthur Booth menyedihkan bagi dirinya, tetapi kehadiran Mindy Glazer sebagai hakim kasus berkenaan adalah satu isyarat yang diberikan oleh Tuhan Yang Maha Esa untuk beliau melakukan metamorfosis diri bagi meraih kehidupan yang lebih baik. Kita tentu berharap beliau sedar dan berjaya. Mindy Glazer mungkin satu dalam sejuta hakim kulit putih yang memiliki empati kepada Arthur Booth sebagai teman sekolah, pada ketika masalah rasisme dan perjuangan kesetaraan hidup tanpa perbezaan warna kulit masih membelenggu masyarakat kulit hitam di Barat. Pada masa yang sama, Mindy Glazer setidaknya mengantar mesej kepada dunia bahawa kerusi kehakiman terhormat bukan sekadar menghukum benar salah, tetapi jauh dari itu pesan sosial yang dilimpahkan harus bererti, sehingga memberi pelajaran berguna kepada terdakwa. Hendak pula terdakwa itu temannya, yang tentunya isyarat yang dihantar lebih menggelintar kalbu dan menyedarkannya untuk mengejar hidup yang lebih mulia.

Dari sisi lain, kisah Arthur Booth dan sang Hakim Mindy Glazer yang memiliki hati ini, juga sebagai isyarat kepada sesiapa jua agar sesi reuni yang terjadi antara kita dengan teman sekolah nanti dalam situasi yang layak dan wajar. 

Pelajaran hidup ada di mana-mana. Kitalah yang berusaha mempelajari moralnya, melihat sesuatu itu dengan positif lalu dipetik sari pesan dan kesannya. Hakikatnya, manusia boleh mengubah sejarah dirinya selagi ia bercita-cita dan berusaha untuk mengubah nasibnya.

Pesona Wajik Jawa Menandu Rasa

Cuti panjang hujung minggu aku meluangkan waktu jalan-jalan. Jalan-jalan baik untuk nutrisi minda. Cukup hanya memerhati apa yang ada dengan menoleh kiri dan kanan sambil minda terus bekerja dan sesekali membuat asosiasi dan asumsi. Hari ini perjalanan ke sempadan menjengah hingga ke daerah hijau dan damai kami, Temburong. Daerah ini dilitupi hutan hujan tropika yang menggawang tinggi, seperti sebuah gerbang alami yang menyapa dan menyambut tamu dengan keghairahan semangat serta warisannya.

Aku menyempati waktu berkunjung ke Tamu Ramadhan di Pekan Bangar, pusat yang menjadi jantung atau geliat ekonomi di daerah ini sejak lama.  Daerah ini masih asing dengan industri berat. Jauh dari kesan rantaian makanan fast food, kopitiam atau kafe modis apatah lagi untuk mencicipi aroma kopi Starbuck! Yang nyata, daerah ini terkesan jauh daripada mode kapitalis yang selalu heboh dengan "kegaduhan sosialnya". Muda mudi biasanya akrab dengan sesi memanjakan lidah dan perut mereka di kafe modis sekaligus buat relaks-relaks sambil bersembang dan menonton bola di layar tv, satu ciri khas yang selalu ada sebagai besi sembrani untuk memikat anak muda belia duduk lama-lama.

Masyarakat di daerah ini lebih akrab dengan dunia agraria baik secara kecil mahupun secara berkelompok. Oleh kerana itu, geliat ekonomi mandiri di daerah ini lebih menjuruskan kepada bahan baku agraria yang mudah didapati, diproses, diperaga dan tentunya dijual untuk kelangsungan. Satu makanan khas di daerah ini hasil produk agraria berasaskan beras ialah Wajik Jawa.

Setakir Wajik Jawa yang siap untuk dijual sama ada dibungkus
atau dimuatkan dalam bekas
Rasanya enak, lembut, manis dan sedikit gurih. Terdapat tiga pengusaha wajik Jawa yang gigih di daerah ini yang telah berkarya dan mendedikasi dirinya dalam membuat Wajik Jawa. Yang sering menjadi pilihanku ialah Wajik Jawa hasil tangan Dayang Hajah Fatimah Haji Ahmad yang selalu menghipnotis dan rasanya pas di lidah. Beliau terlibat dalam pembuatan wajik ini sejak 30 tahun silam. Bukan kecil anak pengalaman dan masa yang diraih untuk mengabdi dalam industri ini.

Siap dibungkus dan dijual $2.00 seplastik
Membuat Wajik Jawa memerlukan kegigihan dan sikap loyal yang bukan kepalang. Manakan tidak, untuk memasak dan menggaul sahaja menguras tenaga sehingga enam jam bagi menghasilkan wajik yang dapat disantap dengan enak dan nyaman di lidah. Di atas semuanya, membuat wajik dan sajian apapun termasuk pekerjaan yang kita lakukan, mestilah disertai dengan hati dan cinta. Tentu. Oleh kerana itu apabila kita menikmati makanan yang sedap dan nyaman, tentulah sajian itu dibuat dengan penuh kasih seperti mak dan orang tua kita yang selalu gigih dan teliti dengan kerja mereka. Bukankah, apa yang kita hasilkan akan memberi gambaran tentang siapa kita dan bagaimana kualiti kita dan cara kita bercakap.

Wajik Jawa yang dibuat oleh pengusaha ini sebenarnya telah menyapa dunia sejak daerah ini menjanjikan getaran ekopelancongan yang berjaya menarik masyarakat di belahan dunia datang ke daerah ini meskipun tidak serancak industri ekopelancongan seperti Bali.

Alhasil Dayang Hajah Fatimah dan sesiapa jua yang menceburi diri mereka dalam dunia usaha, bahkan daripada petani, pekebun dan nelayan, mereka juga adalah antara peribadi yang berperanan penting dalam "menghidupkan kebudayaan". Tanpa makanan, tak akan ada kehidupan, tenaga, masyarakat dan kegiatannya, dan tak akan ada kebudayaan!


Dayang Hajah Fatimah Haji Ahmad, pengusaha Wajik Jawa yang titih

Rasai Sensasi Sashimi

Pertengahan April lalu, aku ditugaskan sebagai Liason Officer bagi mengiringi Tuan Yang Terutama Encik Masagos Zulkipli, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, serta Menteri Kedua di Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri Singapura. Bapak Menteri berkenaan melaksanakan kunjungi rasmi dengan jadual yang padat untuk selama dua hari penuh. Bertugas sebagai LO bagi seorang Menteri apatah lagi datang dari negara semaju Singapura tentu pengalaman luar biasa. Semua kita tahu bahawa negara berkenaan begitu cekal dengan disiplin, menekankan meritokrasi bagi membentuk modal insan yang benar-benar berkualiti untuk mengekalkan daya saing negara berkenaan dalam liga ekonomi maju dunia. Untuk menjadi negara berkenaan siap siaga dalam semua aspek, bererti tak ada tempat bagi mereka yang ingin hidup sambil lewa. Bahkan semuanya diatur dengan cermat baik undang-undang, sikap dan cara mereka menghargai waktu bagi mendidik dan mendisiplinkan rakyat agar terus memandang watannya sebagai tempat hidup yang menjanjikan, selamat untuk bekerja, selamat untuk berjalan, selamat untuk berniaga dan berkarya disertai dengan jaminan sumber manusia yang selalu dahagakan prestasi dalam semua sendi-sendi kehidupan mereka.

Baik aku tidak akan mengulas panjang tentang hal berkenaan kerana semuanya telah terbukti. Anda hanya perlu menyempatkan diri melihat rupa bumi Singapura hari ini sebagai satu bukti betapa kecerdasan dan kegigihan mereka untuk menakat hasil dari pendekatan dan sistem yang telah teruji. Kesempatan menjadi LO kepada Bapak Menteri berkenaan bukan bererti aku memiliki waktu untuk bersenang-senang dan bersembang tetapi aku disibukkan dengan mencermati jadual kunjungan kerjanya ke jabatan dan kementerian yang padat termasuk kunjungan ke istana.

Hal yang menjadi perhatianku ialah apakah menu makanan tengah hari orang besar ini ketika aku berpeluang memasuki kompleks kedutaan negara berkenaan di perbukitan Subok. Sebelum itu, memasuki kompleks kedutaan ini yang di kiri dan kanannya masih mengekalkan kehijauan, landskap dan rimbunan pohon yang tertata rapi membuat aku menilai bahawa mereka adalah insan yang berselera tinggi, kemas, cermat, cerdas dan penuh bahawa percaya alam yang segar mata memandang adalah tempat bagi kehidupan dan aliran udara yang lancar bagi pernafasan serta membuatkan otak kita tenang dan mengalir apabila diperlukan untuk menuntaskan sesuatu.

Duduk bersama makan tengah hari dengan Bapak Menteri dan Bapak Pesuruhjaya Tinggi Singapura serta bersama anggota pengiring daripada Singapore Internal Security tentu membuatku sedikit canggung. Apapun mereka sangat tertib dan bersahabat. Nak tahu apa menu makan tengah hari kami? Sashimi!!!  Sesuatu yang asing bagiku yang belum pernah menjamah tetapi tidak bagi bapak-bapak berkenaan. Anak-anakku biasa dengan menu ini dan pernah ingin membawa aku mencicipinya tetapi aku menolak kerana lidahku terasuh dengan selera kampung.

Sashimi


Setelah mencicipi sashimi, aku mengatakan makanan ini sangat berkelas dan high profile meskipun aku tiada pengalaman mencicipinya sebelumnya.  Aku berjaya menghabiskannya. Luar biasa...hahaha. Aku tidak menghabiskannya kerana terpaksa atau semata-mata untuk mengambil hati, tetapi memakannya saat pertama kali mencicip membuatku ingin mencermati mengunyah salmon berkenaan  agar sensasi rasanya sentiasa menggelora. Dan itulah yang aku rasakan. Benar saja dan aku ternyata naif tentang sashimi sebelum ini. Sungguh kasihan dan haru..hahaha.

Setelah selesai dan sementara menunggu masa untuk bergerak, aku meredam waktu dengan berlegar di ruang kompleks hunian duta untuk menikmati sekitaran pemandangan yang hijau dan indah itu. Ternyata sashimi diet yang berprotein tadi membuat rasa kenyangku yang luar biasa relaks dan aman di perut dan jiwa berbanding jika menjamu menu bersantan dan gorengan yang membuatku rasa malas, lesu, terkadang panas dan mengantuk. Sashimi jauh membuatku daripada mengantuk, sebaliknya aku rasa amat bertenaga, bersemangat dan tenang. Dikatakan kandungan lemak Omega 3 dalam daging ikan salmon telah menjadikan makanan tersebut sebagai diet pilihan bagi olahragawan. Omega 3 dalam salmon dapat melindungi selaput otak dari peradangan dan mencerdaskan otak terutama pada usia produktif anak-anak. 

Tidak menghairankan bahawa diet penuh gizi ini membuat warga di negara berkenaan berkualiti, bernilai dan cerdas dalam banyak perkara. Pelajaran yang kudapat ialah untuk menjadikan diri kita berkualiti, kita perlu cerewet dalam hal sekecil apapun apatah lagi tentang diet yang menyumbang sesuatu bererti buat anda memperoleh bertenaga, amunisi, cerdas berfikir, berprestasi, berdaya saing dan hidup jaya seperti masyarakat di liga ekonomi dunia maju.

Nah, makanan sihat dan bergizi adalah cara selamat untuk anda menghargai NIKMAT HIDUP yang diberikan oleh Allah Subhanallah Taala untuk anda terus bekerja, bekerja dan berkarya.

COVID-19 - Dunia Ini Rapuh dan Tidak Berdaya, Pelajaran Buat Kita

Tidak siapa menduga COVID-19 yang bermula di Wuhan, China merebak ke seluruh dunia. Masyarakat dibuat terpinga-pinga dan panik. Kita dibias...