Isnin, 28 April 2014

sentuhan busking

Industri kreatif khususnya hiburan jalanan di Kuala Lumpur berkembang baik. Anak muda belia nampaknya bebas membuat karya mereka. Mereka menamakan aktiviti muzik jalanan itu sebagai "busking". Laluan strategik dan di mall membeli belah menjadi pot anak-anak muda ini berkarya baik lelaki mahupun perempuan. Suara mereka bagus dan sesekali serak-serak basah. Maka berhimpunlah masyarakat dan turis kota daripada mancanegara melihat dan mendengar karya mereka. Lagu yang dibawa campuran lama dan baharu yang masih evergreen. Sesekali mereka membawa lagu-lagu Arab dan Spaniard. Wow! Sebenarnya menguasai satu dua lagu asing baik untuk memancing minat masyarakat khususnya turis daripada negara yang berkenaan duduk melotot mendengar dan menyaksikan mereka bernyanyi. Yang perempuan remaja tidak kurang hebat. Selain boleh bermain alat muzik, mereka juga boleh bernyanyi.
Busking
Kisah anak muda belia tak kira lelaki dan perempuan ini merupakan satu potret kota sebesar Kuala Lumpur yang menceritakan daya juang anak muda mencari rezeki berdasarkan passion dan ghairah hidup mereka. Apa yang mereka lakukan turut mengghairahkan atmosfera kota metropolis yang seharusnya.

Beriyani Kambing Riverside PWTC, KL

Hari Selasa, 22 April 2014 sebaik selesai Mesyuarat ASEAN Book Publiser Association (ABPA), panitia tuan rumah menjamu makan tengah hari kepada para delegasi mesyuarat di Riverside Cafe, Putra World Trade Centre. Kali ini delegasi disajikan dengan sajian beriyani. Di meja sudah ada tiga porsi nasi beriyani mengikut jumlah tempat duduk. Selain beriyani, pilihan lauk disediakan ayam rendang dan rendang kambing. Hidangan daging kambing sesuatu yang menarik dan istimewa pada pandangan mata meskipun semua kita tahu bahawa kambing dan beriyani macam isi dengan kuku. Yang dikatakan istimewa kerana rendang daging kambing dimasak bersama struktur tulangnya iaitu di bahagian lamb shank yang tulangnya sedikit tersembul keluar dengan dagingnya yang padat dan lembut mengelilingi tulang berkenaan. Menggugah selera tentu. Nasi beriyaninya pula dibubuh sedikit acar buah kering yang masam manis yang memang menggugah selera apabila dicicipi bersama rendang dan nasi.
seporsi beriyani
Lamb shank yang ummphh
Memang power dan superb nasi beriyani lamb shank di Riverside Cafe PWTC, bahkan rendang ayamnya juga tak kurang hebat. Jangan cakap la tentang nasi beriyaninya yang lembut dan berperisa itu. Sedap mak nyus!!! Nanti akan ke sana lagi kerana bila dah lama tak kena penangan beriyani power d Riverside PWTC, tentu ada yang kurang dalam hidup..hehe. Kepada anda semua..cubalah.

Rabu, 16 April 2014

selalu ada pilihan, pilihlah yang memudahkan pelaksanaan

Hal terbesar dan tersulit bagi orang banyak ialah bagaimana membezakan di- dan ke- ditulis rapat atau ditulis jarak bagi kata yang hadir di depannya. Ketika ahli bahasa banyak menerbitkan buku tatabahasa sebagai neraca pencerahan begitu juga guru bahasa Melayu melaksanakan tugasnya membimbing, namun pemerhatian secara rambang mendapati tidak ada kemajuan mutlak dicapai soal ditulis jarak dan rapat. Masih banyak kesalahan berkenaan ditemui dalam wacana penulisan surat, memorandum, laporan, pemberitaan bertulis, kertas kerja dan kertas konsep. Selama ini, tidak keterlaluan dikatakan bahawa ahli bahasa mempertahankan status quo perkara berkenaan kerana itulah sistem yang telah dibentuk sejak lama walhal bagi masyarakat banyak, komunikasi tulisan yang berjaya ialah maksud yang disampaikan dapat ditanggapi oleh penerima.

Umum mengetahui Sistem Ejaan Rumi Bahasa Melayu (SERBM) dan segala bentuk struktur serta tatabahasanya telah digunakan di negara ini sejak 30 tahun silam. Cukup lama. Dan selama itu juga sistem tersebut telah dipraktis dalam proses belajar mengajar di sekolah. Di kementerian dan jabatan kerajaan, SERBM digunakan dalam wacana persuratan seperti surat, minit, memorandum, surat keliling, laporan, kertas kerja, kertas konsep, dan teks ucapan. Sejak 3 dekad merdeka, didapati betapa tidak suksesnya pelaksanaan di – dan ke- yang dijarak apabila diikuti kata nama yang menunjukkan tempat, arah, dan ruang. Pendek kata, hampir 3 dekad SERBM dikuatkuasakan masih ditemukan kesalahan yang berulang bagi perkara berkenaan. Sudah seharusnya satu kajian dibuat mengenainya dan pada masa yang sama merumuskan satu pendekatan mudah bagaimana masyarakat dapat memahaminya. Saya kira apakah tidak mungkin kita memilih jalan revolusi atau jalan bertolak belakang bagi memudahkan pemahaman. Samalah ketika Brunei Darussalam memilih untuk mengembalikan semula roh ejaan kata serapan bahasa Arab ke dalam bahasa Melayu sama seperti bunyi bahasa tersebut.


Langkah bertolak belakang yang saya cadangkan ialah semua kata nama am yang menunjukkan tempat, ruang dan arah didepan kata di- dan ke- dirapatkan atau dijadikan satu perkataan. Sebaliknya kata nama khusus yang biasa bermula dengan huruf besar hendaklah dijarakkan sama seperti praktisnya pada saat ini agar tidak menimbulkan kebingungan apabila menulisnya. 

Kata Preposisi                        Cadangan
(Ejaan Baharu)   
di -                        ke-               di -                        ke-

di bawah               ke bawah        dibawah                 kebawah
di atas                   ke atas           diatas                     keatas
di depan                ke depan        didepan                  kedepan
di kampung           ke kampung    dikampung             kekampung
di hujung              ke hujung       dihujung                 kehujung
di sungai               ke sungai       disungai                  kesungai
di parit                  ke parit          diparit                     keparit
di rumah               ke rumah       dirumah                  kerumah

Jika diihat pada cadangan di atas, apabila kata preposisi diikuti kata nama am didepan disatukan, kata tersebut masih membawa preposisi yang menunjukkan arah, tempat dan ruang. Penyebutan, penyukuan dan pemenggalan kata juga masih tidak berubah meskipun telah disatukan. Yang berubahnya ialah bentuknya iaitu ditulis rapat (ditulis satu perkataan).

Sebaliknya, kata preposisi di – dan ke – yang diapiti kata nama khusus yang menunjukkan tempat, kawasan atau nama negara memang wajar dijarakkan agar ada perbezaan antara huruf kecil dan huruf besar di antaranya. Contoh:

Kata nama khusus         Ejaan Baharu

Seria                                di Seria                                      ke Seria
Belait                                di Belait                                     ke Belait
Kuala Lumpur                    di Kuala Lumpur                         ke Kuala Lumpur
Sarawak                            di Sarawak                                 ke Sarawak

Rasional cadangan di- dan ke- dirapatkan apabila kata nama am dihadapannya ialah:

i.                  Tiada perubahan makna sama ada ditulis jarak atau rapat kecuali bentuk sahaja;

ii.    Yang membezakan kata dan menentukan kelas kata khususnya dalam konteks isu berkenaan ialah ahli bahasa dan kemudiannya guru bahasa disekolah. Ahli bahasa dan guru sekolah sahaja yang nampaknya menitikberatkan penggunaan mengikut kelas kata yang ditentukan. Masyarakat luas sebenarnya tidak pernah mengambil pusing tentang kelas kata berkenaan kerana dalam konteks komunikasi lisan dan tulisan, hal yang terpenting ialah bukan betul atau salah, tetapi komunikasi itu mempunyai makna dan maknanya sampai dan diterima sama oleh penulis/penutur dan pembaca/pendengar.

Kita biasa mendengar seruan gunakanlah bahasa Melayu yang baik dan betul. Hujah saya, tidak ada tolak ansur kepada penggunaan ejaan yang salah kerana kamus dan pedoman sebagai panduan telah diterbitkan bagi memberi pencerahan kepada masyarakat tentang ejaan sesuatu kata. Pendek kata, ejaan sesuatu kata harus betul mengikut sistem ejaan Rumi baharu, dan struktur ayat begitu juga kerana kesalahan teknis dalam perkara ini boleh merubah konteks, maksud dan pemahaman awam mengenainya. Sebaliknya dalam hal teknis jarak dan rapat, saya usulkan kata nama am selepas kata preposisi hendaklah dirapat, manakala kata nama khas yang bermula dengan huruf besar kekal dijarakkan seperti penggunaan lazim.

Saya berpandangan bahawa selain memberi bimbingan betul dan salah, ahli bahasa juga harus mengambil pendekatan berani yang bertolak belakang dengan sistem sedia ada. Bukankah "hidup itu selalu ada pilihan" maka pilihlah jalan yang boleh memudahkan pemahaman secara mutlak dalam penulisan kata di dan ke. Bagi saya, mengapa perlu dibezakan di - dan ke- ditulis rapat atau dijarakkan bagi kata yang hadir didepannya. Sama ada kata nama mahu pun kata kerja yang dihadir didepan di- dan ke-, tulis sahaja rapat kerana tidak pun wujud konotasi atau perubahan makna bagi kata berkenaan.

Selalu ada pilihan, pilihlah yang memudahkan. Jauh dari itu, pilih cara kita, pendekatan kita dan pendekatan Brunei. Keadaan telah berubah. Bijak pandai baharu muncul. Ilmu yang kita belajar banyak memberikan pencerahan dan membuatkan kita cepat berfikir secara rasional tentang sesuatu perkara. Ilmu berkenaan juga membuatkan kita berfikir mengapa selama ini kita mendendangkan lagu lama tentang sesuatu aspek yang berkaitan dengan tatabahasa bahasa Melayu.

Kita juga perlu ingat bahawa selama mana kita menyerap dan bergantung kepada pihak lain soal ejaan dan tatabahasa bahasa Melayu, selama itu kita perlu mengikut dan pada akhirnya kita terbeban dengan perubahan yang dilakukan oleh pihak berkenaan khususnya hal yang berkaitan dengan yang dijarak atau dirapatkan, dan juga  satu perkataan tiba-tiba menjadi dua perkataan. Dengan memilih cara kita sendiri menjadikan kita tidak terikat, kita boleh mengaturkannya sendiri dan diyakini proses pemahaman akan lebih cepat bergerak dan merata.







Isnin, 14 April 2014

Anda ingin menulis, tulislah buku cerita rakyat atau fiksi

Semalam, Isnin, 14 April 2014 perbincangan a lot mengenai inisiatif penterjemahan buku cerita rakyat bergambar diadakan antara DBP dengan Pusat Bahasa, UBD. Komitmen penterjemahan buku berkenaan adalah inisiatif Pusat Bahasa, UBD untuk menjadikan karya kreatif berkenaan sebagai materi kuliah bagi pengajaran dan pembelajaran bahasa. Karya kreatif akan diterjemah dalam 13 bahasa antarabangsa. WOW! Menurutku, inisiatif ini merupakan satu lompatan jauh (quantum leap) bagi jabatan ditengah-tengah seruan Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Lela Diraja Dato Seri Setia Awang Haji Hazair bin Abdullah, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan agar karya-karya terpilih diterjemah ke dalam bahasa Inggeris. Sekarang inisiatif berkenaan dialihwahanakan dalam 13 bahasa antarabangsa termasuk bahasa Inggeris. Sekali lagi saya katakan WOW!. 

Tentunya penulis yang karya mereka diterjemah mendapat kredit. Buku yang diterjemah akan dibeli atau diihsan di perpustakaan universiti di seluruh dunia. Apabila buku berkenaan dikatalog dalam pangkalan data, nama penulis dan penterjemah akan ada dalam carian engin carian google, WOW!. Dari sisi lain, ini satu peluang besar yang terhidang bagi mereka yang berminat untuk menceburi bidang penulisan kreatif cerita rakyat atau pengalaman diri semasa kecil difiksikan untuk dihantar kepada DBP bagi penilaian sebelum diterbitkan. Jangan bimbang tentang ilustrator atau artis pelukis. Perkara ini akan diuruskan oleh DBP. Anda tinggal menulis dan menulislah dengan jujur dan benar, bukan memplagiat. 

Karya yang diterjemah tentunya berguna untuk rujukan dan simpanan kepustakaan di pejabat perwakilan Brunei Darussalam ke negara-negara sahabat. 

Ahad, 13 April 2014

RB That's why its a betterfly

Iklan Royal Brunei dalam media massa negara jiran
Belakangan ini pesawat nasional kebanggaan negara Royal Brunei gencar melakukan publisiti dengan mengapungkan nilai jualnya dalam media massa di negara sahabat Indonesia. Ketika saya membaca akhbar dalam talian, hampir semua akhbar berkenaan memaparkan iklan RB dalam laman sesawang mereka. Akhbar tersebut tentunya mempunyai nilai jual baik baik secara cetak mahupun lewat online yang dijangka mampu mendongkrak (mengangkat) pasarannya. Siapa tidak kenal dengan media bergengsi seperti Harian Kompas, Detik, Okezone, dan Sindonews. Malahan juga publisiti mengenainya dipaparkan dalam laman Utusan Malaysia dan Berita Harian.

Paparan iklan RB boleh diklik dan langsung aktif untuk menempah. Promosi dan publisiti yang dilakukan oleh RB meskipun sudah terlewat kerana seharusnya dilakukan sejak lama, namun dalam dunia kompetisi seperti hari ini, tidak ada istilah terlewat selagi kita bekerja keras berjuang untuk meningkatkan nilai dan karakter kita apatah lagi dalam perlumbaan industri pesawat terbang dalam upaya menarik kapasiti penumpang. Ketika bahan bakar (minyak) menjadi semakin mahal dan tidak kompetitif bagi muatan penumpang yang tidak signifikan bagi perjalanan jarak jauh, maka nilai jual kerusi perlu dipertingkatkan melalui promosi, publisiti, penawaran harga, jenama dan prestasi dalam pasaran serantau serta merebut kapasiti penumpang bagi mereka yang mencari laluan transit dalam waktu penerbangan fleksibel.

RB bukan sahaja mencari pasaran malah mendeskripsi fitur-fitur istimewa dalam pesawatnya less cabin fatigue, climate-controlled, quieter flight, smarter window, smoother transition dan spacious atmosphere. Demikian pula promosi RB bagi pesawat sekelas 787 Dreamliner yang membuat penerbangan harian ke Dubai, London dan Melbourne. RB melakukan hal yang benar dan semoga RB berjaya menjaring popularitas serta nilai jual yang konsisten malah meningkat sesuai dengan taglinenya That's why its a betterfly. 
Bahkan iklan RB dipaparkan pada monorail dalam bandar di Kuala Lumpur.

Selasa, 8 April 2014

misteri alam misteri manusia

Doket Suip Haji Abd Wahab, Selasa, 08 April 2014, 11.19am
Doket peribadi, Selasa 08 April 2014, 12.19pm

Hari ini Selasa, 08 April 2014 dengan kekuasaan Allah Subhanallah Wa Ta'ala berlaku fenomena alam di angkasa. Matahari bersinar tetapi di sekelilingnya terdapat ring bak pelangi yang membentuk sebuah bulatan suria. Masyarakat memanggilnya sebagai cincin matahari dan setengahnya pula mengistilahkannya sebagai matahari sedang dipayungi. Fenomena berkenaan tidak dapat ditatap langsung kecuali dengan memakai lapis lutsinar. Untungnya kini ada telefon pintar resolution tinggi yang boleh memfoto fenomena tersebut dengan hanya menadah dan menangkapkan gambar cahayanya atau mengambil foto dibalik tingkap.

Mengikut laporan space.com dan nationalgeographic.co.id fenomena seperti hari ini disebut sebagai fenomena astronomi iaitu bumi, planet Marikh dan matahari berada dalam satu garis lurus. Fenomena ini terjadi dalam 778 hari, atau 2 tahun 1 bulan 18 hari. Bumi memerlukan 365 hari untuk mengelilingi matahari sementara planet Marikh lebih lama memakan waktu 687 hari. Dalam proses mengelilingi, adakalanya bumi dan planet Marikh akan tampak satu garis jika manusia melihat keseluruhan sistem tatasuria dari atas. Mengikut space.com, oposisi planet Marikh akan diikuti dengan fenomena menarik lainnya. Enam hari sesudahnya, planet Marikh akan lebih dekat dengan bumi sehingga akan tampak sedikit lebih besar. Jika menurut perkiraan fenomena astronomi pada hari ini Selasa, 08 April 2014, maka enam hari sesudahnya jatuh pada hari Isnin ini, 14 April 2014. Allahuaklam.

Misteri semesta ini diungkapkan dalam kalam Allah Subhanallah Wa Ta'ala, al-Quran nul karim dalam surah al-Mukminun ayat 80 "Dialah yang menghidupkan dan mematikan, dan Dialah yang mengatur pertukaran malam dan siang. Apakah kamu tidak berfikir mengenainya?" Rahsia-rahsia alam memerlukan akal yang tajam lagi kritis. Alam semesta tidak terus wujud dalam bentuk yang kita lihat pada hari ini. Sebaliknya ia melalui beberapa proses tertentu. Antara proses itu adalah kelahiran gas-gas hidrogen dan helium yang kemudiannya bercantum sehingga menjadi gumpalan raksasa. Dalam surah Fussilat ayat 11 Allah Subhanallah Wa Ta'ala menyatakan yang bermaksud, "Kemudian Dia menuju ke langit dan langit pada masa itu berbentuk asap lalu Dia berkata kepadanya dan bumi, 'Datanglah kamu berdua dengan tunduk atau terpaksa'. Keduanya menjawab 'Kami datang dengan tunduk'. Kededuanya memilih untuk datang dengan tunduk dan taat. Ia mengisyaratkan proses kejadian langit dan bumi tidak berlaku berdasarkan konsep kemungkinan (probability), kebetulan (chance) ataupun rambang (at random). Sebaliknya ia berlaku mengikut perencanaan Allah Subhanallah Wa Ta'ala. Bayangkan apa yang akan berlaku sekiranya alam semesta terjadi mengikut hukum kemungkinan, kebetulan atau rambang. Ia tidak akan mampu mewujudkan apa yang wujud sekarang. Kewujudan satu sistem yang mantap dan mampu mengatur proses kejadian alam secara tersusun lagi komprehensif dari satu peringkat ke satu peringkat tanpa sebarang kepincangan menunjukkan memang wujud di sana maha perancang iaitu Allah Subhanallah Wa Ta'ala (Danial Zainal Abidin 2007: 37-38).

Sejak Neil Armstrong menjejak kakinya ke bulan pada 21 Julai 1969 yang terkenal dengan kalimatnya yang fenomenal "Inilah langkah kecil bagi seorang manusia, satu langkah besar bagi kemanusiaan",  dunia menyaksikan negara-negara maju berlumba-lumba membuat penerokaan sains angkasa dan menempatkan satelit untuk meningkatkan martabat manusia dalam bidang sains dan teknologi untuk kemanusiaan. Pencapaian manusia hasil daripada penerokaan sains dan teknologi angkasa membantunya untuk tujuan kemanusiaan seperti mencerap dan menganalisis pergerakan geologi bumi dan aktiviti laut yang menerbitkan ombak tsunami, taufan, angin kencang, ramalan cuaca, pemetaan (global positioning system), mewujudkan sistem radar pertahanan dan satelit pemantauan dan yang terbaru satelit digunakan untuk pencarian pesawat MH370. Pencapaian manusia dalam bidang sains tentunya tidak terlepas daripada ilmu. Begitu pula sains dan Islam tidak dapat dipisahkan. Ilmu sains membolehkan manusia mengkaji dan merungkai misteri kebesaran dan keagungan Allah Subhanallah Wa Ta'ala. Oleh kerana itu umat Islam disuruh Allah Subhanallah Wa Ta'ala untuk mengkaji rahsia semesta secara sistematik berpandukan kepada al-Quran. Pendek kata, manusialah yang perlu meneroka, mengkaji dan mengembangkannya berdasarkan panduan wahyu Allah Subhanallah Wa Ta'ala. Untuk itu, sekecil apapun perkara yang kita tangani hari ini memerlukan ilmu...ilmu dan ilmu. Bukankah wahyu pertama diturunkan Allah Subhanallah Wa Ta'ala kepada Rasulullah s.a.w berbunyi "Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menciptakan".

Hari ini ketika fenomena tatasuria itu berlaku, banyak jangkaan dan ramalan yang berlaku yang diterima daripada media WhatApp. Saya tidak ingin mengatakan satu persatu di sini. Ketika saya menyampaikan fenomena tatasuria itu terhasil berdasarkan kedudukan bumi, planet Marikh dan matahari berada dalam satu garis lurus berdasarkan sumber yang diperoleh daripada space.com, saya diberi nasihat dengan kata yang baik dan mulia lebih kurang berbunyi "selain ilmu dunia ada jua baiknya menghayati hukum Allah Subhanallah Wa Ta'ala dan pengalaman orang tua terdahulu agar pegangan kita lebih mantap". Ada dua pesan di situ. Yang pertama saya tentu sudah marfum kerana telah diberi pelajaran agama semasa sekolah, demikian pula didikan orang tua, guru agama dan sekian banyak siri ceramah yang saya tonton selain daripada mendengar khutbah Jumaat. Yang kedua saya mentafsirkan sebagai "kehidupan adalah universiti untuk kita belajar" baik secara observasi mahupun secara sosiolisasi. Namun yang kedua ini tentunya timbul pertimbangan yang rasional kerana tidak sebarang-barang kita menuntut ilmu daripada orang tua. Kerana apa? Dunia bergerak dengan dinamismenya yang menuntut kita berfikir secara analitikal bukan berdasarkan ramalan. Situasi kini jauh berbeza dengan kehidupan orang tua kita dahulu.  Memang dahulu ketika teknologi belum semaju kini, orang tua kita khususnya moyang berpandukan kepada alam untuk meramal bahkan bunyi aneh sekawan burung yang jarang terbang di kampung dianggap sebagai alamat ada kematian begitu juga jika patah sebatang gigi di hadapan. Peradaban manusia tahun ke tahun memperlihatkan perkembangan hebat kerana manusia dianugerahi kudrat (anggota) dan iradat (minda) oleh Allah Subhanallah Wa Ta'ala. Nah, apabila semesta menunjukkan keanehannya semalam, dengan menggunakan akal yang sihat apakah kita masih membuat hipotesis akan ada musibah besar berlaku. Nampaknya ada sesetengah kita yang masih berminat dengan abrakadabra, nang bu tinang, fuh kiri fuh kanan dan segala macam misteri gaya pemikiran tuk nenek yang sesetengah perkara itu tidak lagi sesuai dengan zamannya. Apakah budaya mengandai seperti itu yang diinginkan untuk saya belajar. Belajar sesuatu berdasarkan rasa dan naluri? Manusia memang perlu rasa dan naluri tetapi sesuatu itu tidak berlaku tanpa sebab dan akibat. Apakah mereka mahu mengaminkan sesuatu alamat atau petanda yang tidak pasti? Nah jika mengikut amalan orang tua yang mengatakan akan berlaku satu musibah besar, itu tidak dibenarkan sama sekali kerana wahyu al-Quran yang diturunkan Allah Subhanallah Wa Ta'ala kepada manusia khususnya kepada umat Islam menuntut umat Islam memiliki minda yang saintifik. Minda yang saintifik adalah minda yang kuat berfikir, membuat analisis dan kemudiannya membuat konklusi kepada apa yang dicerap. Minda yang saintifik menolak sebarang laporan dan pandangan yang tidak berlapikkan bukti dan dalil. Jika sesuatu andaian itu tiba-tiba berlaku, percayalah itu sudah tertulis di Loh Mahfuz. 

Ingin saya tambah sedikit di sini bahawa jika kita menjadi manusia yang kosumptif kita tentu akan menjadi konsumen sepanjang masa. Konsumptif yang tidak menjadi konsumen ialah mereka yang makan dan mengkaji saatnya mereka membuat sendiri apa yang dimakan. Jujur, saya memilih yang kedua kerana saya ingin menghargai diri saya dan setiap nafas yang diberikan Allah Subhanallah Wa Ta'ala kepada saya guna untuk saya berusaha memahami semesta dan manusia. Insya-Allah. Dan menzahirkan syukur alhamdulillah tidak sebatas menjadi manusia yang selalu menunggu dan menerima tetapi juga bagaimana kita menghargai diri dan anugerah yang diberikan Allah Subhanallah Wa Ta'ala untuk kita berfikir, bekerja dan melanjutkan karya kehidupan.



















Ahad, 6 April 2014

Alunan muzik membenam sepi

Malam ini seperti kebiasaan aku selalu membenam waktu dengan membaca akhbar dalam talian. Sebuah rutin harian yang tak pernah kulewatkan kecuali ada kendala yang mendadak. Anak-anak dengan komitmen studinya masing-masing. Di sela masing-masing mengisi waktu untuk kepentingan kehidupan, anak sulungku menghiburkan kami dengan sentuhan keyboardnya. Alhamdulillah, pelaburan sumber daya untuk tujuan memberi nilai tambah selain daripada menganyam pendidikan formal sejak lima tahun silam mula menampakkan petualangannya. Setiap malam setelah selesai menyiapkan tugasan kuliahnya, Nawal begitu namanya disapa selalu mengerti di tengah kesepian masing-masing dengan kesendirian mereka, hentakan manja jari-jemarinya memainkan notasi muzik keroncong, etnik kreatif sesekali lagu popular evergreen dendangan megastar Whitney Houston selalu membuat kami terhibur. Aku selalu menyogokkan buku baharu notasi muzik lagu keroncong dendangan Hetty Koes Endang sementara ibunya gemar lagu romantisme Siti Nurhaliza. Genre slow, aku memilih anak band Samson. Meskipun genre muzik berkenaan boleh dibilang bukan genre muzik anak muda sepertinya, tapi Nawal tahu pasti bahawa semesta malam yang dari waktu ke waktu akan menjengah tua tentu tidak sesuai untuk memainkan notasi muzik One Direction yang hungky pungky itu. Agaknya, anakku yang kini telah meningkat dewasa itu mulai arif tentang kepenatan bapa dan ibunya yang bekerja pada siangnya. Alhamdulillah. Mendengarnya menyentuh keyboard dengan genre muzik yang bapa ibu sekalian untienya suka, membuat aku sesekali menyanyi dalam hati mengikut alunan muzik yang sering dikumandangkan melalui bunyi keyboard yang dimainkannya itu. Asyik memang. Ternyata hidup ini sesekali harus diisikan dengan "kegaduhan" dan "huru-hara" muzik untuk membunuh waktu dan kesepian. Alunan muzik bagiku serasa melebarkan ruang kepala dan meringankan beban fikir yang membuatku terasa plong dan jiwaku terbang bebas.


Kutanam dengan hati kubajai dengan kasih

Minggu libur sering kumanfaatkan untuk kegiatan budi daya tanah khususnya memberi pupuk pada tanaman yang sedang rimbun tumbuh di pelataran laman rumah. Pohon tanaman yang kutanam sejak lama perlahan-lahan memperlihatkan jati dirinya yang hijau, renik dan kembang sekata di sekelilingnya. Bila ia tumbuh subur dalam jajaran sekata, pohon ini bukan sahaja tampil kemas bila dilihat daripada pandangan sisi bahkan jauh dari itu pohon berkenaan menjalankan tugas fotosintesis yakni menyerap haba dan bau-bauan sehingga udara yang melintas dapat dineutralkan menjadi bersih. Nah yang kedua ini penting kerana kini dengan populasi yang meningkat, guna tanah semakin penting dan kini nampaknya hampir tiada jarak antara rumah kita dengan tetangga sebelah. 

Berkaitan dengan pohon yang ditanam tumbuh melata, aku teringat pesan ibuku ketika ia mendedikasikan dirinya setiap pagi untuk membajai dan sesekali mentrim pohon bunga jenis daun daripada spesies bunga puding. Pesan ibuku, "menanam bunga dan apa sahaja tanaman yang ditanam tidak cukup dengan menyiram dan memberi baja tetapi sesekali sambil memberi pupuk, belailah ia dengan kata-kata menawan misalnya hi pokokku, tumbuhlah engkau menghijau kembang cantik dan subur menghiasi laman dan kawasan ini". Senang cerita, bawalah pohon itu berbual dengan kata yang baik-baik. Itulah terapi dan daya rangsangan untuk memberikan energi positif kepada pohon berkenaan. Bukankah setiap kewujudan itu mempunyai rohnya masing-masing. Dan kita harus tahu bagaimana semua elemen kehidupan yang bernyawa itu bekerja dan saling memerlukan. Membiarkan pokok yang ditanam sendiri tanpa dipeduli membuatkan jiwanya depresi dan lambat berkembang. Ia memerlukan nutrisi dan zat serta "sosiolisasi". Lainlah jika pohon itu jenis yang tahan banting.

Rupanya tradisi terapi pohon ini memang sudah menjadi amalan orang tua di kampung sejak lama. Ketika sahabatku sesekali berkunjung ke rumah kampung dahulu, beliau sering memuji tumbuhan bunga renik yang tumbuh menghijau dan rimbun. Cantik kata sahabatku dan terus bertanya siapa yang tanam. 

Ibuku mengatakan pohon yang ditanam harus dikerjakan dengan hati dan dibajai dengan kasih. Ketika jiwa bersih kita pupuk dan semai dalam semua tindakan yang kita lakukan, hasilnya akan baik. Pernah sekali ibuku yang begitu taksub dengan kemanisan nenas Sarawak yang mempunyai mata besar dan manis merasa sukacita mendapat benih berkenaan daripada seorang kerabat yang baru pulang dari sana. Ia menanam tanaman kontan berkenaan di tanah gambut dan apabila tanaman kontan berkenaan menjadi, ibuku lantas memberi taburan gula pasir dipelupuk pucuknya. Wah..kataku. Ibuku dengan bersahaja berkata "Bismillah, insya-Allah buahnya pasti baik dan manis". Excelente..memang. Moralnya, tak kira apakah yang kita lakukan itu merupakan kegiatan budi daya tanah, memasak, atau melaksanakan amanah dan tanggungjawab, pokoknya lakukan dengan hati, kasih dan cinta, dan hasilnya pasti "seksis".

Selasa, 1 April 2014

Eulogi dan Simfoni Kasih Buat Sahlan Mohd Saman (Prof. Dr.)

Prof. Dr. Sahlan Mohd Saman
Saya memulakan eulogi ini dengan memetik bait-bait kata, nasihat dan motivasi daripada seorang Cikgu, Prof. Dr. Sahlan Mohd Saman yang telah kembali kerahmatullah pada hari Isnin, 31 Mac 2014. Rasanya mengingati beliau tidak cukup hanya menyampaikan belasungkawa kerana saatnya kita menuangkan rakaman hidup yang kita peroleh daripada sosok yang memberi pengaruh besar kepada kita selain daripada orang tua dan kerabat dekat.  Prof. Dr. Sahlan begitu namanya disapa adalah figur yang banyak berjasa dalam menyuntik semangat dan dorongan kepada saya untuk segera menuntaskan pengajian sarjana yang tertangguh Begini bait-bait berkenaan yang kini menjadi momen abadi yang masih tersimpan rapi, diterima melalui mel Facebook pada pertengahan bulan Mac 2012. 


"salam sdr Azurin, apa khabar sdra dan m.a. sdra progres cepat? jgn tunggu, Dr Abdullah pun tinggal 6 bulan lagi, saya pun akan balik ogos ni, cukuplah 5 tahun di negeri orang, klu ada lapang satu hari kita duduk minum petang kat tepi sungai kiulap pun boleh....salam jua"

Prof. Dr. Sahlan, Mac 12, 2012, 4.30 pm

"salam..terima kasih Prof krn memberi support dan ingatan baik. Sejak awal bulan Mac hingga skrg sya mengenepikan dulu pengarapan MA krn dah rasa tak menang tangan nak buat persiapan pengelolaan Sidang Pakar Ke-25, Seminar Kebahasaan dan Sambutan 40 Tahun Mabbim, Sidang Eksekutif Ke-51. Semua acara ini akan mengambil tempat pada 02 - 07 April 2012, di Rizqun. Memang pressure betul, mana nak siap bab wacana ucapan, perbahanan utk pameran etc. Insya-Allah, selepas 08 April 2012, saya free akan menumpukan sepenuh perhatian menggarap balik MA. Bila dah tinggalkan lama, rasa macam buat semula. Ini krn minda dipacu untuk mengimbau balik dan mendapatkan semula momentum menggarap MA. Tentang saran Prof, minum petang bersama, saya rasa amat tersanjung. Tentu boleh. Moga nanti kita dpt bersua di tempat yang dicadangkan."

mao, Mac 13, 2012, 8.07am

"salam sdr Azurin,tak lama tarikh 8 april tu, 3 minggu sja lagi, lepas tu buka buka balik m.a. tu mesti jadilah klu mendampingi Dr Abdullah tu. saya boleh tolong yang saya mampu sbb disiplin saya pun ada bahasa, 4 tahun di kbkkm ukm dulu, insyaAllah jadi, buat pelan2 akhirnya pasti jadi! ameen."

Prof. Dr. Sahlan, Mac 13, 2012, 1.39pm

"Terima kasih Prof, krn memberi energi dan stimulasi kpd saya. Di bawah seliaan Dr. Abdullah, saya memperoleh pencerahan untuk menggarap. Beliau telah memberi lowongan yang jelas, untuk saya bergerak dan memacukan adrenalin apa yang diperlukan untuk menuntaskannya. Cuma masalah besar pada saya ialah bekerja sambil belajar ini, luar biasa betul dlm menguras energi. Pada ketika saya memfokus satu perkara, perkara yang lain saya perlu ketepikan sementara agar tdk menimbulkan kegalauan. Pada akhirnya, komitmen kerja sering sahaja mendapat tempat dlm segala hal. Ini menyebabkan sya banyak mengulur waktu. Pada dasarnya, saya tdk ingin melepaskan peluang berguru dengan Dr. Abdullah. Dlm cerewetnya ada ilmu, dlm ketelitiannya, ada keobjektifan beliau dlm menghurai sesuatu itu agar jelas. Sungguh ini ruang yang baik untuk saya belajar dan mencari tahu apa yang patut dan wajar untuk dimanfaatkan. Insya-Allah, saya akan bekerja lebih keras selepas selesai Mabbim nanti. Terima kasih sekalung budi atas ingatan baik Prof."

mao, Mac 13, 2012, 3.22pm

"seperkara, minta restu isteri dan kefahamannya, lebih cepat dapat yang dihajati, klu dia curiga, was2, jadi mata2, buat isu selalu, pasti kegagalan yang ada di penghujung jalan. Ini pndangan orang tua yang dah punya pengalaman, insyaAllah, berdoa rabbiyassir wala tu'assir, tiap2 hari!segalanya azurin punya perancangan dan perlaksanaan, selamat berjaya di hujungnya!

Prof. Dr. Sahlan, Mac 13, 2012, 3.29pm


Saya takkan pernah lupa kesan dan pesan profesional yang beliau berikan. Membaca nasihat dalam kotak mel sekalipun, terasa getaran orangnya yang seolah-olah saya sedang berhadapan dan bertatap muka ketika beliau berkata-kata. Mengapa? Nasihatnya jujur dan bualnya ikhlas ke hati. Bahkan bukan sekali itu ia berkata-kata dan menyemangati saya untuk menyambung pengajian. Pada saat saya menyedari bahawa membiarkan waktu berlalu pergi dan menjadikan komitmen kerja sebagai kendala yang menghambat cita-cita saya bukanlah satu alasan yang wajar bagi mereka yang dahagakan prestasi seperti yang Prof lakukan dahulu sebelum beliau mengecapi kualiti hidupnya. Motivasi itu menjadi amunisi ampuh untuk saya maju dalam pengajian sarjana tanpa menoleh ke belakang lagi. Tanpa tangguh, saya tidak menyiakan waktu untuk menyambung semula perburuan ilmu dengan berguru pada Dr. Abdullah Jumain Abu Samah. Saya selalu mengingati figur dua insan ini sebagai mereka yang banyak berjasa dalam membentangkan jalan sepanjang laluan saya untuk saya mengecapi apa yang saya impikan sejak lama. Prof membantu saya memberi pencerahan, tetapi beliau juga membuatkan saya memahami tentang realiti pekerjaan, keperluan meningkatkan ilmu sebagai penyuluhan dan kehidupan. Bergaul dan berbicara dengan kededua figur tadi, saya telah memperoleh school of thought, sebuah kesan pendidikan yang luar biasa.

Mengenal Prof bukan satu masalah besar kerana semesta bahasa dan sastera khususnya warga akademik di rantau ini mengenali beliau dalam bidang kritikan sastera. Sastera bandingan menjadi dapurnya. Disebut sastera bandingan sahaja masyarakat bahasa dan sastera sudah marfum bahawa beliau adalah tokoh sentral yang membumi dalam disiplin berkenaan. Pendek kata, bidang sastera bandingan selalu diasosiasikan dengan Prof. Stilistik juga bidang yang diramunya. Kekuatan beliau dalam bidang sastera bandingan telah membawanya berpetualang ilmu di institusi akademik serantau untuk menyampaikan kuliah dan wacana. 

Pertemanan saya dengan Prof akrab dalam dunia jurnalisme iaitu Jurnal Bahasa DBP Brunei kerana saya antara tim editorial dalam jurnal berkenaan. Hubungan akademik berkenaan berlaku dalam rantaian panjang yang rumit namun ketika ia sudah terjalin, Prof tidak pernah mengecewakan. Prof memberi komitmen meski beliau adakalanya tidak dapat memenuhi tenggat waktu (dateline) kerana jadual tugas yang padat. Sering tidak lupa pula beliau menyusul bertanyakan apakah beliau sudah memenuhi keperluan mengirim artikel sebagaimana kami di editorial memerlukannya. Di jurnal ini, artikel berkaitan dengan stilistik (kajian tentang teknik penggunaan gaya bahasa secara berkesan dalam penulisan) disuguhkan. Kemudian, hubungan sedia terjalin ini bertambah akrab ketika beliau berkhidmat di Universiti Brunei Darussalam. Beliau sering menghadiri jemputan acara kesasteraan dan pernah menjadi pemudahcara bengkel yang dianjurkan oleh DBP Brunei.

Semalam Isnin, 31 Mac 2014 ketika perpisahan waktu siang ke malam, saya menerima khabar kepulangannya kerahmatullah daripada seorang sahabat. Terkejut tentu, sebak dan sedih sudah pasti. Figur baik dan ramah ini telah dipanggil menghadap Tuhan Yang Maha Kuasa. Menerima khabar duka ini membuat saya berhenti sejenak dan mengimbau ke belakang. Tidak sedikit kenangan yang menjelma kerana jasa dan ingatan baik beliau yang selalu menginspirasikan saya. Saya kehilangan figur yang selalu memberikan getaran harapan untuk maju dan jaya. Hal terindah ialah menjadikan motivasi yang beliau berikan selama ini sebagai monumen kenangan yang sentiasa hidup sampai bila-bila. Tak pernah lelah memberi asa dan dorongan kerana beliau seorang yang mudah membaca karakter mereka yang ingin maju dan dan mereka yang bercita-cita untuk meraih prestasi. Di luar baju akademik, beliau layaknya seperti seorang bapa yang selalu bertanya khabar jika sesekali bertemu.

Di atas semuanya, Prof telah mendedikasikan diri untuk mengabdi dan menuangkan pengetahuan kepada anak didiknya dan kalangan mereka yang dekat dengannya. Perkara penting yang ditinggalkan ialah buah fikiran yang dituangkan dalam buku-buku ilmiah yang beliau garap. Minat mendalamnya dalam dunia akademik telah membawanya berkelana di rumah-rumah ilmu untuk menyampaikan kuliah, syarahan, seminar dan bengkel. Selama bertahun-tahun beliau mengabdi, tentunya beliau telah menginspirasikan banyak orang. Sudah tentu ada antara anak didikmu yang telah berkembang dan akan meneruskan legasimu nanti. Semoga tugas mulia yang Prof berikan semasa hayat menjadi pelita terang yang menuntunnya di alam sana. Ilmu dan amal yang engkau tuangkan menjadi selimut malam sekaligus benteng setia yang menjagamu. Kuyakin kalau jalannya baik, tentu sebaik kesan yang Prof tanamkan kepada banyak orang. Pasti. Selamat jalan Profesor. Semoga Allah Subahanahu Wa Ta'ala memberikan tempat yang terbaik disisi-Nya. Amin Yarabilalamin. Al-Fatihah.






COVID-19 - Dunia Ini Rapuh dan Tidak Berdaya, Pelajaran Buat Kita

Tidak siapa menduga COVID-19 yang bermula di Wuhan, China merebak ke seluruh dunia. Masyarakat dibuat terpinga-pinga dan panik. Kita dibias...